Sabtu, 7 April 2012

Agenda bersama

"Mat, ko bangga tak kalau aku kata nenek moyang ko pejuang negara satu masa dahulu?" Kata Farid.

"Bangga siot, mestilah bangga giler, kalau aku kata dengan hang pula, keturunan hang ada ciri-ciri lanun satu ketika dahulu, hang suka ka?" Balas Mat.



"Ko cakap berlapik sikit, aku hempuk dengan kasut ni, baru tau." Kata Farid bernada gurau.

Begitulah adanya. Rasa keizzahan, rasa ketinggian akan asal usulnya.

Seseorang itu perlu mengetahui sejarah bangsanya, sejarah negaranya yang gilang- gemilang satu ketika dahulu supaya dia tahu kemana dirinya hendak pergi mengorak langkah.




Menaikkan rasa Izzah akan generasi silam mampu memotivasikan generasi baru akan peranannya dimasa hadapan.

Mungkin ada yang sinis menyatakan, buat apa ingin mengetahui sejarah lalu? Zaman sekarang telah berubah, kita tidak ada kaitan akan generasi silam.

Bagi insan yang berandaian seperti ini, ingin saya nyatakan bahawa untuk berjaya dan mencipta masa hadapan, perlulah memahami sejarah tanah airnya kerana sejarah ini mampu mendidik semangat manusia.




Hari ini Umat Islam seperti leka akan sejarahnya, adakah kita menyedari bahawa terdapat satu gerakan tersusun yang cuba menghapuskan sejarah tamadun kita?

Sejarah itu dihapuskan supaya kita tidak tahu akan asal usul, supaya Umat Islam tidak mampu bangkit memimpin kehebatan mereka menawan dua pertiga dunia satu ketika dahulu.

Ketahuilah, apabila kita melupai sejarah, kita pasti akan mengulanginya. Kita pasti mengulangi kesilapan yang sama lagi.

Semuanya bermula apabila memandang remeh akan sejarah. Namun, sekadar mengetahui sejarah tanpa amal, tidak akan membawa kemana.

Sejarah dipelajari untuk kita melakukan sesuatu. Mungkin agak mudah difahami bahawa setiap daripada kita perlu ada AGENDA.



Ya, agenda yang sama, agenda yang menaikkan maruah, agenda yang meninggikan Islam itu sendiri seperti yang pernah dilalui orang terdahulu.

Agenda itu bukan kecil. Agenda itu bukan menghabiskan masa di tempat-tempat yang melalaikan. Bukan mencari keuntungan dunia. Agenda yang dimaksudkan adalah memimpin umat akan kefahaman Islam yang sahih.

Hassan Al-Banna ada menyatakan:

"Jalan penyelesaian hanya melalui 3 cara, mengetahui punca penyakit, sabar menerima rawatan dan wujudnya seorang doktor pakar yang mahir merawat."

Agenda Umat Islam yang perlu difikirkan bersama adalah meninggikan kalimah Allah dimuka bumi. Agenda hidupnya tidak lain untuk mengabdikan diri kepada Allah. Sewajarnya kita berusaha mengetahui langkah-langkah untuk merawat umat yang sakit.

Umat hari ini bukan sakit fizikal semata-mata, malah yang paling derita adalah jiwanya yang sakit.

Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik, dan apabila seketul daging itu rosak maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati. (Hadis riwayat Bukhari)

Girl Generation, satu kumpulan K-pop wanita dari Korea telah berjaya menjalankan konsert di KLCC, pada 23 Mac 2012. Dengan pakaian yang mendedahkan aurat, menjolok mata dan jauh dari unsur ketimuran, masih ada segolongan peminat yang hadir dari kalangan pemuda dan pemudi Melayu Islam. Dimanakah sensitiviti dan pegangan Umat Islam hari ini?


Tiada agenda hidup.


"Saya tidak percaya bahawa tuhan memberi kuasa kepada suami untuk memukul isteri dan hukum bahawa seorang isteri yang berkongsi suka duka bersama suami mendapat hanya satu perlapan daripada harta yang mereka usahakan bersama apabila kematian suami."


Kurang didikan agama.

Inilah antara penyakit yang menjalar dikalangan masyarakat. Penyelesaian hanyalah kembali kepada Islam. Menjadi tanggungjawab bagi setiap yang bergelar Muslim menjelaskan kefahaman Islam yang sahih. Umat yang tengah sakit perlukan doktor pakar untuk merawatnya.

Cegah sebelum merebak. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Inilah agenda kita bersama.



MEMBANGUN UMAT BERAGENDA ^_^

Tiada ulasan: