Isnin, 8 Oktober 2012

Kita hanya dituntut beramal

Sesungguhnya sesuatu perbuatan itu diukur dengan niat. Sebesar-besar perkara boleh menjadi sekecil-kecil perkara hanya disebabkan oleh niat. 



Begitulah sebaliknya.

Program ilmiah yang dihadiri bersama dan bayaran yang sama, tetapi pahala belum tentu sama, kenapa? Semuanya kerana niat.

Boleh jadi seorang yang berterusan mengerjakan ketaatan, namun boleh terbabas di tengah jalan, kenapa? boleh jadi kerana niat yang tidak tulus dan telus.

Al-Quran sendiri ada menyatakan yang membawa maksud, "tidak sama orang yang duduk dan orang yang berjuang di jalan Allah"

Sekali-kali tidak akan sama.

Ramai manusia menyatakan cinta kepada Rasul SAW, namun jika diteliti dan diselidiki akan kehidupannya, sangat jauh dengan manhaj nubuwwah. Mereka memahami Islam di tempat-tempat penguzlahan semata-mata.

Sudah tentu tidak sama dengan mereka yang mengambil perjuangan nabi secara keseluruhannya.

Ada juga manusia mengharapkan hasil dan sibuk bertanya, "bilakah boleh kita memetik buah"?



Kita hanya dituntut bekerja, hasilnya semuanya datang daripada Allah.

Semalam telah berlalu, fajar kini telah muncul, tumpukanlah hidupmu pada hari ini. Jangan dikenang perkara yang lalu.

Perlengkapkanlah dirimu dengan ilmu kerana ilmu itu menjadikan kamu dekat dengan Allah. Ilmu itu mendekatkan kamu tentang aqidah.

Dengan ilmu juga mampu meluaskan ufuk pandangan manusia. Dengan ilmu juga kamu lebih memahami akan kehidupan ini.



Kehidupan manusia yang tidak beriman dengan manhaj Allah sentiasa terumbang-ambing. Meraka datang ke tempat peribadatan sekadar melembutkan hati. Apa beza kita dengan mereka?

Mereka datang untuk melembutkan hati, namun selepas itu, kehidupan mereka jauh sekali dengan moral manusiawi.

Adakah gereja-gereja sekadar ingin mengurangkan rasa berdosa?

Bagaimana pula Si Abid yang datang ke masjid-masjid untuk melembutkan hati semata-mata. Niat mereka ingin beruzlah daripada noda dan dosa. Bagaimana pula nasib mereka yang tidak mendapat hidayah, siapa pula yang ingin membimbing mereka?

Maka ingin ditegaskan disini, fahamilah Islam itu dengan syumul.
Nabi SAW bersikap zuhud dan tawadu', nabi juga yang paling gagah di medan peperangan.

Jangan menjuzuk-juzukkan Islam kita. Apabila kita menjuzuk-juzukkan Islam, maka lahirlah masyarakat yang tidak faham Islam.



Sesungguhnya Islam ini datang untuk meninggikan martabat manusia, membenarkan wujudnya hari pembalasan disamping melaungkan ikatan persaudaraan kepada seluruh manusia.

Islam juga menjamin kestabilan masyarakat dengan cara memperakui hak-hak untuk hidup, memiliki harta, bekerja, sihat tubuh badan dan mementingkan ilmu.

Inilah Islam. Kita hanya dituntut beramal dengan penuh kesungguhan. Kita juga diseru untuk mengamalkan Islam dengan sempurna.

Akhirnya kita kembalikan kepada Allah yang memegang hati manusia.

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك



Tiada ulasan: