Ahad, 8 Januari 2012

Badiuzzaman Said An-Nursi

Hampir sebulan masuk markaz bahasa di Hayyu Sabi', Kaherah. Betapa kerdilnya diri ini akan penguasaan Bahasa Arab. Dapat berkenalan dengan rakan-rakan Turki merupakan pengalaman baru untuk fasa terakhir pengajian. Cadangnya ingin duduk setahun lagi di Mesir. Mengira-ngira bekalan untuk dibawa pulang ke Malaysia menuntut untuk mencari pengalaman lebih, ilmu lebih dan kefahaman lebih.



Rakan-rakan Turki yang ku kenali tidaklah ramai. Antaranya Ali, Fetih, Ibrahim dan Umre. Bergaul dengan mereka memberi manfaat kepada diriku. Sebahagian daripada Risalah an-Nur, karangan Badiuzzaman Said An-Nursi yang diberikan oleh Fetih, ku belek-belek dan ku hayati kalimah-kalimahnya. Sungguh perjuangan Tokoh gerakan Turki ini mempunyai keyakinan yang kuat serta iman yang tebal. Walaupun ditentang oleh musuh-musuhnya, namun tetap thabat dalam meneruskan perjuangan dakwahnya.


Sejarah Turki yang hebat. Disinilah tertegaknya Khilafah Islam satu masa dahulu. Disini jugalah terserlah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih. Beliau diberi gelaran al-Fatih (pembuka) kerana mampu membuka kota Constantinopel yang pernah dikuasai musuh-musuh Islam satu masa dahulu.

Jika di Mesir, perjuangan "pakcik Hassan" (gelaran yang diberikan oleh pelajar Malaysia), jika di Turki Badiuzzaman, Said An-Nursi pula. Hassan al-Banna mempunyai sejarah tersendiri dalam jemaah Ikhwan al-muslimin. Badiuzzaman pula terkenal dengan Risalah an-nur pula. Tokoh ini berjiwa sufi. Hassan al-Banna meraikan perbezaan salaf dan sufi pula. Saya tertanya-tanya, adakah gabungan dua tokoh gerakan ini bersesuaian untuk dipraktikkan di Malaysia? Bagi saya yang terlibat dalam pertubuhan ISMA mengikut manhaj Ikhwan, yang saya yakini, (ada jemaah lain, faham cara lain), menunjukkan kepada kita bahawa ijtihad diperlukan dan menuntut agar kita menghormati ijtihad jemaah lain yang berbeza cara pandangnya. Hanya satu tujuan, ingin melihat masyarakat, faham Islam dengan kefahaman yang sahih.

                                         Badiuzzaman Said Nursi


Badiuzzaman berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden pula perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya, "dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari KEKUFURAN dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap TAASUB.

Namun perlu diingat, sehebat manapun pemikiran yang ingin dilontarkan di dalam masyarakat, jika jiwa atau hati di dalam tidak ada rasa pergantungan tinggi kepada Allah, pastinya akan menemui kegagalan. Kita ingin merubah masyarakat, pada masa yang sama, diri sendiri tidak mampu merubah dan melawan gelora hawa nafsu. Bagaimana masyarakat ingin mencontohi kita? Jadilah kita pengubah yang palsu. (nasihat untuk diriku terutamanya)

Terima kasih buat sahabat, Fetih (kenalan Turki)  yang mengenalkan saya tokoh ini. Mungkin ini hanya permulaan untuk mengenali pemikiran Badiuzzaman pula.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus, mengikut sunnah Rasul SAW.  Jadikanlah diri kami merasakan tanggungjawab dakwah itu seperti juga tanggungjawab dalam menunaikan ibadah solat dan ibadah-ibadah lain agar kami dapat mengembangkan agamamu yang benar ini, ameen.



Tiada ulasan: