Sabtu, 30 April 2011

Jika anda membuka internet, laman apakah yang anda masuk dahulu? Pelbagai jawapan yang diterima, ada yang membuka beritaonline, laman2 isu semasa, raja lawak dan sebagainya, tetapi tahukah anda, tinjauan yang dilakukan, rata-rata remaja pada masa kini menjadikan facebook sebagai “gerbang pintu” sebelum membuka laman2 web yang lain.

Facebook Pictures, Images and Photos


Facebook sebagai laman sosial yang menjadi kegilaan remaja masa kini. Jika ditanyakan kepada remaja yang gila itu, adakah mereka akan mengantuk seperti mengantuknya mereka ketika membaca buku berbanding melayari internet seperti facebook dan sebagainya. Jadi, bolehlah dibuat kesimpulan, facebook sudah menjadi darah daging dan minat remaja itu sendiri.

Ada apa pada facebook sehingga remaja pada hari ini boleh bersengkang mata dihadapan komputer melayari laman sosial ini? Adakah kekuatannya terletak pada permulaan kata “face” yang bermaksud muka, seolah-olah cermin yang menjadi tatapan muka yang anggun dan kacak remaja itu sendiri. Tetapi, jika fokus kepada kata akhirnya “book”, saya pasti ramai manusia di dunia ini jika ditanyakan hobi mereka bukanlah membaca buku.

Namun revolusi dunia internet khususnya facebook tidak mampu dibendung lagi. Bak kata orang yang tidak bertamadun iaitu “dunia tanpa sempadan” ataupun lebih tepat dikatakan, “dunia tanpa tauladan” yang membawa maksud “jauh kau dari sini, biarlah aku dengan duniaku sendiri”.

Bolehkah kita mentah-mentah menolak perkembangan ini? Maka sudah tentulah tidak kerana para pengguna facebook ini terdiri daripada pelbagai ragam manusia. Sebut sahaja pelajar, cikgu, doktor, tukang sapu, tukang cat, malah bayi yang kecil pun ada facebook disebabkan mak ayah merakamkan rasa kegembiran dan membuat akauan facebook untuk si bayi yang comel itu.

Secara umumnya, facebook mempunyai kebaikan dan keburukan, tetapi secara khususnya, tangan si pengguna lah yang menentukan baik dan buruk tersebut. Facebook alat penyambung ukhuwwah, juga alat pemecah-belah ukhuwwah. Semua bergantung seratus-peratus kepada Tuan punya badan. Sebab pulut, santan binasa, sebab facebook, yang biasa pun boleh jadi luar biasa.

Kenapa tidak? Seorang mampu tersenyum hanya kerana melihat komen-komen yang masuk ke dalam statusnya yang berbunyi “makan burger di tepi tasik”. Tidak perlu berjela-jela menulis di dalam blog, cukup dengan status yang ringkas dan padat dan sampai maksud kepada para pembacanya membuatkan hati penggunanya melonjak-lonjak kegembiraan.

Ketawa Pictures, Images and Photos

Bagaimana pula ikhtilat lelaki dan perempuan ketika melayari laman ini, hanya iman dan amal menjadi benteng pencegah zina. Zina bukanlah pada lahiriyah semata-mata, tetapi juga bersangkut paut pada hati dan kalimah-kalimah yang dilontarkan di dalam facebook. Salah satu cara yang boleh dilakukan, “ignore” sahaja kawan-kawan yang berlainan jantina, jika tidak mampu mengawal diri terjebak dalam kemaksiatan.

Segelintir manusia pula lebih sibuk menjadikan facebook sebagai medan perdebatan, fitnah-memfitnah, membuka aib orang lain yang tidak ada dasarnya dalam akhlak sebagai seorang muslim. Lupakah bahawa segala perbuatan yang kita lakukan di dunia akan dihisab di padang masyhar kelak, maka beruntunglah bagi manusia yang dapat menjaga dirinya daripada terjebak pada perkara yang bertentangan dengan syariat.

Tidak kurang juga yang menggunakan facebook untuk manfaat umum dengan menyebarkan risalah-risalah dakwah, video-video pembangun jiwa, alunan-alunan yang menyedarkan manusia hakikat kehidupan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya cara tersebut dapat membentuk masyarakat yang menjadikan media sebagai medan dakwah.

Persoalannya , mampukah facebook membentuk peribadi muslim seseorang hamba? Ataupun tempat untuk kita mencari kepuasaan semata-mata? Tepuk dada, tanyalah iman. Masa remaja amat berharga dan waktu lapang bagi seorang pemuda adalah awal maksiat. Jika tidak disibukkan dengan benda-benda baik, benda-benda buruk yang akan menggantikannya. Pada akhirnya, kekuatan umat terletak pada remaja, sayangilah remaja, jangan biarkan generasi kita hanyut dalam arus globalisasi, dunia tanpa sempadan dan tanpa tauladan.pemuda islam Pictures, Images and Photos



MEMBINA GENERASI HARAPAN