Sabtu, 10 Disember 2011

Hebat Perancangan Mereka, Kita Bagaimana Pula?

الرأسمالية- Kapitalis
الشيوعية -Komunis
الماسونية -Freemason
الصهيونية -Zionisme

(1) Sistem Kapitalis
 merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan. Takrif individu di sini tidak semestinya merujuk kepada orang perseorangan tetapi juga termasuk sekumpulan individu seperti syarikat. Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran, kos, penetapan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan. Pengkritik sistem kapitalis berpendapat sistem ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin.



(2) Sistem Komunis
"Komunisme tulen" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

 Tukul dan sabit menjadi alat penting golongan pekerja merupakan lambang komunisme.


Kesimpulan:-

Sistem Ekonomi Islam berbeza sama sekali dengan sistem ekonomi kufur buatan manusia. Sistem ekonomi Islam adalah sempurna kerana berasal dari wahyu, dan dari segi pemilikan, ia menerangkan kepada kita bahawa terdapat tiga jenis pemilikan:-
  • Hak Milik Umum: meliputi mineral-mineral dalam bentuk pepejal, cecair dan gas termasuk petroleum, besi, tembaga, emas dan sebagainya yang didapati sama ada di dalam perut bumi atau di atasnya, termasuk juga segala bentuk tenaga dan intensif tenaga serta industri-industri berat. Semua ini merupakan hak milik umum dan wajib diuruskan (dikelola) oleh Daulah Islamiyyah(negara) manakala manfaatnya wajib dikembalikan kepada rakyat
  • Hak Milik Negara meliputi segala bentuk bayaran yang dipungut oleh negara secara syar’ie dari warganegara, bersama dengan perolehan dari pertanian, perdagangan dan aktiviti industri di luar dari lingkungan pemilikan umum di atas. Negara membelanjakan perolehan tersebut untuk kemaslahatan negara dan rakyat
  • Hak Milik Individu: selain dari kedua jenis pemilikan di atas, harta-harta lain boleh dimiliki oleh individu secara syar’ie dan setiap individu itu perlu membelanjakannya secara syar’ie juga.



(3) Freemason
       
Freemason seringkali dipanggil sebagai "persatuan rahsia". Bagaimanapun bagi ahli Freemason, persatuan mereka lebih tepat sebagai persatuan yang hanya boleh difahami oleh orang tertentu kerana sesetengah aspeknya adalah sulit. Pada kurun ke-21, persatuan ini menjadi tidak lagi rahsia (lebih terbuka) dan lebih kepada "persatuan yang mempunyai rahsia". Aspek sulit dalam persatuan moden ini adalah pengiktirafan sesama ahli dan sesetengah elemen ritual. Walaupun ia sebuah organisasi yang pelbagai, kerja amal masyarakat dan memelihara persaudaraan sesama ahli masih menjadi perkara pokok.

Kesimpulan:

Pernahkah kita mendengar nama Huzaifah Al-Yamani ? Beliau digelar sebagai "Penyimpan Rahsia Nabi". Ketika Perang Khandaq, Nabi S.A.W mengarahkan beliau menjadi perisik untuk mengetahui strategi musuh tentera Islam pada ketika itu iaitu kaum Quraisy. Namun, beliau mengambil tindakan nekad dengan menyamar sebagai salah seorang tentera musuh. Tindakan ini membantu tentera Islam setelah mendapat maklumat musuh daripada Huzaifah.

Bagaimana pentingnya sebuah Harakah Islam mempunyai strategi yang tersusun. Kita tidak banyak masa untuk disibukkan dengan taadud jamaah. Umat Islam perlu fokus membaiki jemaah sendiri, dengan itu penyatuan Islam lebih cepat berlaku.

Dalam Jemaah Ikhwanul Muslimin, pernah wujud "tanzim Khas". Fungsinya amat berkesan ketika penangkapan beramai-ramai ahlinya ke dalam penjara. Tanzim Khas inilah yang menjadi mata-mata rantai perjuangan mereka ketika dalam fatrah pemboikotan. Penangkapan ahlinya tidak menyebabkan dakwahnya terputus, malahan bertebaran ke seluruh pelusuk dunia sehingga sekarang.

Pernahkah kita mendengar nama Farag Naggar?

Beliau dihantar oleh Hasan Al-Banna masuk ke dalam Parti Komunis Mesir, sehingga menjawat jawatan Setiausaha Agung. Pada suatu malam, Hasan Al-Banna berceramah di suatu tempat. Farag Naggar ditugaskan oleh Parti Komunis Mesir untuk mengatur pembunuhan terhadap Hasan Al-Banna ketika ceramah tersebut. Beliau mengatur beberapa pemuda Komunis di satu tempat, siap untuk menyerang Hasan Al-Banna ketika ceramah, dan beliau juga mengatur beberapa pemuda Ikhwan Muslimin di satu tempat berhampiran, siap untuk menangkap dan menggagalkan sebarang usaha untuk mendekati si penceramah. Akhirnya rancangan jahat tersebut berjaya diatur dan digagalkan oleh beliau. (sumber: ust Halim Abdullah)



(4) Zionis

Zionisme adalah gerakan nasionalisme Yahudi antarabangsa yang menghasilkan negara Israel. Asal-usul gerakan ini lebih awal tetapi secara rasmi ditubuhkan oleh wartawan berbangsa Yahudi Austria-Hungary, Theoder Herzl pada akhir kurun ke-19.

*Orang-orang zionis telah mengusai dunia sekarang. Sebut sahaja apa jenama barang, kebanyakan dikuasai oleh mereka. Menjadi tanggungjawab umat ini meletakkan Islam di kedudukan tertinggi. Renungilah kata-kata Ahmad Ar-Rashid dalam kitabnya Al-Muntalaq

Siapakah yang akan melawan konspirasi Zionisme, Freemason, Propaganda Komunisme dan Atheis sekiranya orang yang bersembahyang dan ahli Ibadah tetap di dalam masjid2, tidak bergabung tenaga dengan Daei Islam? 

 Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar, perlunya ada fokus tertentu supaya dakwah berkesan. Ahmad Ar-Rashid ada menyentuh dengan satu golongan yang tidak tahu jalan kerja. Beliau juga menyentuh tentang golongan yang asyik dengan amal-amal kebajikan. Pada pandangan saya, tidak salah menumpukan kepada kerja-kerja kebajikan namun bergabung dengan jamaah itu lebih aula daripada itu. Namun, pahala itu daripada Allah. Strategi dalam dakwah juga penting untuk kebaikan umat ini.


Akhirnya, kita ingin melihat Islam terus berkembang kerana ia adalah fitrah insani dan wahyu daripada Allah dan sesuai untuk manusia. Sama-samalah kita meninggikan martabatnya. Ya Allah, kau ampunilah dosaku kerana mencuaikan agamu yang suci ini. Bantulah diriku untuk keluar daripada fitnah dunia ini.



Sabtu, 5 November 2011

Takbir ini takbir kemenangan

الله أكبر كبيرًا، والحمد لله كثيرًا، وسبحان الله بكرة وأصيلاً، لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه، مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله وحده، صدق وعده، ونصر عبده،وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ، لا إله إلا الله، والله أكبر


Takbir ini adalah takbir kemenangan...

Berapa ramai daripada kita yang ingin menjadi tetamu Allah
Berapa ramai daripada kita yang ingin menyebut kalimah takbir ini dengan penuh keinsafan...
Sebagai umat Islam, perlulah ada satu kerugian jika tidak menjadi tetamu Allah...






Kadang2 tidak ada duit, sibuk urusan itu dan ini. Namun adakah terlintas di hati kita ingin menjadi tetamu Allah?


Takbir raya di Malaysia begitu mendayu-dayu dan lembut manakala takbir bangsa arab penuh semangat dan kesungguhan. Isunya bukanlah takbir Melayu atau Arab tetapi takbir itu menyedarkan manusia supaya tidak leka daripada menyahut seruan panggilan-NYA.


 وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده

Takbir ini menghidupkan rasa roh perjuangan lahir di dalam dirinya. Takbir adalah satu seruan bahawa umat Islam adalah umat yang berjuang.

Perjuangan ini menuntut pengorbanan. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anaknya Ismail. Jika difikir, bagaimana Nabi Ismail sanggup pula merelakan dirinya untuk disembelih? Persoalan yang besar ini hanya mampu dijawab bagi merka yang betul2 menyerahkan segala urusannya hanya untuk Allah. Apa yang disuruh Allah, Nabi Ismail sanggup melakukannya kerana pergantungan yang total kepada Allah.

 

Amanah yang dipikul adalah satu tuntutan Allah yang sangat berat. Tuntutan yang berat menuntut kita untuk berkorban apa sahaja. Seorang ayah dan ibu yang ingin melihat anaknya berjaya menuntutnya berkorban mencari nafkah dan mengasuhnya menjadi orang berguna. Seorang Pelajar yang ingin berjaya menuntutnya supaya berkorban waktu dan wang ringgit semata-mata untuk sebuah kejayaan yang gemilang. Apa sahaja di dunia ini yang ingin dicapai dengan jayanya, menuntut supaya berkorban. Itulah sunnatullah alam ini.

Tidak akan berjaya umat ini melainkan mencontohi umat terdahulu. Tidak hidup dakwah ini melainkan jihad dan tidak ada jihad melainkan pengorbanan.

 

Takbir ini adalah satu seruan bahawa kita tidak perlu takut dengan musuh-musuh Islam.

Takbir ini juga perlu diisi dengan sejuta keinsafan bahawa betapa kerdilnya kita sebagai hamba Allah. 

Keberadaan kita diatas muka bumi ini, berkembang sedikit demi sedikit adalah terbina daripada pengorbanan orang lain. Sepertimana pengorbanan Nabi Adam sehinggalah kepada Nabi Muhammad dan seterusnya.

 

Syukurilah nikmat ini. Hayatilah makna pengorbanan disebalik sayup-sayup takbir yang berkumandang itu.


Sabtu, 29 Oktober 2011

Mencari titik persamaan

Akhlak seorang muslim, apabila memegang Islam perlulah merendahkan diri kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Namun, sikap merendah diri tidak menghalangnya merasa izzah dengan Islam yang dipegangnya. Ini kerana Islam adalah agama yang paling tinggi dan tidak ada agama yang tinggi melainkan Islam.



Namun yang menyebabkan kita rasa lemah pada hari ini apabila merasakan Quran itu adalah sekadar ilmu. Hanya sekadar mengetahui apa tafsirannya, apa perbezaan khilafnya dan berlegar-legar disekitar perbahasan tersebut tanpa menyedari bahawa Al-Quran sebenarnya petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.

Ditambah lagi dengan mereka yang tidak memahami Islam ini dengan baik. (Moga-moga kita dilindungi Allah) bercakap diatas tarikan nafsu. Akhirnya yang melambatkan kemenangan Islam itu terdiri daripada mereka yang bercakap bukan pada bidang mereka, cetek akal dalam memahami tuntutan wahyu dan mempunyai kepentingan sama ada daripada latar belakang agama sendiri ataupun gagal dan tertutup pemikirannya untuk menilai kebenaran.



Dakwah datang dengan fitrah manusia. Islam tidak terus menghancurkan berhala puak musyrikin Makkah tetapi menghancurkan 'berhala-berhala' yang bertapak di dalam hati manusia terlebih dahulu.

Mungkin ada yang berhujjah bahawa nabi Ibrahim pun menghancurkan berhala-berhala yang disembah oleh kaumnya. Namun perlu diingat, pada ketika itu tidak ada orang yang beriman kepada Allah melainkan seorang sahaja yang ditemuinya. Nabi Ibrahim meletakkan alat penghancur berhala diatas sebuah berhala yang paling besar supaya kaumnya berfikir bahawa berhala-berhala tersebut tidak mendatangkan manfaat juga mudarat.

Pentingnya seoarang daei meletakkan neraca pertimbangan agar tidak menjadi beban kepada dakwah tersebut. Bahayanya taasub apabila mengatakan kebenaran hanya di pihaknya, bukan di pihak yang lain. Secara jelasnya, gerakan2 Islam yang wujud di Malaysia perlulah menilai sudut2 positif daripada memandang sudut2 negatif agar kita mampu berlapang dada ketika berlaku perbezaan pendapat. Saya yakin, di dalam jiwa2 kita yang berjuang diatas jalan dakwah inginkan yang terbaik untuk Islam. Apa yang dapat saya simpulkan bahawa semakin kuat hubungan kita dengan Allah, semakin utuh kita di atas landasannya.



Sebuah jemaah perlulah mempelopori amal islami, memimpin pandangan umum, menjadi pengimbang kuasa dan menjadi rujukan yang diterima oleh masyarakat.

Moga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam melaksanakan tuntutan wahyu.  Ibarat seorang yang berpaut di batang kayu dalam meredah laut yang bergelora. Begitulah pergantungan kita kepada Allah.



Rabu, 12 Oktober 2011

KELIRU

Keliru?
Hambatan nafsu atau tuntutan wahyu?
Menentang kebatilan atau memperjuangkan keinginan?
Aku terus keliru
Pada kesetiaan mempertahankan haq atau kesilapan jalan juang.
Aku makin keliru
Inikah perjuangan
Mencari silap salah mencari aib manusia
Yang untung siapa, yang menang siapa
Kiri atau kanan bertepuk gembira
Owh tak mengapa
Bukannya merosak siapa, bukan memalukan kita...
Syariat dipijak itu memang sifat mereka...

Aku jadi keliru
Adakah jalan lain mencari perdamaian
Melihat umat terperosok ke lembah kejahilan

Namun aku yakin
Merealisasikan kesatuan perlukan keikhlasan
Pada jiwa-jiwa yang mahu berkorban
Jemaah yang cukup sifatnya
Atau menunggu tokoh dalam kecerdasannya

Majulah wahai diri
Yakinkan diri ini
Mengembalikan kitab dan sunnah pada tempatnya
Membina generasi harapan ummah

Hayyu sabi' depan Arobiata
12/10/2011
09:52 PM



Ahad, 9 Oktober 2011

Hanya Sekadar Sijil

Hanya sekadar sijil,
Kosong dalam diri,
Dilapik malas dan leka.

Hanya sekadar sijil,
Melengahkan waktu dan halatuju,
Bertandang rasa jemu,
Alfa dan lemah.

Ada apa pada sijil,
Jika sentiasa lupa,
Tugas seorang hamba.

Ada apa pada sijil,
jika amal kecil,
lagak ibarat sang kancil.

Tidak ada makna sijil,
Tanpa Kasih-NYA
kerna kita kerdil,
Dihadapan rabbul Jalil,

Kerna aku tahu,
Hakikat sebuah kehidupan,
Kita akan terus jahil,
Tanpa petunjukmu Ya Rabb,
Melangkah terus melangkah,
mencari sebuah keredhaan,
Kembali pada-Mu dengan hati sejahtera bahagia akhirnya.

Bukan kerana sijil,

Graduan Maahad Qiraat Al-Azhar....
09/10/2011, Hayyu Sabi' depan Robiata.

Sabtu, 1 Oktober 2011

Luka-luka disebalik kota yang indah

Berjalan-jalan sekitar Iskandaria memberi kerehatan dan kelegaan dalam menempuh ranjau berliku kehidupan. Suasana permai sekitar bandar ini cukup mendamaikan berbanding Kaherah yang sedikit sesak dengan jutaan manusia. Jolokan "Ibu Dunia" atau Mother of the World memberi gambaran kasar bahawa tanah tandus ini pernah menjadi rujukan dunia satu masa dahulu. Perbandingan kehidupan masyarakat Mesir sedikit sebanyak membuka mata betapa luasnya bumi ciptaan Tuhan.



Iskandaria merupakan bandar raya kedua terbesar di negara Mesir selepas Kaherah.
Bandar ini dinamakan sempena nama pengasasnya, Alexander The Great dan berkembang menjadi antara kota yang terbesar suatu ketika dahulu. Namun, selepas penubuhan kota Kaherah oleh kerajaan Islam Zaman Pertengahan, bandar ini telah merosot sehingga menjadi perkampungan nelayan semasa zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah. Kini, Iskandariah merupakan pelabuhan utama Mesir dan pusat kawasan industri dan penghasilan tekstil, makanan diproses, kertas, plastik serta penapisan petroleum.

Pantainya yang indah cukup menenangkan pengunjungnya. Keindahan pantainya dihiasi juga dengan masyarakatnya yang berpegang dengan syariat Islam. Jelas kelihatan disekitar pantainya terdapat kalimah-kalimah bercorak Islam menghiasi pemandangan. Satu realiti yang tidak terdapat di bumi tercinta Malaysia. Satu petanda bahawa perlu sedar dan mengambil manfaat di sebalik kota indah ini.



Terdapat kalimah-kalimah berunsur nasihat dan peringatan. Bagi pasangan muda-mudi yang ingin mencuba-cuba berpeleseran pasti merasa segan meneruskan gaya 'belangkas' apabila melihat ayat-ayat Quran yang ditayang khusus bagi yang tidak membekalkan pada diri mereka sifat malu. Saya terfikir sungguh bersesuaian dipraktikkan di pantai-pantai Malaysia pula selepas ini. Pihak berwajib perlu menyelami ke dasar hakikat ini. Tugas yang diberi bukan digunakan mengintip mencari kesalahan sebaliknya memahami bahawa pantai itu bukan medan berhibur semata-mata sampai terbabas jauh daripada syara'. Namun apa yang perlu, didikan kepada masyarakat perlu menebal bagi menyedarkan betapa pentingnya hidup saling-menasihati.

                                        Batu ini bertulis ayat Quran yang membawa maksud "katakanlah kepada lelaki yang beriman supaya mereka menjaga pandangannya".


Bukan sahaja lelaki, perempuan juga kena menjaga pandangannya


Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala perbuatannya)?


Malu adalah sebahagian daripada Iman

Pendakwah perlu kreatif dan bersifat waqie (setempat). Masyarakat Mesir yang kreatif mencari alternatif menghiasi pantai-pantai bagi mencegah kemungkaran daripada sebarang kemungkinan yang berlaku.

Saya merasakan bahawa majoriti masyarakat Islam di dunia ini tengah 'tidur' dan menjadi kewajipan kepada kita untuk melihat manusia dengan pandangan yang perlu disedarkan. Walaupun dimana anda berada, walaupun susahnya jalan untuk menyelusurinya.



Kota Iskandariah suatu kota yang indah. Disebaliknya pula tersimpan luka-luka derita yang perlu dirawat dengan segera. Kalau bukan anda dan saya, siapa lagi? Bangunlah dari lena yang panjang menaikkan Islam yang gemilang.


Sabtu, 24 September 2011

Bukan Kata-kata Bukan Retorika

Hanya perkenalan sehari dua sudah boleh dikatakan Ukhuwwah?

Hanya seronok dengan kata-kata manis sudah dibilang Ukhuwwah?

Mungkin ada yang memahami ukhuwwah sekadar bergelak ketawa.



Ukhuwwah bukanlah kata-kata retorik semata-mata bahkan lahir daripada hati yang dalam. Lihatlah sirah bagaimana tingginya darjat ukhuwwah sahabat nabi yang memberikan air kepada sahabat-sahabat lain di medan peperangan. Ketika diri sendiri amat memerlukan, sanggup pula mendahulukan orang lain walaupun natijahnya beroleh sebuah kematian.

Ukhuwwah tidak akan mampu dibeli dengan wang ringgit tetapi menuntut kearah sebuah pengorbanan yang maknawi.

Ukhuwwah bukanlah sekadar memberi bahkan menuntut seorang yang mampu berdikari.  Kefahaman ukhuwwah yang sebenar adalah (صلة العقيدة) iatu hubungan yang berlandaskan aqidah antara sesama muslimin.



Ketika Saad bin Rabi' berkata kepada Abdurrahman bin Auf, “Saudaraku, aku adalah penduduk Madinah yang terkaya. Aku mempunyai dua kebun dan dua isteri. Pilihlah kebun mana yang kau suka dan isteri mana yang kau kehendaki, aku akan melepaskannya agar menjadi kebunmu dan isterimu.”
Abdurrahman bin Auf menolak dengan halus, “Allah memberkati harta dan keluargamu. Tetapi tunjukkan sahaja padaku dimana letaknya pasar”.

Menjadi dalil bahawa sahabat nabi tidak menunggu datangnya ukhuwwah tersebut malah pergi mencari pula dan mampu berdikari dengan sendiri.

Mempunyai teman yang aqrab perlulah disemai rasa berukhuwwah, meluruskan jalan kehidupannya dan turut menasihatinya.

Ukhuwwah tidak terbatas pada kelompok atau kumpulan tertentu bahkan perlu wujudnya perasaan berukhuwwah  dengan mereka yang bukan sealiran dengannya. Dengan terbinanya hubungan itu, maka wujudlah masyarakat yang saling berkasih-sayang.

Teman yang baik bukanlah yang mengagguk-ngangguk setuju sahaja bahkan boleh sahaja teman yang berbeza cara fikir dan tindakannya. Persahabatan bukan untuk mencari insan yang terbaik sifatnya tetapi adalah insan yang inginkan terbaik untuk diri kita.



Persahabatan perlulah dipelihara, dibaja dan dirasa. Persahabatan yang dibentuk lama, suka duka dikongsi bersama namun mampu berakhir dengan sengketa dek kesilapan sekelumit cuma. Hanya bergaduh sekali, habis ukhuwwah yang dibentuk bertahun-tahun. Benarlah kata-kata Fudhail bin Iyadh, “Siapa mencari sahabat tanpa cacat, nescaya sepanjang hidupnya tidak mendapat sahabat.”

Jadi berukhuwahlah dengan sebaiknya, bersahabatlah dengan ikhlas mengharap pahala daripadaNYA, pasti ada kemanisan yang menanti dipenghujungnya.

 لا يوءمن أحدكم حتى يحب لاْخيه ما يحب لنفسه

Isnin, 19 September 2011

Bait Muslim

Mabruk buat akhi mukmin dan syamil atas pernikahan ini, moga bait muslim yang dibina akan menguatkan dakwah ini.


moga dakwah ini berkembang menjalar daripada tapaknya yang kukuh untuk melahirkan generasi2 harapan membawa kegemilangan Islam, ameen....

Jumaat, 12 Ogos 2011

Perlu sedar kita bertembung dengan siapa



Melihat perkembangan politik Malaysia amat membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Mungkin dulu Parti yang berstatus Melayu Muslim akan mengemukakan manifestonya siapa yang lebih baik islamnya. Maka wujudlah istilah Islam Hadari ataupun Hadarah Islamiah. Persaingan ini walaupun kelihatan tegang, namun ia masih dalam lingkup ruang kepentingan Islam menjadi keutamaan.

Tapi yang menjadi kebimbangan ialah wujud perasaan lunak kepada non-muslim. Isu2 seperti kalimah Allah, Muslim masuk gereja, Anak Malaysia Isu BERSIH dan sebagainya bagi pandangan saya agak kurang menguntungkan kepada Islam di Malaysia.



Maka disinilah kita perlu melupakan sementara kisah2 silam dan bersatu menentang musuh yang nyata. Marilah kita hayati firman Allah yang agung ini.


 أذلة على المؤمنين أعزة على الكافرين

Bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman dan bersikap keras terhadap orang-orang Kafir.

Tanggungjawab yang berat ini dipikul oleh pendakwah. Imam Kailani mengatakan martabat yang kurang sikit daripada martabat Nabi adalah Martabat orang yang berdakwah pada jalan Allah.

Antara masalah besar ialah kita tidak tahu dengan siapa kita bertembung. Para daei disarankan membaca risalah بين الامس والايام (Antara semalam dan hari ini) karangan Imam Hassan Al-Banna tentang maksud pertembungan tersebut.

Menjadi masalah kita umat Islam di Malaysia ialah tidak faham secara mendalam sesuatu isu dan membuat tindakan yang simple dan mudah tanpa memikirkan apa disebalik tabir sesuatu itu.


Umat Islam perlu menyelesaikan sesuatu isu dari akar umbinya. Bukan sekadar memperbaiki juzuk2 tertentu dan seharusnya kita berusaha untuk berfikir diluar kotak tentang dalang disebalik kejadian.Umat Islam perlu bersatu mempertahankan kedaulatan Islam bersama.



Sistem Islam bukan sistem pelengkap, mahupun penampal2 untuk menyempurnakan sistem humanisme. Sistem Islam yg lengkap turun daripada Pencipta yang mengetahui segala tentang ciptaannya dan merupakan sistem tertinggi yg berdiri dengan sendiri. Humanisme lebih meletakkan kehendak manusia paling tinggi.


Hak kesamarataan sering disalahtafsirkan. Jika di barat, atas nama hak asasi telah memenangkan perjuangan kumpulan "gay" yang berselindung disebalik hak kebebasan bersuara. Maka atas nama demokrasi dan melihat jumlah siapa yang paling kuat menyokongnya, maka golongan "gay" telah diterima sebagai sah disisi undang-undang.
 


Jadi betapa pentingnya kita faham dengan siapa kita bertembung. Mengubah budaya yang bertapak dalam masyarakat lebih sukar daripada mengubah kerusi2 politik yang ada. Politik adalah sebahagian daripada Islam itu sendiri tetapi berpolitiklah atas kepentingan ummah sejagat bukan semata2 memenangkan kepentingan partinya.



Maaf dipohon jika tulisan ini mengguris sesetengah pihak. Saya menulis untuk kepentingan Islam bersama. Apa yang saya rasa baik untuk agama saya. Moga kita diberi taufik dan hidayah di bulan Ramadhan ini.

Sabtu, 16 Julai 2011

BEKALAN TAQWA

Permusafiran yang jauh dan panjang memerlukan bekalan yang banyak. Ibarat seorang pengembara yang berjalan di tengah panasnya Sahara, pastinya amat menguji kesabaran juga kecekalan. Jika letih ditengah jalan, perlunya kerehatan dan makanan yang cukup untuk meneruskan destinasi yang ingin dituju. Jika di Sabah sendiri, jarak Kota kinabalu-Tawau mengambil masa 8 jam menerusi jalan darat. 8 jam tanpa sebarang makanan dan minuman ditambah dengan keletihan perjalanan yang panjang pastinya menguji kesabaran.



Permusafiran yang panjang seorang hamba yang bernama insan untuk menuju sebuah kehidupan.

Malas, letih, lemah dan bosan sering bertandang di dalam kehidupan. Jika tidak mencegahnya daripada awal, pasti mudah terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan. Ini kerana masa sudah tidak teurus dengan betul, fokus untuk perkara yang besar telah bertukar memikirkan perkara yang kecil lagi remeh. Mungkin ada benarnya kata2 Amru Khaled, seorang motivator dan juga pendakwah di negara Mesir, beliau berkata "masa lapang seorang pemuda adalah awal maksiat". Ini kerana pemuda mempunyai semangat yang berkobar-kobar dan tubuh badan yang sihat di usia muda digunakan untuk melaksanakan  pelbagai aktiviti. Jika membiarkan masa penuh dengan kelapangan tanpa sebarang kesibukan pastinya menunggu jarum2 suntikan syaitan untuk membuat perkara yang diharamkan oleh Allah Taala.



Masa lapang perlulah diisi dengan sesuatu yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Jika tidak disibukkan diri dengan benda2 yang baik, kita mudah terjerumus dan sibuk dengan benda2 yang buruk.

Wahai sahabat2ku dan diriku terutamanya, ingatkah kita kepada sirah Rasul yang mulia. Rasulullah menyediakan bekal yang cukup besar untuk memikul tugas dakwah yang berat. Tugas dakwah yang besar memerlukan bekal yang banyak. Beliau dan para sahabat diwajibkan untuk qiamullail selama setahun bagi memikul risalah yang besar dan perjalanan yang cukup jauh. Rasulullah beribadah sehingga bengkak kakinya. Malah selepas fatrah setahun, Rasulullah tetap diwajibkan untuk berqiamullail bagi menjernihkan hati, menguatkan tekad bagi menghadapi ranjau2 perjuangan yang panjang menentang kekufuran sehingga tiada lagi fitnah di dalam agama.



Maka sudah semestinya umat Islam memperbanyakkan bekal menghadapi mehnah dan tribulasi. Perkara fardhu menjadi kewajipan, Quran ditatapi dan dibaca setiap hari, solat2 sunat dikerjakan dengan keikhlasan, bersedekah dan berpuasa sudah menjadi darah daging perjuangan. Tanpa bekal2 ini, sudah tentu kita akan futur dan tewas ditengah jalan. Perjuangan untuk membersihkan hati nurani akan sentiasa berterusan. Islam tidak akan menang dengan melupakan Tuhan. Maka sewajarnya kita mengambil dan mengisi sebanyak2nya bekal. Apabila Rasulullah diseru "bangunlah", maka beliau bangun tanpa memikirkan kesenangan diri dan keluarga. Beliau bangun tanpa rehat yang cukup selama lebih 20 tahun untuk memimpin seluruh umat manusia, menegakkan akidah dan seterusnya menghancurkan "berhala-berhala" di dalam hati manusia sebelum memusnahkan berhala2 puak musyrikin Mekah.

"Berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepadaku wahai orang-orang yang berakal." (Al-Baqarah: 197)

Akhirnya dengan kesungguhan Rasulullah dan para sahabat, kita dapat menikmati iman dan Islam sehingga sekarang. Nikmat yang paling besar untuk kita selamat pada hari yang tidak ada manfaat harta dan anak-pinak.

“Hari yang tidak bermanfaat harta benda dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera”.(Surah Asy-Syu'ara' 88-89) 

 Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah diriku dalam ketaatan kepadamu. Tetapkanlah diri ini dengan rasa cinta dan kasih kepadamu.

"Katakanlah, wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah engkau berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (surah az-Zumar: 53) 



Moga secebis nasihat ini ada manfaatnya ^_^

Selasa, 12 Julai 2011

Kutemui Islam sebelum Muslim





Perjalanan daripada St.Tressa ke Saiyyidah Zainab mengambil masa sekitar 20 minit. Kebiasaannya, pelajar di Ardhul Kinanah ini menggunakan Keretapi Metro. Jika di Malaysia, fungsinya lebih kurang sama seperti Komuter. Istimewanya, sistem pengangkutan ini bergerak di bawah tanah. Pelajar Malaysia yang tinggal di Saiyyidah Zainab rata-rata mengambil jurusan perubatan.


Setibanya di sebuah hospital, sapa seorang arab.

“ Ismak eh”, kata orang arab itu dengan nada mesra, “Ismi Muhammad”, saya menjawab dengan bersahaja (tidak menyebut nama sebenar). “Ana Khaled, sakin qarib hina, fi akhir syari”, balasnya semula, memperkenalkan nama dan tempat tinggalnya. Umurnya masih muda, sekitar 25-30 tahun.

Perbualan seorang anak Melayu dengan seorang arab Mesir membuahkan sedikit manfaat. Dalam dunia yang begitu luas dan masyarakat berlainan budaya, pertemuan dua insan yang berlainan bangsa dan negara cukup menambahkan pengalaman dan penghayatan. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia bersuku-suku dan berbangsa-bangsa adalah untuk saling kenal mengenali. Perbezaan diciptakan untuk mencari persamaan.



“ Enta tadris hina”? tambahnya.“Aiwa, fi gamiktil azhar”, saya membalas spontan dengan pelat Ammi Mesir yang tidak seberapa fasih. “Misri helwa wala Malizia?”, arab itu mengajukan soalan dengan nada gurau. “ Malizi ahsan”, saya membalas semula. Terlintas di dalam hati akan peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri.

“Le”? (kenapa) tanya arab itu meminta kepastian. Sebelum menjawab pertanyaannya, saya cuba berfikir sejenak, melihatkan sikapnya yang ramah dan tanpa sebarang kecurigaan, “asyan kathir zibalah hina.” ( sebab banyak sampah disini). Melihatkan raut wajahnya yang tidak seberapa puas dan seperti dirinya ingin bertanya lagi, saya pun menyambung kalam , “ wa kathir ulama’ bardhu”, (dan banyak ulama’ juga).

Bukan bermaksud merendah-rendahkan negara orang, tetapi ingin mencari hikmah disebalik perbualan.

Selepas itu, persoalan dan perbincangan lebih banyak tertumpu pada soal perbezaan firqah-firqah yang terdapat di Mesir, permasalahan fiqhiyyah dan aliran-aliran pemikiran yang tidak berapa berminat pada asalnya untuk saya nyatakan disini. Saya menamatkan perbualan dengan menyatakan umat Islam kena bersatu pada hari ini, walaupun mempunyai banyak firqah dan mazhab.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Muhammad Abduh, sekembalinya dia daripada pembuangan barat, kata Muhammad Abduh: “ Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim, saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!"



AKHLAK MULIA HIASAN DIRI

Teringat kata-kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi ketika beliau diajukan dengan satu soalan, “kenapa umat Islam yang ramai pada hari ini tidak dapat bersatu”?, maka Dr yusuf Qaradhawi pun menjawab dengan jawapan yang cukup ringkas tetapi makna yang cukup mendalam, “sebab ramainya umat Islamlah kita tidak dapat bersatu”.

Bukan persoalan ramainya umat Islam atau tidak, tetapi apa yang ingin ditekankan adalah sikap atau akhlak seseorang yang mengaku muslim.

Berbangga dengan slogan ‘the way of life’ ataupun ingin menjadi kuat berpegang Islam dengan menyimpan janggut dan memakai serban? Cukupkah sekadar memegang tasbih dan zikir-zikir yang diamalkan boleh menjamin keteguhan Islam seseorang?

Semua itu benar tetapi ada yang lebih utama untuk diketengahkan.

Kebanyakan daripada kita masih selesa dengan keadaan di Masjid. Asalkan kita berbahagia bersolat, mengaji, asalkan kita berbahagia di dunia kita.

Padahal Islam lebih daripada itu.

Akhlak mulia sifat yang amat terpuji. Manusia yang berakhlak amat disenangi masyarakat di sekelilingnya. Contoh tauladan ataupun ‘Role model’ bagi kita yang beragama Islam ialah Rasulullah s.a.w.

Apabila datang seorang bertanya kepada Aishah tentang akhlak Rasulullah, Aishah menjawab, “akhlaknya adalah Al-Quran”. Ini kerana kehidupan Rasulullah dipenuhi akhlak yang mulia berteraskan Al-Quran itu sendiri. Majoriti mereka yang masuk Islam adalah kerana tertarik dengan akhlak Baginda. Berakhlak maksudnya menggembirakan hati orang lain.



Memang benar apa yang dikatakan oleh Aid Al-Qarni dalam bukunya La tahzan: “orang yang pertama mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Jadi bila anda dukacita, carilah orang lain dan gembirakanlah mereka. Nanti hati anda juga akan turut gembira”.

Menggembirakan orang lain adalah petanda seorang itu mempunyai akhlak yang tinggi. Berakhlak kepada orang lain akan menggembirakan hati kita sendiri.

Namun, realiti umat Islam pada hari ini tidak seperti itu. Islam sering dikaitkan dengan peribadi yang lemah. Gejala sosial, kes buang bayi, penagihan dadah sering mengisi tempat di dada-dada akhbar tempatan. Kadang-kadang tertanya-tanya, dimana silapnya, terutama bangsa Melayu Islam sekarang kerana mereka adalah majoriti yang beragama Islam. Bukanlah tujuan mencari kesalahan bangsa sendiri, tetapi ingin mencari sebab dan solusi akan realiti kebanyakan kehidupan Melayu Islam masa kini.



ISLAM WARISAN

Mak dan ayah muslim, Insyaallah anak pun muslim. Mungkin inilah yang terlintas di fikiran kita. Muslimnya seorang ayah, maka anak-anak pun ikut muslim sama, bak kata pepatah, ‘bapa borek anak rintik’. Sudah seperti menjadi satu mindset, jika ayah seorang ulama’, anak pun akan mengikut jejak ayahnya.

Semestinyakah begitu?

Didikan seorang ayah yang mentaati agama, mengamalkan isi Al-Quran yang difahaminya, belum tentu dapat memahamkan si anak pula kerana iman itu tidak dapat diwarisi. Teringat lirik kumpulan nasyid Raihan, ‘iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa’.



Muslimnya seorang ayah, belum tentu menjamin anaknya juga muslim. Muslimnya seorang ayah mungkin hanya menjadikan anaknya ‘muslim’ tanpa ‘mukmin’, maka wujudlah apa yang diistilahkan sebagai Islam warisan.

Islam warisan tidak menjanjikan apa-apa. Betapa ramai umat yang muslim, tetapi hanyalah umpama buih-buih yang banyak di lautan. Islam yang hanya tercatat pada kad pengenalan seseorang tidak menjamin kehidupan yang bahagia di akhirat sana. kita perlu membezakan Islamnya kita dengan Islamnya ayah kita.

SALAH FAHAM PERLU KEPADA BETUL FAHAM

Andainya ada orang lain yang salah anggap terhadap kita, pastinya kita akan berusaha untuk memperbetulkan kesilapan itu dengan cara memberitahu kepada yang berkenaan agar nama baik kita akan terpelihara. Maka begitu juga dengan Islam yang kita yakini. Apabila wujud salah faham Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang Islam yang kita imani.

Tidak dapat dinafikan, umat Islam mundur kerana serangan pemikiran atau ‘ghazwatul fikr’ yang dilontarkan kepada umat Islam. Umat tidak terjajah pada zahirnya, tetapi terjajah pada mindanya. Kaum Kuffar sengaja mencipta Islamophobia di kalangan mereka untuk menakutkan masyarakat mereka akan Islam itu. Untuk mencipta Islamophobia , diciptanya istilah ‘pengganas’.Seolah-olah apa yang datang daripada barat semua betul dan semua baik-baik belaka.



Namun, tanpa kita sedar, kemunduran umat Islam adalah berpunca daripada umat Islam yang tidak berpegang kepada ajaran Islam yang hakiki dan maknawi. Islamophobia berpunca daripada ketidakfahaman umat Islam tentang Islam itu sendiri. Kita sendiri sebagai umat Islam yang mewujudkan Islamophobia. Sifat mahmudah terhakis daripada jiwa-jiwa pemudanya, semangat merundum dan hilang keyakinan pada diri sendiri. Akhirnya, dunia melihat Islam sebagai jumud, tidak bertamadun dan ada juga yang berpendapat, Islam menindas hak-hak kewanitaan dan hak kesamarataan.

Salah faham mereka atau salah siapa?

Islam di Eropah dan barat makin diterima.Umat Islam bertambah secara mendadak. Bezanya, kita di Malaysia walaupun sudah lebih daripada 50 tahun merdeka, masih tidak mampu menarik bangsa lain kepada Islam. Masjid pula hanya ekslusif untuk yang sudah Islam.

Kini sudah mula pula menular ‘masjidphobia’ di kalangan masyarakat di negara kita. Orang bukan Islam mempertikaikan azan yang dikumandangkan dengan mencipta alasan kerana mengganggu kehidupan dan membuat bising di kawasan perumahan mereka.



Bagaimana ingin menjelaskan kepada masyarakat?

Umat Islam perlu muhasabah diri mereka. Masjid bukan untuk menjadi hiasan, tetapi untuk diimarahkan. Kadangkala mereka yang dikatakan muslim itulah yang bersifat mazmumah dengan mengabaikan jiran terdekat dan tidak mempraktikkan dakwah , padahal hanya dengan budi pekerti yang mulia dan keramahan yang bukan dibuat-buat sudah cukup untuk memenangkan hati-hati yang sememangnya mencari. Malangnya ada tokoh-tokoh Islam sendiri menakut-nakutkan muslim agar ‘mengurang’kan keislamannya.

Mungkin kita boleh renungi apa yang dikatakan oleh seorang mualaf yang baru memeluk dan mengenali Islam, katanya , “mahasuci Allah, yang menemukan aku dengan Islam (ad-Din) sebelum mengenali muslim”(orang-orang Islam).

Bagaimana akibatnya jika mualaf itu pada permulaan mencari hidayah, bertemu muslim yang tidak memperaktikkan Islam?



KEBANGKITAN UMMAH

Akhirnya, formula untuk kebangkitan umat tidak lain dan tidak bukan adalah umat Islam perlu yakin pada diri mereka sendiri dan tidak terikut dengan rentak barat. Individu yang masih ada rasa ‘aku’ dan ‘diriku’ perlu kepada rasa ‘kita’ dan untuk ‘semua’. Islam adalah manhaj syumul dan membahagiakan penganutnya kerana ianya rahmat sekalian alam. Jatuhnya martabat Islam kerana jiwa-jiwa muslim yang tidak ingin memegangnya.

Sebab itu Hassan al-Banna pernah berkata:

“Faham itu sebelum ikhlas”, kita perlu ‘faham’ sebelum ‘memahamkan’ yang lain. Tanpa Iman, Islam hanya ada di fikiran dan lisan bukan di hati dan amalan.

Umat yang faham akan perkara ini akan terus bekerja kepada apa-apa yang ingin dicitakan, Maka, kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Betulkan salah faham, buktikan kita sepertimana yang diungkapkan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud ‘kamu adalah sebaik-baik ummah’.Kebanyakan daripada kita hanya menyelesaikan sesuatu perkara hanya pada ‘permukaan’, bukan mendasar kepada ‘akarnya’.



Ingatlah kita kepada sirah Rasulullah s.a.w. Baginda menghancurkan ‘berhala-berhala’ yang bertapak di dada-dada manusia sebelum menghancurkan berhala-berhala yang disembah puak Musyrikin Mekah.

Kita lupa melihat Islam pada diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum menterjemahkan Islam yang kita fahami kepada orang lain. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Ustaz Mustafa Masyhur, dalam kitab Feqh Dakwah, “baiki diri dan ajak orang lain”.

Hidup jika dilihat pada perbezaan, maka banyaklah yang berbeza kerana manusia memang diciptakan dengan perbezaan supaya mereka saling faham dan mengenali antara satu sama lain. Ambillah pengajaran daripada kata-kata seorang motivator dan juga seorang pendakwah, “mengetahui perbezaan bukan untuk mencetuskan perbalahan, tetapi supaya boleh mendefinisikan diri”. Lihatlah pada persamaan,kerana disitu akan muncul kesamaan yg membawa kepada keserasian.

Jadilah kita umat yang bersatu padu dan bersungguh-sungguh beramal dengan Islam yang membawa penganutnya kepada kesejahteraan dunia dan akhirat. Muslim yang sejati akan keluar daripada kepompong ,membesar dengan baik untuk menjadi rama-rama yang cantik dan singgah daripada bunga ke bunga di sebuah taman yang indah.

Siapa lagi yang ingin kita sandarkan harapan untuk menyuburkan agama Islam tercinta? Mungkinkah kita rama-rama yang cantik itu?


Isnin, 11 Julai 2011

Jangan bersedih, selepas gelap pasti ada terang


Betapa indahnya alam ini. Binatang dan serangga yang bemacam jenis, buah-buahan yang pelbagai rasa, manusia yang pelbagai ragam, hidupan laut yang tidak terbilang. Disebabkan pelbagai ragamnya alam ini dan cukup mengasyikkan pandangan mata, sepatutnya kita berasa gembira. Tetapi kenapa kita memilih untuk bersedih hati?



 Ada serangga kecil, ada serangga besar, ada haiwan merangkak, ada juga yang berkaki dua. Terlalu indah dan uniknya ciptaaan Allah. Cuba kita mendongak ke atas awan dan perhatikan burung yang terbang bebas dengan mengepakkan sayapnya dan burung itu tidak akan jatuh menghempas ke dataran bumi. Adakah kita yang menahannya  atau Allah yang menahannya agar mampu bergerak ke sana dan ke mari. Sepatutnya kita perlu bersyukur melihat burung itu terus berkicauan namun kadang-kadang kita kurang mengambil pengajaran bahawa yang mencipta ini semuanya adalah Allah.




Lihatlah pula buah yang pelbagai rasanya. Zda yang pahit, manis dan masam. Ditanam dengan tanah yang sama tetapi mengeluarkan rasa yang berbeza-beza. Jika petani mogok tidak mahu menanamnya, pasti kita merungut kesukaran. Pernahkah kita sedar siapakah yang menggerakkan awan. Melalui awan itu turunnya hujan mencurah-curah membasahi bumi seterusnya menyuburkan tanaman. Buah yang manis itu dapat kita makan. Maka nikmat Tuhan yang manakah cuba kita dustakan? Hayatilah firman Allah:

“Dan di antara tanda-tanda-Nya (ialah) bahawa Engkau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ianya bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan Yang menghidupkannya, Pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Fussilat 41: 39).



Cuba perhatikan pula matahari, bulan, bintang dan cakerawala alam yang indah bergemerlapan di waktu-waktu santai kita memandangnya penuh keasyikan. Pastinya langit yang biru itu begitu mempesona dihiasi dengan bulan dan bintang. Matahari pula sifatnya cukup panas dan mampu mengeringkan pakaian. Bulan yang indah menyinari pada waktu malam sehingga kita leka menikmatinya di pesisiran pantai. Lalu kita perhatikan pula bintang-bintang digunakan sebagai panduan arah perjalanan yang tidak terkira banyaknya. Bintang itu hakikatnya lebih besar daripada mentari di siang hari. Adakah semua ini cukup membuatkan kita bersyukur terhadap kurniaannya yang tidak terhitung?



Lihatlah pula pada anggota tubuh kita. Mata yang boleh melihat kebesaran Allah. Telinga berfungsi mendengar kalam-kalam manusia. Jika ditarik nikmat mendengar, sudah tentu terasa asing hidup di muka bumi. Tanpa bunyi-bunyian, tanpa faham apa yang dituturkan orang. Terasa hidup keseorangan. Jika diberi pilihan harta seluas Uhud dan telinga sepasang, sudah tentu nikmat pendengaran yang menjadi pilihan. Melalui telinga kita memahami perbualan dan mendengar lantunan ayat-ayat al-Quran. Bersyukurkah kita terhadap nikmat ini?
 

"Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?"( Adz-Dzariyyat 51: 21)

Semua nikmat yang Allah kurniakan hendaklah disyukuri dan dihayati. Namun kita terus alfa dan masih lagi melakukan kemaksiatan. Telinga kita masih mendengar perbualan caci maki. Mata masih lagi melihat benda haram.

Kita masih lagi bertangguh-tangguh melakukan ibadah. Solat sering sajaha di akhir waktu, kikir untuk bersedekah, pentingkan diri, tidak mengambil peduli urusan umat Islam. Kita merasakan diri sendiri paling terbaik. Manusia lainnya kerdil. Sifat tamak menguasai diri dan kita membawa sekeping hati yang amat parah untuk diubati. Kita menjangka semakin tenang dengan apa yang kita miliki tetapi tanpa sedar dengan melupakan tuhan hanya menjadikan kita bertuhan hawa nafsu. Sekeping hati yang menuju kepada sebuah kematian!

Dalam diri kita masih inginkan kebaikan. Dalam hatmerasai nikmat HATI yang tenang. Lupakah kepada firman Tuhan:

 "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram
(Ar-Ra'du: 28)





Jangan Bersedih, selepas gelap terbitlah terang.
Jangan bersedih, Tuhan mencipta kebaikan untuk engkau melupakan kejahatan.
Apakah dengan berfikir masa lampau yang penuh kelam boleh mengembalikan semula semangat yang hilang?

Jangan bersedih, fokus hari ini, jangan menarik fikiran ke belakang, jangan pula bersangka2 hari yang mendatang kerana hari depan itu belum dicipta. Buat yang terbaik pada hari ini kerana hari ini anda sudah terlalu sibuk.

Jangan bersedih. Apakah awan yang berarak ingin ditahan pergerakannya, mentari yang memancarkan sinarnya kembali ditempat terbitnya?

Jangan bersedih. Selepas kesulitan ada kesenangan. Apakah ingin menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan kesedihan. Kesedihan menampakkan wajah yang kurang ceria dan tidak disenangi. Bergembiralah kerana syurga itu dihiasi dengan insan2 yang penuh kegembiraan dan kenikmatan. Lupakah nasihat junjungan mulia kepada sahabatnya, Abu Bakar di Gua Thur ketika dikejar oleh musuh-musuh Allah? 

"Jangan bersedih sesungguhnya Allah bersama kita".

Janganlah kamu berasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamu orang yang paling tinngi darjatnya jika kamu beriman (Ali-Imran: 139)

Teruskan beramal, buat kebaikan untuk masa depan Islam kerana itulah tujuan hidup diciptakan.

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah  (Az-zaariaat 51:56)


Ukirlah sebuah senyuman untuk menghilangkan kesedihan ^_^