Jumaat, 28 Disember 2012

Apa yang aku faham tentang Islam

Hari ini ramai manusia bercakap tentang Islam. Namun, adakah kita telah memahami Islam dengan sebenarnya?

Soalan ini lebih jujur untuk ditujukan kepada diriku. Adakah aku semakin dekat dengan Allah dengan Islam yang aku imani sekarang ini?



Islam sangat indah dalam mengatur kehidupan manusia diatas muka bumi ini. Bermula daripada cara buang hajat oleh seseorang hinggalah kepada cara menegakkan sistem khalifah diatas muka bumi Allah ini.

Itulah Islam, tidak terdapat didalam agama-agama lain. Terlalu indah. Hanya manusia yang diberi hidayah oleh Allah yang dapat merasai kemanisannya. Hatta, keindahan Islam itu mampu dirasai oleh mereka yang bukan Islam.

Ini diakui oleh Amerika Syarikat satu ketika dahulu yang pernah mengharamkam arak kerana telah jelas akan bahayanya. 

Kalam-kalam motivasi ataupun lontaran hati nurani tidak cukup menandingi keindahan Islam. Hanya Islam yang mampu menaungi kehidupan umat secara umum.

Oleh itu bagi mereka yang memahami Islam ini dengan pemahaman yang sempurna, pastilah tidak mengambilnya secara separuh-separuh, mengambil sebahagian yang lain dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Amatlah tidak boleh diterima akal apabila seorang yang mengucap syahadah, mengambil perintah Allah untuk berpuasa sementara pada bahagian yang lain menolak hukum qisas. Tidak kena juga apabila dia menerima ayat-ayat yang mewajibkan solat disamping menolak pula ayat-ayat yang mengharamkan riba.



Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitabnya ملامح مجتمع مسلم:

Sesungguhnya manusia itu berada itu berada diantara dua hukum, tidak ada yang ketiganya, iaitu hukum Allah atau hukum Jahiliyyah. Maka barangsiapa yang tidak rela untuk menerima yang pertama, bererti ia terjerumus pada yang kedua.

Itulah hakikat yang kita kena faham. Di dunia terdapat tiga kelompok, orang yang beriman kepada Allah, orang-orang yang munafik dan orang-orang yang kafir.

Maka dimanakah kita berada? Dimanakah kita meletakkan posisi kita selaku insan yang kerdil ini?

Ya Allah, masukkanlah aku di dalam kelompok orang-orang yang memperjuangkan agamaMu. Masukkanlah aku dikalangan orang-orang yang engkau cintai, selamatkanlah aku daripada panasnya api neraka.

Ya Allah, Engkaulah yang Maha berkuasa diatas setiap sesuatu, Engkau juga yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Jumaat, 19 Oktober 2012

Risalah Menuju Cahaya

Nota-nota penting

TANGGUNGJAWAB SEORANG PEMIMPIN

-Amanah di tangan dan disoal di akhirat kelak
-Perlu memikirkan generasi yang memikul beban selepasnya.



MASA PERALIHAN

-Amat penting kerana masa itulah bermulanya kehidupan ideologi yang baru.

(على مفترق طريقين)

-Membebaskan umat dalam belenggu penindasan politik
-menegakkan bangun umat sejak dari awal agar boleh bersaing secara sihat.

KEISTIMEWAAN ORIENTASI ISLAM

-Kebenaran manhaj Islam telah teruji dan sejarah menjadi saksi.
-Manhaj Islam telah berhasil mencetak umat paling kuat.
-Kesucian manhaj Islam menjadikannya mudah diterima daripada semua lapisan.
-Jalan ini mengukuhkan persatuan arab secara khusus dan peraturan Islam secara umum.
Manhaj Islam manhaj yang sempurna, mengambil yang maslahat dan menjauhi yang mudarat.




-Jalan Islam melepaskan kita daripada sebarang kesulitan.
-Apabila melalui jalan Allah, pasti banyak dugaan.
-Kemajuan barat pernah jatuh disebabkan kehancuran akhlaknya.
-Barat pernah menguasai dunia, begitulah silih berganti penguasaan antara Islam dan barat.



ISLAM MENJAMIN KEPERLUAN BANGSA YANG BANGKIT

-Tidak ada satu ideologi yang dapat memberikan apa-apa yang diperlukan oleh umat yang sedang bangkit melainkan Islam.
-Umat yang bangkit memerlukan cita-cita yang luhur.
-Sifat putus asa merupakan jalan kekufuran dan merupakan salah satu fonomena kesesatan.

ISLAM DAN KEBANGSAAN

-Umat yang bangkit memerlukan rasa bangga terhadap bangsanya.



TANAH AIR DALAM PENGERTIAN ISLAM

- Wilayah geografi secara khusus.
-Meluas ke berbagai negeri Islam kerana bagi setiap muslim, negeri-negeri itu adalah tanahair dan kampung halamannya.
-Melebar ke berbagai bekas wilayah daulah Islamiyyah.
-Meluas ke berbagai negeri kaum muslimin sehingga mencakup dunia seluruhnya.



ISLAM dan ROH PERAJURIT

-Umat yang bangkit memerlukan kekuatan yang besar.
-Untuk memeperolehi barang yang mahal nilainya -Yakni redha Allah- Mereka harus membayar dengan harga yang mahal pula.
-Musuh berperang dengan tujuan yang tidak jelas.



ISLAM DAN KESIHATAN SECARA UMUM

-Allah menjadikan kekuatan fizikal sebagai salah satu faktor utama untuk menegakkan kebangkitan dalam segenap bebannya.
-Mukmin yang kuat lebih baik daripada mukmin yang lemah.
-" Kami tidak makan kecuali jika telah merasa lapar dan jika kami makan tidak sampai kekenyangan." (HADIS)
-"Rasulullah SAW sentiasa memilih air yang baik untuk diminum.
-Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang telah memiliki keahlian melempar, kemudian melupakannya, maka ia bukan golonganku."



ISLAM DAN ILMU

-Tidakkah kalian melihat untaian-untaian ajaib itu bahawa Allah SWT mendorong dan memerintah manusia agar melakukan study terhadap alam?

ISLAM DAN AKHLAK

-Umat yang bangkit memerlukan akhlak yang mulia, jiwa yang besar dan cita-cita yang tinggi.
-Hal ini kerana umat tersebut akan menghadapi berbagai tuntuan daripada sebuah masyarakat yang baru. Suatu tuntuan yang tidak mungkin dipenuhi kecuali dengan kesempurnaan akhlak dan ketelusan jiwa yang lahir dalam dada, komitmen yang kuat, pengorbanan yang besar dan mental yang tahan uji.
-Hanya Islamlah yang mampu mencetak keperibadian serupa itu dan ia pula menjadikan kebersihan dan kesucian jiwa sebagai bangunan kejayaan umat.


Menjawab Syubuhat.

Syubuhat atau persoalan-persoalan yang ditimbulkan untuk memberi keraguan kepada Jamaah Muslimin.

(جذب جماهير)
Kita memang menyeru kepada "Tarikan Jumhur" disebabkan sentimen itu perlu untuk masyarakat tahu bahaya yang berlaku. Namun, orang yang membawa sentimen perlulah faham fikrah yang sohih. Sentimen diumpamakan pisau yang digunakan untuk masak-memasak atau disalahgunakan sebagai alat melakukan jenayah.



(Tidak mungkin Dapat ditahqiq)

Jawab: Sejarah Umat Islam terdahulu menjadi "rolemodel" perubahan untuk umat sekarang.

(Demokrasi)

Jawab: Demokrasi yang difahami akan membawa maslahat kepada umat. Orang Kafir menganggap pandangan paling ramai adalah pandangan yang paling betul. Umat Islam sepatutnya meletakkan Allah sebagai tujuan mereka. Oleh sebab itu, umat Islam kena menggunakan demokrasi sebagai wasilah bagi mendapatkan  (راي العام) pandangan umum.



(Mencampur adukkan Din dan Siyasah)

Jawab: Kita menganggap siasah itu sebahagian daripada Islam. Namun (تجرد) beransur-ansur dalam melaksanakan Islam itu menjadi keutamaan. Siasah bukanlah matlamat tetapi sebagai wasilah. Pemahaman siasah kena menjangkau lebih luas daripada blok kepartian semata-mata.

Pandangan politik saya setakat ini: Arus Liberal sangat merugikan umat Islam disebabkan majoriti umat Islam di Malaysia. Berbeza pula jika arus kebebasan dipraktikkan di negara majoriti bukan Islam.




Wallahua'lam.

Ahad, 14 Oktober 2012

Bisa Sebatang Pena

Penulisan yang baik adalah penulisan yang mendekatkan pembacanya kepada Allah.



Seorang penulis mestilah memikirkan bahawa tulisannya mampu dibaca generasi demi generasi.

Bisanya sebatang pen ini sehingga Syed Qutb menemui janjinya kepada Allah di tali gantung.

Seorang doktor mempunyai alat-alat picagari sebagai asbab kesihatan manusia.
Seorang tentera mempunyai senapang sebagai benteng mempertahankan negara.

Seorang Penulis mempunyai sebatang pena yang mampu menggerakkan pemikiran umat.



Lambakan majalah picisan di pasaran menjadi penyebab rosaknya masyarakat. Sewajarnya umat Islam melawan arus ini dengan yang setanding dengannya.

Pena lawan pena.

Apa yang membezakannya adalah niat. Apa yang membezakannya adalah kefahaman.

Sebab apa dia menulis, bahan apa yang perlu ditulis, apa kesannya kepada masyarakat itu yang patut difikirkan.

Penulis perlu ada jiwa sensitif supaya tulisan itu membekas didalam hati pembaca. Jangan menulis untuk mencari pengiktirafan, kita akan kecewa jika itu yang cuba dikejar.

Tulislah dengan mata hati, tulislah dengan keihklasan nescaya tulisan itu menjadi bekal di sepanjang jalan kehidupan menuju redha Ilahi.


 Bengkel Penulisan Islami 12-13 Oktober di Hotel Scout, Kaherah.




Gambar kenangan dengan Pak Latip, Penulis Novel Sejarah Islam.

Isnin, 8 Oktober 2012

Kita hanya dituntut beramal

Sesungguhnya sesuatu perbuatan itu diukur dengan niat. Sebesar-besar perkara boleh menjadi sekecil-kecil perkara hanya disebabkan oleh niat. 



Begitulah sebaliknya.

Program ilmiah yang dihadiri bersama dan bayaran yang sama, tetapi pahala belum tentu sama, kenapa? Semuanya kerana niat.

Boleh jadi seorang yang berterusan mengerjakan ketaatan, namun boleh terbabas di tengah jalan, kenapa? boleh jadi kerana niat yang tidak tulus dan telus.

Al-Quran sendiri ada menyatakan yang membawa maksud, "tidak sama orang yang duduk dan orang yang berjuang di jalan Allah"

Sekali-kali tidak akan sama.

Ramai manusia menyatakan cinta kepada Rasul SAW, namun jika diteliti dan diselidiki akan kehidupannya, sangat jauh dengan manhaj nubuwwah. Mereka memahami Islam di tempat-tempat penguzlahan semata-mata.

Sudah tentu tidak sama dengan mereka yang mengambil perjuangan nabi secara keseluruhannya.

Ada juga manusia mengharapkan hasil dan sibuk bertanya, "bilakah boleh kita memetik buah"?



Kita hanya dituntut bekerja, hasilnya semuanya datang daripada Allah.

Semalam telah berlalu, fajar kini telah muncul, tumpukanlah hidupmu pada hari ini. Jangan dikenang perkara yang lalu.

Perlengkapkanlah dirimu dengan ilmu kerana ilmu itu menjadikan kamu dekat dengan Allah. Ilmu itu mendekatkan kamu tentang aqidah.

Dengan ilmu juga mampu meluaskan ufuk pandangan manusia. Dengan ilmu juga kamu lebih memahami akan kehidupan ini.



Kehidupan manusia yang tidak beriman dengan manhaj Allah sentiasa terumbang-ambing. Meraka datang ke tempat peribadatan sekadar melembutkan hati. Apa beza kita dengan mereka?

Mereka datang untuk melembutkan hati, namun selepas itu, kehidupan mereka jauh sekali dengan moral manusiawi.

Adakah gereja-gereja sekadar ingin mengurangkan rasa berdosa?

Bagaimana pula Si Abid yang datang ke masjid-masjid untuk melembutkan hati semata-mata. Niat mereka ingin beruzlah daripada noda dan dosa. Bagaimana pula nasib mereka yang tidak mendapat hidayah, siapa pula yang ingin membimbing mereka?

Maka ingin ditegaskan disini, fahamilah Islam itu dengan syumul.
Nabi SAW bersikap zuhud dan tawadu', nabi juga yang paling gagah di medan peperangan.

Jangan menjuzuk-juzukkan Islam kita. Apabila kita menjuzuk-juzukkan Islam, maka lahirlah masyarakat yang tidak faham Islam.



Sesungguhnya Islam ini datang untuk meninggikan martabat manusia, membenarkan wujudnya hari pembalasan disamping melaungkan ikatan persaudaraan kepada seluruh manusia.

Islam juga menjamin kestabilan masyarakat dengan cara memperakui hak-hak untuk hidup, memiliki harta, bekerja, sihat tubuh badan dan mementingkan ilmu.

Inilah Islam. Kita hanya dituntut beramal dengan penuh kesungguhan. Kita juga diseru untuk mengamalkan Islam dengan sempurna.

Akhirnya kita kembalikan kepada Allah yang memegang hati manusia.

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك



Sabtu, 6 Oktober 2012

Apa yang saya faham tentang Harakah Islam

Sebuah Harakah Islam kena mempunyai sifat terbuka dengan badan-badan lain.

Pihak pimpinan perlu mempunyai keyakinan untuk bersifat keterbukaan.

Isu keterbukaan adalah suatu yang perlu diperjuangkan.

Walaupun kita mempunyai perbezaan dengan Harakah Islam yang lain di Malaysia, itu tidak membawa maksud tidak ada kerjasama. Kita boleh bersepakat dalam isu yang disepakati seperti isu Palestin, melawan arus Syiah yang menular, isu kecemerlangan akademik dan sebagainya.



Islam dan dakwah tidak mampu memimpin melainkan wujud kesepakatan dan kerjasama. Contohilah dakwah Ikhwanulmuslimin yang bekerjasama dengan banyak pihak.

Sebuah Harakah Islam terkini seharusnya merujuk kepada tulisan Al-maududi, Syed Qutb, Hassan Al-Banna dan Ulama'-ulama yang mengharapkan keredhaan Allah sebagai jalan juangnya.

Semua kita adalah pendakwah, maka sudah tentu ada pendengarnya. Dekatilah manusia dengan penuh bijaksana, berlemah-lembut agar dakwah Islam yang suci menjadi darah daging dan topik perbualan sehari-hari.



Harakah Islam bukanlah sekadar persatuan, bukan semata-mata badan kebajikan, namun ia adalah sebuah Jemaah yang terikat dengan Al-Quran dan Sunnah, berpandukan nas-nas syara'.

Sebuah harakah Islam mampu melakukan perubahan dikala gelap gelita lorong, dikala masyarakat menjadikan barat sebagai kayu ukur menimbang keputusan dalam kehidupan seharian mereka.

Harakah islam sifatnya mudah mendekati masyarakat kerana dakwah Islam itu sendiri bukanlah menjauhkan, bahkan mendekatkan dan merapatkan hubungan persaudaraan.

Sebuah harakah Islam perlu sedar bahawa mereka bukannya sentiasa betul kerana memang sifat manusia, terdedah kepada betul dan salah. Namun perlulah sedar dan cepat belajar daripada kesilapan. Jangan berasa malu untuk memperbaiki kelemahan. Pentingnya Harakah Islam lain menegur sebuah harakah Islam yang lain jika berlaku kesilapan. Bukankah itu juga sifat yang dianjurkan Islam?



Tarbiyyah adalah asas dan tidak ada tawar menawar dalam membawa perubahan. Ianya bukan angan-angan atau cita-cita kosong. Mimpi semalam adalah kenyataan hari ini.

Dakwah bukan tanggungjawab pimpinan. Dakwah adalah tangunggjawab kita semua yang akan disoal di hari akhirat oleh Allah.



Wallahua'lam.



Ahad, 30 September 2012

Khilafah

Bismillah...

Ramai hari ini manusia bercakap tentang Islam. Ada yang memahami Islam itu sekadar solat, puasa, haji dan ibadah-ibadah khusus. Ada pula yang memahami Islam dengan terlibat di medan politik semata-mata. Ada yang lebih suka bertemu dengan Wali-wali, untuk didoakan apa yang dihajatinya.



Ada yang bertanya, tidak pernah disebutkan secara khusus di dalam Al-Quran tentang menegakkan khilafah. Pada pandangan anda, betulkah kenyataan ini?

Bagi yang masih kabur lagi, tahukah anda bahawa Islam tidak akan mampu tertegak tanpa ada satu sistem yang menyokongnya. Jika kita memahami hakikat Islam ini secara syumul, Khilafah itu menjadi tanggungjawab umat Islam untuk ditegakkan. Kenapa?

Saya memahami Islam ini secara menyeluruh. Tidak ada beza orang yang solat dengan orang yang berjihad. Tidak ada beza orang yang menuntut ilmu dengan orang bekerja. Semuanya tertumpu untuk mendapatkan keredhaanNYA. Sepertimana kita memahami Solat itu wajib, begitu juga wajibnya kita berdakwah, begitulah wajibnya kita menegakkan khilafah diatas muka bumi.



Untuk melaksanakan hukum Islam seperti hudud, kena ada Amir, kena ada Sultan, kena ada satu kekuatan yang menjaga agama ini.

Maksud yang ingin saya lontarkan disini tenatang kepentingan perlunya ada khilafah. Tanpa khilafah, hukum Islam ini akan cacat tanpa penjaganya.

Disini akan saya nyatakan tentang hakikat dakwah yang perlu kita ketahui.


(1)  Di dunia ini ada dua pertembungan. Satu pasukan baik dan satu pasukan yang jahat. Satu berasaskan wahyu dan satu mengikut hawa nafsu.

(2) Untuk membuat sesuatu kebangkitan, kena mencontohi salafusoleh dan memahami manhaj Nubuwwah dengan baik.

(3) Ikatan Umat Islam adalah Ikatan aqidah.

(4) Untuk mencapai khilafah, setiap daei perlu memiliki kemahuan tinggi yang tidak boleh digugat oleh kelemahan, kesetiaan sejati yang tidak mengenal erti kompromi dan pembelotan, pengorbanan agung yang tidak mengenal erti tamak dan kedekut, memahami prinsip, meyakininya, menghormatinya, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkrompomi, tidak terpengaruh dengan prinsip lain. Dengan cara ini, kita harapkan umat Islam dapat melakukan kebangkitan.




Sumber keagungan dan kekuatan adalah daripada Allah. Pergantungan kita hanya kepada Allah, tidak ada selainnya.

Kearah mana kita menyeru manusia? 

Seorang Daei perlu faham akan mad'unya. Apabila kita bercakap, bercakaplah mengikut kadar akal orang yang kita seru. Bercakaplah dengan bahasa yang mudah dan ringkas.

Namun begitu, ada juga ucapan yang perlu ditujukan kepada orang yang hanya pakar dalam bidang tertentu. Ini memerlukan kepada seni bercakap di khalayak ramai yang hanya difahami oleh orang-orang tertentu sebagai mesej dakwah kepada mereka.



Dakwah Rasul SAW menyeru kita untuk jumpa orang ramai. Dengan cara ini kita mampu memahami karakter-karakter manusia. Benarlah sabda junjungan yang bermaksud: 

“Orang mu’min yang bergaul dengan manusia dan sabar menghadapi gangguan mereka, lebih baik daripada orang yang tidak mahu bergaul dengan mereka dan tidak sabar menghadapi gangguan mereka. “(HR. Imam Bukhari dalam Adabul Al Mufrad, Imam At Tirmidzy, dan Imam Ahmad)

Bermula dengan berjumpa manusia, sehinggalah tertegaknya khilafah, atau kita berjumpa Allah dengan hati yang sejahtera, itulah peranan manusia di atas muka bumi ini.

 Ya Allah, jadikanlah kami daripada tentera-tentera mu. Ameen.



Rabu, 26 September 2012

Bahasa Arab

Susah sebenarnya menahan rasa hati setelah menghabiskan 3 tahun maahad Qiraat. Ingin sahaja pulang ke Malaysia berjumpa dengan keluarga, rakan-rakan dan ustaz-ustaz yang dirindui. Namun atas nasihat teman-teman di bumi anbiya' ini, aku gagahi juga untuk meneruskan pengajian di markaz bahasa (markaz nil).



Sudah hampir 7-8 bulan, banyak juga yang ku pelajari di markaz bahasa ini. Kawan-kawan daripada pelbagai negara, Turkey, Russia, China, Kazaghstan, Afghanistan dan lain-lain. Pelbagai budaya dan negara mungkin sedikit sebanyak membantu diriku menilai seseorang manusia.


 Rasululullah SAW adalah contoh dan tauladan kita dalam persahabatan dan seluruh kehidupan.

 لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا 
Surah Al-ahzab :21


Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya mengingatkan:

  berkenalan dengan sesiapa yang anda temui dan kenali..kerana sesungguhnya asas dakwah kita adalah berkenalan dan berkasih sayang..”.

Ingin ku kongsikan disini, rasa coretan hati tentang apa yang perlu kamu tahu tentang bahasa arab secara ringkas.

*Kebanyakan anak-anak mesir tidak suka berbahasa fushah, mereka lebih suka berbahasa ammi (pasar).

*Rakyat Mesir yang mengajar pelajaran English dan Perancis di Mesir dipanggil Basha (maksudnya: orang yang dihormati). Sangat berbeza pandangan mereka terhadap Seikh yang mengajar arab fushah.

*Orang Kristian tidak akan ajar anaknya berbahasa Arab Fushah, mereka lebih selesa dengan berbahasa asing (english) -mungkin tidak semuanya-

*Kalau ditanya Orang Kristian Mesir, apa pekerjaan kamu? mereka jawab, peguam, arkitek, lawyer (macam tu lebih kurang). Kerja-kerja profesional.

*Orang Muslim di Mesir meniru dalam peperiksaan, orang kristian tidak meniru malah menjawab soalan dengan begitu cemerlang. -mungkin tidak semuanya-





Jadi, apa yang perlu kita lakukan sebagai seorang pendakwah yang mencintai bahasa arab fushah daripada hilang? Padahal kita tahu agama Islam yang paling unggul, kenapa begitu sekali akhlak umat Islam?

(1) Tunjukkan akhlak mulia anda sebagai seorang muslim. Malulah apabila mengamalkan budaya meniru di dalam peperiksaan.

(2) Islam terikat dengan bahasa arab kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa arab. Bagaimana kita mahu mengenal Islam kalau bahasa arab kita longlai? (nasihat untuk diri)

(3) Generasi dan anak-anak kita hendaklah dididik dengan dengan bahasa arab FUSHAH dan hafazan quran agar mereka faham akan agama mereka dengan kefahaman Islam yang sebenarnya.

(4) Kalau ingin Islam gemilang, kuatkan kesatuan Islam dengan meninggikan syiar Islam. Mencintai bahasa arab adalah salah satu daripada syiar-syiar Islam.



Sekian coretan ringkas.

 العربية ليست بالدم # إنما العربية باللسان


Khamis, 2 Ogos 2012

Cerita kehidupan kita

Sudah lama tidak menulis,  Alhamdulillah, Allah yang Maha pemurah dan Maha penyayang masing mengizinkan diriku bernafas diatas muka buminya, ditambah lagi di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Inilah Ramadhan kali ke-5 yang saya lalui di bumi anbiya' ini. Seperti biasanya, Ramadhan ini sangat dinanti-nanti dan dirindui seperti Ramadhan-ramadhan yang lalu.

Hari ini ingin saya berkongsi perasaan. Perasaan yang membara di dalam diri. Apa yang bermain di fikiran kita sehari-hari.



Ada kawan saya bagitahu lebih kurang macam ini, "Tugas kita adalah membuang fikiran-fikiran di dalam masyarakat seperti berfikir game, berfikir 'couple', berfikir untuk kepentingan sendiri dan lain-lain fikiran kepada berfikir bagaimana ingin meninggikan kalimah Allah, merasa Allah ada dalam setiap aspek hidupnya"...

Lebih kurang macam itu yang kawan saya maksudkan.

Ya, betul, tugas kita membetulkan kefahaman masyarakat, memimpin mereka, menunjukkan jalan keselamatan yang membawa mereka bertemu Allah dalam keadaan hatinya yang sejahtera.

Tugas ini bukan mudah wahai teman-teman. Sebelum kita ingin mencorak masyarakat, diri ini kena beres dahulu. Beres daripadas ikatan hawa nafsu, beres daripada dunia yang mempesonakan (nikmat sekejap)



Benda yang perlu tanya dalam hidup kita, "kita mahu apa dalam kehidupan ini"?

Mahu tidak mahu, diri  inilah yang mencorakkan persekitaran, diri inilah yang perlu berubah untuk mengubah.

Kita yang perlu mencipta kehidupan kerana kehidupan ini terlalu singkat untuk dibazirkan (Ya Allah, takutnya)

Ada kawan saya beri pesan "orang yang tengok cerita-cerita korea (dan sewaktu dengannya) , sebenarnya dia tidak bahagia dengan "cerita" sendiri?

Setuju?

Bayangkan kalau purata sehari tengok cerita  3 jam, kalau 7 hari hampir sehari suntuk kerja hanya melayan "cerita-cerita'.

Dimana pula "cerita kehidupan kita" (dakwah) , kalau asyik tengok cerita orang lain?  

Itulah realiti yang bermain di benak fikiran pemuda, bagaimana kita ingin mengubahnya?



Itulah sebab salafusoleh pernah berdoa, "jadikanlah kami daripada orang-orang yang sedikit".

Orang-orang yang sedikit yang berfikir untuk ummah, kemahuan di hati tinggi membara membetulkan kefahaman manusia. 

Sekadar ini yang ingin ku coretkan, moga bekal semangat menghadapi tribulasi mendatang dengan "cerita-cerita" kita (Fikrah, dakwah, tarbiah dan harakah)


Ya Allah, berilah ku kekuatan dalam meyampaikan dakwah, kefahaman sohih kepada masyarakat. Jadikanlah setiap inci kehidupan ku hanya kerana-Mu




 


Jumaat, 27 April 2012

Kesatuan yang diimpikan


"Awak dari Jemaah mana"? Bentak Fairuz kepada Nizam.

"Owh, budak tu lah pembawa perpecahan kat pelajar Mesir ni, ikut sangat lah cakap dia tu, hm..." kata Ahmad kepada Fikri sambil menzahirkan rasa tidak puas hatinya.

"Kalau nak bersatu, duduk sama-sama, ni tak, buat agenda lain kat belakang, haru-biru kita dibuatnya." kata Zahid dengan tegas.

Antara isu yang cepat panas sepanas "pisang goreng".



"Bukan tak nak bersatu, ana tengok benda ni silap daripada sudut ni".
 
"Kesatuan yang bagaimana kita harapkan, aku bukan jahil sangat bab agama ni, benda ni memang dah khilaf para ulama' daripada dahulu lagi".

"Insyaallah, jika kita betul-betul ikhlas berjuang, kita tak tengok pun dia dari jemaah mana, kita terus je bekerja meninggikan syiar Islam.

Seperti tidak ada kesudahan. Dimanakah titik noktahnya?



Isu ini menjadi topik perbualan di bibir-bibir mahasiswa Islam. Seolah-olah tidak ada endingnya. Ditambah lagi dengan fasa imtihan yang semakin hampir. Menjadi kebiasaan, musim imtihan ianya kembali hangat lagi. Adakah mahasiswa mencari jalan mengurangkan rasa strees dengan menterjemahkan isu ini dilaman sosial seperti facebook dan twitter? Seperti luka lama yang kembali berdarah. Mungkin ungkapan ini agak kasar bunyinya, mungkin?

Allahuakbar.

Diri ini sering berfikir, bilakah ianya berakhir? Perlukah wujud seorang "pengadil" yang dihormati oleh kedua-dua belah pihak? Atau kita rela dan senang hati meneruskan "trend" berbalah ini tanpa ada kesudahan?

Perlu diingat teman-teman, perlu diambil cakna wahai sahabat-sahabatku, selagi tidak terbabas daripada landasan syariat, perbezaan pendapat tidak akan merugikan Umat Islam jika disulami dengan rasa ukhuwwah atau persaudaraan yang tinggi.



Ya, rasa ukhuwwah yang padu.




Bukan sekadar itu, ilmu dalam memahami perbezaan itu terlalu penting agar tidak taqlid semata-mata terhadap sesuatu pendapat. Bagi orang awam yang kurang mempu mengkaji dan menganalisis dalil, taqlid sesuatu pendapat agak bersesuaian dengan mereka. Namun digalakkkan bagi mereka berusaha menjadi seorang pengkaji.

Untuk yang terpelajar pula, usah menjadi pelajar yang hanya menerima bulat-bulat sahaja. kita adalah mahasiswa, bukan lagi pelajar sekolah menengah yang hanya menadah dan menerima semata-mata. Berusahalah untuk menjadi seorang pengkaji yang baik, berdisiplin dan faham akan ilmu yang dipelajari. Apabila berlaku perbezaan pendapat, ada hujjah yang diyakini, ada dalil yang diikuti.

Perbezaan itu sering tercetus disebabkan kadar kemampuan si pemikir untuk mamahami sesuatu ilmu. Oleh itu, penting untuk kita bersama-sama duduk semeja berdiskusi dan bertoleransi terhadap pendapat yang diutarakan.


Apabila seseorang melontarkan pandangan dan mengemukakan hujjah dan dalil, rasa sayang perlu disuburkan di dalam diri. Boleh jadi pendapatnya betul dan pendapat kita pula yang sebenarnya silap. Perbezaan itu perlulah dilapik dengan rasa persaudaraan yang tinggi.

 Duduk berbincang, adakan pertemuan atau forum yang sihat supaya khilaf itu mampu diambil manfaat bagi para pendengar. Masyarakat rata-ratanya amat dahagakan perbincangan yang berkualiti demi kemaslahatan umat Islam pada hari ini. Selagi kita mampu mempunyai sifat lapang dada seperti itu, saya yakin dan percaya, pelbagai masalah hati dapat diselesaikan, pelbagai sangka buruk dapat dihindarkan.



 
Tidak berpihak itu mustahil, namun apa yang diinginkan adalah kejujuran.

 Jujur pada agamanya, jujur pada tingkah lakunya dan jujur dengan ilmu yang dibawa.

Kita bertolong-tolong dalam perkara yang kita sepakati dan berlapang dada terhadap perkara yang kita perselisihkan.

Akan terzahir masyarakat yang saling hormat-menghormati, bertukar-tukar pandangan dan bersifat terbuka.
Ianya bukanlah perkara mudah. Namun, bukan pula mustahil untuk diterjemahkan kerana Allah jugalah yang dapat menyatukan hati-hati manusia. Kita dituntut berusaha kearah kesatuan tersebut agar umat Islam umumnya menikmati manfaat daripada persepakatan yang dimaksudkan tersebut. Selagi ianya tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah, selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang mulia.

Jom kemukakan dalil, jom berlapang dada, Insyaallah sinar agama tauhid akan menyinari umat Islam umumnya dan umat dunia seluruhnya ^_^


Sabtu, 7 April 2012

Agenda bersama

"Mat, ko bangga tak kalau aku kata nenek moyang ko pejuang negara satu masa dahulu?" Kata Farid.

"Bangga siot, mestilah bangga giler, kalau aku kata dengan hang pula, keturunan hang ada ciri-ciri lanun satu ketika dahulu, hang suka ka?" Balas Mat.



"Ko cakap berlapik sikit, aku hempuk dengan kasut ni, baru tau." Kata Farid bernada gurau.

Begitulah adanya. Rasa keizzahan, rasa ketinggian akan asal usulnya.

Seseorang itu perlu mengetahui sejarah bangsanya, sejarah negaranya yang gilang- gemilang satu ketika dahulu supaya dia tahu kemana dirinya hendak pergi mengorak langkah.




Menaikkan rasa Izzah akan generasi silam mampu memotivasikan generasi baru akan peranannya dimasa hadapan.

Mungkin ada yang sinis menyatakan, buat apa ingin mengetahui sejarah lalu? Zaman sekarang telah berubah, kita tidak ada kaitan akan generasi silam.

Bagi insan yang berandaian seperti ini, ingin saya nyatakan bahawa untuk berjaya dan mencipta masa hadapan, perlulah memahami sejarah tanah airnya kerana sejarah ini mampu mendidik semangat manusia.




Hari ini Umat Islam seperti leka akan sejarahnya, adakah kita menyedari bahawa terdapat satu gerakan tersusun yang cuba menghapuskan sejarah tamadun kita?

Sejarah itu dihapuskan supaya kita tidak tahu akan asal usul, supaya Umat Islam tidak mampu bangkit memimpin kehebatan mereka menawan dua pertiga dunia satu ketika dahulu.

Ketahuilah, apabila kita melupai sejarah, kita pasti akan mengulanginya. Kita pasti mengulangi kesilapan yang sama lagi.

Semuanya bermula apabila memandang remeh akan sejarah. Namun, sekadar mengetahui sejarah tanpa amal, tidak akan membawa kemana.

Sejarah dipelajari untuk kita melakukan sesuatu. Mungkin agak mudah difahami bahawa setiap daripada kita perlu ada AGENDA.



Ya, agenda yang sama, agenda yang menaikkan maruah, agenda yang meninggikan Islam itu sendiri seperti yang pernah dilalui orang terdahulu.

Agenda itu bukan kecil. Agenda itu bukan menghabiskan masa di tempat-tempat yang melalaikan. Bukan mencari keuntungan dunia. Agenda yang dimaksudkan adalah memimpin umat akan kefahaman Islam yang sahih.

Hassan Al-Banna ada menyatakan:

"Jalan penyelesaian hanya melalui 3 cara, mengetahui punca penyakit, sabar menerima rawatan dan wujudnya seorang doktor pakar yang mahir merawat."

Agenda Umat Islam yang perlu difikirkan bersama adalah meninggikan kalimah Allah dimuka bumi. Agenda hidupnya tidak lain untuk mengabdikan diri kepada Allah. Sewajarnya kita berusaha mengetahui langkah-langkah untuk merawat umat yang sakit.

Umat hari ini bukan sakit fizikal semata-mata, malah yang paling derita adalah jiwanya yang sakit.

Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik, dan apabila seketul daging itu rosak maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati. (Hadis riwayat Bukhari)

Girl Generation, satu kumpulan K-pop wanita dari Korea telah berjaya menjalankan konsert di KLCC, pada 23 Mac 2012. Dengan pakaian yang mendedahkan aurat, menjolok mata dan jauh dari unsur ketimuran, masih ada segolongan peminat yang hadir dari kalangan pemuda dan pemudi Melayu Islam. Dimanakah sensitiviti dan pegangan Umat Islam hari ini?


Tiada agenda hidup.


"Saya tidak percaya bahawa tuhan memberi kuasa kepada suami untuk memukul isteri dan hukum bahawa seorang isteri yang berkongsi suka duka bersama suami mendapat hanya satu perlapan daripada harta yang mereka usahakan bersama apabila kematian suami."


Kurang didikan agama.

Inilah antara penyakit yang menjalar dikalangan masyarakat. Penyelesaian hanyalah kembali kepada Islam. Menjadi tanggungjawab bagi setiap yang bergelar Muslim menjelaskan kefahaman Islam yang sahih. Umat yang tengah sakit perlukan doktor pakar untuk merawatnya.

Cegah sebelum merebak. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Inilah agenda kita bersama.



MEMBANGUN UMAT BERAGENDA ^_^

Ahad, 25 Mac 2012

Isu Natrah yang hampir dilupakan

Sebut Pasal Natrah, mesti ada yang tidak tahu kan? Apa sebenarnya Natrah ni? macam sedap sahaja bunyinya? Sebelum itu saya meminta maaf jika ada kekurangan pada penceritaan. Saya hanya menyalin diatas kertas dan menzahirkannya di dalam blog ini..........



Natrah merupakan sebuah kisah yang menyayat hati umat Islam. Walaupun isu ini telah lama sebelum kemerdekaan lagi, namun terlalu banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Satu perjuangan aqidah yang wajar diambil iktibar oleh generasi pada hari ini. Inilah kisah perjuangan mempertahankan aqidah yang hampir dilupakan.

Antara tokoh-tokoh yang terlibat dalam isu ini antaranya Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Tan Sri Prof Emeritus Ahmad Ibrahim, Tunku Abdul Rahman dan ramai lagi.



Dr. Burhanuddin Al-Helmy fasih bertutur dalam bahasa melayu, bahasa arab, Urdhu, Perancis dan lain-lain. Ini memberi kelebihan kepada beliau dalam meyelesaikan sesuatu isu.

Natrah seorang anak gadis yang berbangsa Belanda, beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu. Ibu Tirinya yang bernama Cik Aminah sangat menyayangi seperti anak sendiri. Cik Aminah insan yang mendidiknya dengan penuh kasih sayang.



Natrah ketika berumur 13 tahun berkahwin dengan Mansor Adabi. Perkahwinannya dengan Mansor Adabi dilihat menggemparkan rakyat Belanda. Orang Belanda kurang menyenangi Natrah dan berusaha mengambil balik Natrah untuk dikristiankan dan kononnya untuk menjaga maruah agama mereka. Pelbagai provokasi yang digunakan pada masa itu supaya Natrah dibawa masuk agama Kristian.

Akhirnya Kes Natrah dibawa ke mahkamah. Natrah dan ibu angkatnya dibicarakan sebanyak 2 kali di mahkamah. Apa yang menarik untuk kita perhatikan disini, ribuan masyarakat Muslim berhimpun diluar mahkamah menunggu keputusan perbicaraan.



Atas kesedaran itu, maka wujud lah gerakan pembebasan Natrah yang dipimpin oleh Burhanuddin Al-Helmy dan Karim Ghani. Karim Ghani terkenal sebagai orang yang berpandangan jauh. Akhirnya tertubuh lah Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN) untuk membebaskan Natrah daripada anasir-anasir luar yang mahu Natrah dipesongkan Aqidahnya.

Karim Ghani giat menggunakan platform penulisan dan akhirnya mampu memberikan kesan kepada pihak polis untuk bersamanya. Namun begitu, British pula menggunakan Polis Ghurka (Polis Singh). Sikap tegas Karim Ghani menyebabkan beliau dibuang negara ke Pakistan.


Pada masa itu, ada seorang pemimpin mengeluarkan perintah supaya jangan keluar untuk membuat himpuan namun tidak ada sesiapa ingin mengikutinya kerana masyarakat faham, ini adalah isu aqidah, ini adalah isu umat Islam. Masyarakat bersama-sama keluar berhimpun untuk mempertahan aqidah seorang wanita. Jika dikaitkan dengan masyarakat kita sekarang, sudah kurang sensitiviti terhadap mereka yang dipaksa murtad berbanding Umat Islam pada masa dahulu. Kes Natrah adalah simbol kesatuan umat Islam yang perlu kita contohi pada masa sekarang.



Akhirnya, Natrah dilarikan secara senyap-senyap ke Belanda walaupun masih berbaki tempoh untuk membuat rayuan sebelum apa-apa keputusan diambil. Belanda dilihat begitu biadab, pada mulanya mereka yang beria-ia ingin mengikuti proses perundangan, namun mereka juga lah yang melanggar undang-undang dengan membawa lari Natrah.

Kisah yang menyayat hati ini berakhir dengan kematian Natrah. Beliau menghidap sakit Leukimia.....begitulah akhirnya.......

Apa yang boleh kita ambil sebagai pengajaran terhadap isu Natrah:

(1) Kesatuan yang didasari aqidah merentasi batas parti politik, bangsa, status dan kedudukan.
(2) Peranan Undang-undang dalam memastikan Islam berada diatas.
(3) Sensitiviti terhadap Umat Islam.
(4) Peranan pemimpin Islam dalam memimpin gerakan.
(5) Peranan Media dalam kebangkitan Umat.
(6) Peranan penguasaan bahasa dapat membuka minda.
(7) Hakikat permusuhan orang kafir terhadap umat Islam zaman berzaman.
(8) Jangan sesekali putus harapan dengan hidayah Allah.