Sabtu, 16 Julai 2011

BEKALAN TAQWA

Permusafiran yang jauh dan panjang memerlukan bekalan yang banyak. Ibarat seorang pengembara yang berjalan di tengah panasnya Sahara, pastinya amat menguji kesabaran juga kecekalan. Jika letih ditengah jalan, perlunya kerehatan dan makanan yang cukup untuk meneruskan destinasi yang ingin dituju. Jika di Sabah sendiri, jarak Kota kinabalu-Tawau mengambil masa 8 jam menerusi jalan darat. 8 jam tanpa sebarang makanan dan minuman ditambah dengan keletihan perjalanan yang panjang pastinya menguji kesabaran.



Permusafiran yang panjang seorang hamba yang bernama insan untuk menuju sebuah kehidupan.

Malas, letih, lemah dan bosan sering bertandang di dalam kehidupan. Jika tidak mencegahnya daripada awal, pasti mudah terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan. Ini kerana masa sudah tidak teurus dengan betul, fokus untuk perkara yang besar telah bertukar memikirkan perkara yang kecil lagi remeh. Mungkin ada benarnya kata2 Amru Khaled, seorang motivator dan juga pendakwah di negara Mesir, beliau berkata "masa lapang seorang pemuda adalah awal maksiat". Ini kerana pemuda mempunyai semangat yang berkobar-kobar dan tubuh badan yang sihat di usia muda digunakan untuk melaksanakan  pelbagai aktiviti. Jika membiarkan masa penuh dengan kelapangan tanpa sebarang kesibukan pastinya menunggu jarum2 suntikan syaitan untuk membuat perkara yang diharamkan oleh Allah Taala.



Masa lapang perlulah diisi dengan sesuatu yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Jika tidak disibukkan diri dengan benda2 yang baik, kita mudah terjerumus dan sibuk dengan benda2 yang buruk.

Wahai sahabat2ku dan diriku terutamanya, ingatkah kita kepada sirah Rasul yang mulia. Rasulullah menyediakan bekal yang cukup besar untuk memikul tugas dakwah yang berat. Tugas dakwah yang besar memerlukan bekal yang banyak. Beliau dan para sahabat diwajibkan untuk qiamullail selama setahun bagi memikul risalah yang besar dan perjalanan yang cukup jauh. Rasulullah beribadah sehingga bengkak kakinya. Malah selepas fatrah setahun, Rasulullah tetap diwajibkan untuk berqiamullail bagi menjernihkan hati, menguatkan tekad bagi menghadapi ranjau2 perjuangan yang panjang menentang kekufuran sehingga tiada lagi fitnah di dalam agama.



Maka sudah semestinya umat Islam memperbanyakkan bekal menghadapi mehnah dan tribulasi. Perkara fardhu menjadi kewajipan, Quran ditatapi dan dibaca setiap hari, solat2 sunat dikerjakan dengan keikhlasan, bersedekah dan berpuasa sudah menjadi darah daging perjuangan. Tanpa bekal2 ini, sudah tentu kita akan futur dan tewas ditengah jalan. Perjuangan untuk membersihkan hati nurani akan sentiasa berterusan. Islam tidak akan menang dengan melupakan Tuhan. Maka sewajarnya kita mengambil dan mengisi sebanyak2nya bekal. Apabila Rasulullah diseru "bangunlah", maka beliau bangun tanpa memikirkan kesenangan diri dan keluarga. Beliau bangun tanpa rehat yang cukup selama lebih 20 tahun untuk memimpin seluruh umat manusia, menegakkan akidah dan seterusnya menghancurkan "berhala-berhala" di dalam hati manusia sebelum memusnahkan berhala2 puak musyrikin Mekah.

"Berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepadaku wahai orang-orang yang berakal." (Al-Baqarah: 197)

Akhirnya dengan kesungguhan Rasulullah dan para sahabat, kita dapat menikmati iman dan Islam sehingga sekarang. Nikmat yang paling besar untuk kita selamat pada hari yang tidak ada manfaat harta dan anak-pinak.

“Hari yang tidak bermanfaat harta benda dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera”.(Surah Asy-Syu'ara' 88-89) 

 Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah diriku dalam ketaatan kepadamu. Tetapkanlah diri ini dengan rasa cinta dan kasih kepadamu.

"Katakanlah, wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah engkau berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (surah az-Zumar: 53) 



Moga secebis nasihat ini ada manfaatnya ^_^

Selasa, 12 Julai 2011

Kutemui Islam sebelum Muslim





Perjalanan daripada St.Tressa ke Saiyyidah Zainab mengambil masa sekitar 20 minit. Kebiasaannya, pelajar di Ardhul Kinanah ini menggunakan Keretapi Metro. Jika di Malaysia, fungsinya lebih kurang sama seperti Komuter. Istimewanya, sistem pengangkutan ini bergerak di bawah tanah. Pelajar Malaysia yang tinggal di Saiyyidah Zainab rata-rata mengambil jurusan perubatan.


Setibanya di sebuah hospital, sapa seorang arab.

“ Ismak eh”, kata orang arab itu dengan nada mesra, “Ismi Muhammad”, saya menjawab dengan bersahaja (tidak menyebut nama sebenar). “Ana Khaled, sakin qarib hina, fi akhir syari”, balasnya semula, memperkenalkan nama dan tempat tinggalnya. Umurnya masih muda, sekitar 25-30 tahun.

Perbualan seorang anak Melayu dengan seorang arab Mesir membuahkan sedikit manfaat. Dalam dunia yang begitu luas dan masyarakat berlainan budaya, pertemuan dua insan yang berlainan bangsa dan negara cukup menambahkan pengalaman dan penghayatan. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia bersuku-suku dan berbangsa-bangsa adalah untuk saling kenal mengenali. Perbezaan diciptakan untuk mencari persamaan.



“ Enta tadris hina”? tambahnya.“Aiwa, fi gamiktil azhar”, saya membalas spontan dengan pelat Ammi Mesir yang tidak seberapa fasih. “Misri helwa wala Malizia?”, arab itu mengajukan soalan dengan nada gurau. “ Malizi ahsan”, saya membalas semula. Terlintas di dalam hati akan peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri.

“Le”? (kenapa) tanya arab itu meminta kepastian. Sebelum menjawab pertanyaannya, saya cuba berfikir sejenak, melihatkan sikapnya yang ramah dan tanpa sebarang kecurigaan, “asyan kathir zibalah hina.” ( sebab banyak sampah disini). Melihatkan raut wajahnya yang tidak seberapa puas dan seperti dirinya ingin bertanya lagi, saya pun menyambung kalam , “ wa kathir ulama’ bardhu”, (dan banyak ulama’ juga).

Bukan bermaksud merendah-rendahkan negara orang, tetapi ingin mencari hikmah disebalik perbualan.

Selepas itu, persoalan dan perbincangan lebih banyak tertumpu pada soal perbezaan firqah-firqah yang terdapat di Mesir, permasalahan fiqhiyyah dan aliran-aliran pemikiran yang tidak berapa berminat pada asalnya untuk saya nyatakan disini. Saya menamatkan perbualan dengan menyatakan umat Islam kena bersatu pada hari ini, walaupun mempunyai banyak firqah dan mazhab.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Muhammad Abduh, sekembalinya dia daripada pembuangan barat, kata Muhammad Abduh: “ Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim, saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!"



AKHLAK MULIA HIASAN DIRI

Teringat kata-kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi ketika beliau diajukan dengan satu soalan, “kenapa umat Islam yang ramai pada hari ini tidak dapat bersatu”?, maka Dr yusuf Qaradhawi pun menjawab dengan jawapan yang cukup ringkas tetapi makna yang cukup mendalam, “sebab ramainya umat Islamlah kita tidak dapat bersatu”.

Bukan persoalan ramainya umat Islam atau tidak, tetapi apa yang ingin ditekankan adalah sikap atau akhlak seseorang yang mengaku muslim.

Berbangga dengan slogan ‘the way of life’ ataupun ingin menjadi kuat berpegang Islam dengan menyimpan janggut dan memakai serban? Cukupkah sekadar memegang tasbih dan zikir-zikir yang diamalkan boleh menjamin keteguhan Islam seseorang?

Semua itu benar tetapi ada yang lebih utama untuk diketengahkan.

Kebanyakan daripada kita masih selesa dengan keadaan di Masjid. Asalkan kita berbahagia bersolat, mengaji, asalkan kita berbahagia di dunia kita.

Padahal Islam lebih daripada itu.

Akhlak mulia sifat yang amat terpuji. Manusia yang berakhlak amat disenangi masyarakat di sekelilingnya. Contoh tauladan ataupun ‘Role model’ bagi kita yang beragama Islam ialah Rasulullah s.a.w.

Apabila datang seorang bertanya kepada Aishah tentang akhlak Rasulullah, Aishah menjawab, “akhlaknya adalah Al-Quran”. Ini kerana kehidupan Rasulullah dipenuhi akhlak yang mulia berteraskan Al-Quran itu sendiri. Majoriti mereka yang masuk Islam adalah kerana tertarik dengan akhlak Baginda. Berakhlak maksudnya menggembirakan hati orang lain.



Memang benar apa yang dikatakan oleh Aid Al-Qarni dalam bukunya La tahzan: “orang yang pertama mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Jadi bila anda dukacita, carilah orang lain dan gembirakanlah mereka. Nanti hati anda juga akan turut gembira”.

Menggembirakan orang lain adalah petanda seorang itu mempunyai akhlak yang tinggi. Berakhlak kepada orang lain akan menggembirakan hati kita sendiri.

Namun, realiti umat Islam pada hari ini tidak seperti itu. Islam sering dikaitkan dengan peribadi yang lemah. Gejala sosial, kes buang bayi, penagihan dadah sering mengisi tempat di dada-dada akhbar tempatan. Kadang-kadang tertanya-tanya, dimana silapnya, terutama bangsa Melayu Islam sekarang kerana mereka adalah majoriti yang beragama Islam. Bukanlah tujuan mencari kesalahan bangsa sendiri, tetapi ingin mencari sebab dan solusi akan realiti kebanyakan kehidupan Melayu Islam masa kini.



ISLAM WARISAN

Mak dan ayah muslim, Insyaallah anak pun muslim. Mungkin inilah yang terlintas di fikiran kita. Muslimnya seorang ayah, maka anak-anak pun ikut muslim sama, bak kata pepatah, ‘bapa borek anak rintik’. Sudah seperti menjadi satu mindset, jika ayah seorang ulama’, anak pun akan mengikut jejak ayahnya.

Semestinyakah begitu?

Didikan seorang ayah yang mentaati agama, mengamalkan isi Al-Quran yang difahaminya, belum tentu dapat memahamkan si anak pula kerana iman itu tidak dapat diwarisi. Teringat lirik kumpulan nasyid Raihan, ‘iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa’.



Muslimnya seorang ayah, belum tentu menjamin anaknya juga muslim. Muslimnya seorang ayah mungkin hanya menjadikan anaknya ‘muslim’ tanpa ‘mukmin’, maka wujudlah apa yang diistilahkan sebagai Islam warisan.

Islam warisan tidak menjanjikan apa-apa. Betapa ramai umat yang muslim, tetapi hanyalah umpama buih-buih yang banyak di lautan. Islam yang hanya tercatat pada kad pengenalan seseorang tidak menjamin kehidupan yang bahagia di akhirat sana. kita perlu membezakan Islamnya kita dengan Islamnya ayah kita.

SALAH FAHAM PERLU KEPADA BETUL FAHAM

Andainya ada orang lain yang salah anggap terhadap kita, pastinya kita akan berusaha untuk memperbetulkan kesilapan itu dengan cara memberitahu kepada yang berkenaan agar nama baik kita akan terpelihara. Maka begitu juga dengan Islam yang kita yakini. Apabila wujud salah faham Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang Islam yang kita imani.

Tidak dapat dinafikan, umat Islam mundur kerana serangan pemikiran atau ‘ghazwatul fikr’ yang dilontarkan kepada umat Islam. Umat tidak terjajah pada zahirnya, tetapi terjajah pada mindanya. Kaum Kuffar sengaja mencipta Islamophobia di kalangan mereka untuk menakutkan masyarakat mereka akan Islam itu. Untuk mencipta Islamophobia , diciptanya istilah ‘pengganas’.Seolah-olah apa yang datang daripada barat semua betul dan semua baik-baik belaka.



Namun, tanpa kita sedar, kemunduran umat Islam adalah berpunca daripada umat Islam yang tidak berpegang kepada ajaran Islam yang hakiki dan maknawi. Islamophobia berpunca daripada ketidakfahaman umat Islam tentang Islam itu sendiri. Kita sendiri sebagai umat Islam yang mewujudkan Islamophobia. Sifat mahmudah terhakis daripada jiwa-jiwa pemudanya, semangat merundum dan hilang keyakinan pada diri sendiri. Akhirnya, dunia melihat Islam sebagai jumud, tidak bertamadun dan ada juga yang berpendapat, Islam menindas hak-hak kewanitaan dan hak kesamarataan.

Salah faham mereka atau salah siapa?

Islam di Eropah dan barat makin diterima.Umat Islam bertambah secara mendadak. Bezanya, kita di Malaysia walaupun sudah lebih daripada 50 tahun merdeka, masih tidak mampu menarik bangsa lain kepada Islam. Masjid pula hanya ekslusif untuk yang sudah Islam.

Kini sudah mula pula menular ‘masjidphobia’ di kalangan masyarakat di negara kita. Orang bukan Islam mempertikaikan azan yang dikumandangkan dengan mencipta alasan kerana mengganggu kehidupan dan membuat bising di kawasan perumahan mereka.



Bagaimana ingin menjelaskan kepada masyarakat?

Umat Islam perlu muhasabah diri mereka. Masjid bukan untuk menjadi hiasan, tetapi untuk diimarahkan. Kadangkala mereka yang dikatakan muslim itulah yang bersifat mazmumah dengan mengabaikan jiran terdekat dan tidak mempraktikkan dakwah , padahal hanya dengan budi pekerti yang mulia dan keramahan yang bukan dibuat-buat sudah cukup untuk memenangkan hati-hati yang sememangnya mencari. Malangnya ada tokoh-tokoh Islam sendiri menakut-nakutkan muslim agar ‘mengurang’kan keislamannya.

Mungkin kita boleh renungi apa yang dikatakan oleh seorang mualaf yang baru memeluk dan mengenali Islam, katanya , “mahasuci Allah, yang menemukan aku dengan Islam (ad-Din) sebelum mengenali muslim”(orang-orang Islam).

Bagaimana akibatnya jika mualaf itu pada permulaan mencari hidayah, bertemu muslim yang tidak memperaktikkan Islam?



KEBANGKITAN UMMAH

Akhirnya, formula untuk kebangkitan umat tidak lain dan tidak bukan adalah umat Islam perlu yakin pada diri mereka sendiri dan tidak terikut dengan rentak barat. Individu yang masih ada rasa ‘aku’ dan ‘diriku’ perlu kepada rasa ‘kita’ dan untuk ‘semua’. Islam adalah manhaj syumul dan membahagiakan penganutnya kerana ianya rahmat sekalian alam. Jatuhnya martabat Islam kerana jiwa-jiwa muslim yang tidak ingin memegangnya.

Sebab itu Hassan al-Banna pernah berkata:

“Faham itu sebelum ikhlas”, kita perlu ‘faham’ sebelum ‘memahamkan’ yang lain. Tanpa Iman, Islam hanya ada di fikiran dan lisan bukan di hati dan amalan.

Umat yang faham akan perkara ini akan terus bekerja kepada apa-apa yang ingin dicitakan, Maka, kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Betulkan salah faham, buktikan kita sepertimana yang diungkapkan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud ‘kamu adalah sebaik-baik ummah’.Kebanyakan daripada kita hanya menyelesaikan sesuatu perkara hanya pada ‘permukaan’, bukan mendasar kepada ‘akarnya’.



Ingatlah kita kepada sirah Rasulullah s.a.w. Baginda menghancurkan ‘berhala-berhala’ yang bertapak di dada-dada manusia sebelum menghancurkan berhala-berhala yang disembah puak Musyrikin Mekah.

Kita lupa melihat Islam pada diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum menterjemahkan Islam yang kita fahami kepada orang lain. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Ustaz Mustafa Masyhur, dalam kitab Feqh Dakwah, “baiki diri dan ajak orang lain”.

Hidup jika dilihat pada perbezaan, maka banyaklah yang berbeza kerana manusia memang diciptakan dengan perbezaan supaya mereka saling faham dan mengenali antara satu sama lain. Ambillah pengajaran daripada kata-kata seorang motivator dan juga seorang pendakwah, “mengetahui perbezaan bukan untuk mencetuskan perbalahan, tetapi supaya boleh mendefinisikan diri”. Lihatlah pada persamaan,kerana disitu akan muncul kesamaan yg membawa kepada keserasian.

Jadilah kita umat yang bersatu padu dan bersungguh-sungguh beramal dengan Islam yang membawa penganutnya kepada kesejahteraan dunia dan akhirat. Muslim yang sejati akan keluar daripada kepompong ,membesar dengan baik untuk menjadi rama-rama yang cantik dan singgah daripada bunga ke bunga di sebuah taman yang indah.

Siapa lagi yang ingin kita sandarkan harapan untuk menyuburkan agama Islam tercinta? Mungkinkah kita rama-rama yang cantik itu?


Isnin, 11 Julai 2011

Jangan bersedih, selepas gelap pasti ada terang


Betapa indahnya alam ini. Binatang dan serangga yang bemacam jenis, buah-buahan yang pelbagai rasa, manusia yang pelbagai ragam, hidupan laut yang tidak terbilang. Disebabkan pelbagai ragamnya alam ini dan cukup mengasyikkan pandangan mata, sepatutnya kita berasa gembira. Tetapi kenapa kita memilih untuk bersedih hati?



 Ada serangga kecil, ada serangga besar, ada haiwan merangkak, ada juga yang berkaki dua. Terlalu indah dan uniknya ciptaaan Allah. Cuba kita mendongak ke atas awan dan perhatikan burung yang terbang bebas dengan mengepakkan sayapnya dan burung itu tidak akan jatuh menghempas ke dataran bumi. Adakah kita yang menahannya  atau Allah yang menahannya agar mampu bergerak ke sana dan ke mari. Sepatutnya kita perlu bersyukur melihat burung itu terus berkicauan namun kadang-kadang kita kurang mengambil pengajaran bahawa yang mencipta ini semuanya adalah Allah.




Lihatlah pula buah yang pelbagai rasanya. Zda yang pahit, manis dan masam. Ditanam dengan tanah yang sama tetapi mengeluarkan rasa yang berbeza-beza. Jika petani mogok tidak mahu menanamnya, pasti kita merungut kesukaran. Pernahkah kita sedar siapakah yang menggerakkan awan. Melalui awan itu turunnya hujan mencurah-curah membasahi bumi seterusnya menyuburkan tanaman. Buah yang manis itu dapat kita makan. Maka nikmat Tuhan yang manakah cuba kita dustakan? Hayatilah firman Allah:

“Dan di antara tanda-tanda-Nya (ialah) bahawa Engkau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ianya bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan Yang menghidupkannya, Pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Fussilat 41: 39).



Cuba perhatikan pula matahari, bulan, bintang dan cakerawala alam yang indah bergemerlapan di waktu-waktu santai kita memandangnya penuh keasyikan. Pastinya langit yang biru itu begitu mempesona dihiasi dengan bulan dan bintang. Matahari pula sifatnya cukup panas dan mampu mengeringkan pakaian. Bulan yang indah menyinari pada waktu malam sehingga kita leka menikmatinya di pesisiran pantai. Lalu kita perhatikan pula bintang-bintang digunakan sebagai panduan arah perjalanan yang tidak terkira banyaknya. Bintang itu hakikatnya lebih besar daripada mentari di siang hari. Adakah semua ini cukup membuatkan kita bersyukur terhadap kurniaannya yang tidak terhitung?



Lihatlah pula pada anggota tubuh kita. Mata yang boleh melihat kebesaran Allah. Telinga berfungsi mendengar kalam-kalam manusia. Jika ditarik nikmat mendengar, sudah tentu terasa asing hidup di muka bumi. Tanpa bunyi-bunyian, tanpa faham apa yang dituturkan orang. Terasa hidup keseorangan. Jika diberi pilihan harta seluas Uhud dan telinga sepasang, sudah tentu nikmat pendengaran yang menjadi pilihan. Melalui telinga kita memahami perbualan dan mendengar lantunan ayat-ayat al-Quran. Bersyukurkah kita terhadap nikmat ini?
 

"Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?"( Adz-Dzariyyat 51: 21)

Semua nikmat yang Allah kurniakan hendaklah disyukuri dan dihayati. Namun kita terus alfa dan masih lagi melakukan kemaksiatan. Telinga kita masih mendengar perbualan caci maki. Mata masih lagi melihat benda haram.

Kita masih lagi bertangguh-tangguh melakukan ibadah. Solat sering sajaha di akhir waktu, kikir untuk bersedekah, pentingkan diri, tidak mengambil peduli urusan umat Islam. Kita merasakan diri sendiri paling terbaik. Manusia lainnya kerdil. Sifat tamak menguasai diri dan kita membawa sekeping hati yang amat parah untuk diubati. Kita menjangka semakin tenang dengan apa yang kita miliki tetapi tanpa sedar dengan melupakan tuhan hanya menjadikan kita bertuhan hawa nafsu. Sekeping hati yang menuju kepada sebuah kematian!

Dalam diri kita masih inginkan kebaikan. Dalam hatmerasai nikmat HATI yang tenang. Lupakah kepada firman Tuhan:

 "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram
(Ar-Ra'du: 28)





Jangan Bersedih, selepas gelap terbitlah terang.
Jangan bersedih, Tuhan mencipta kebaikan untuk engkau melupakan kejahatan.
Apakah dengan berfikir masa lampau yang penuh kelam boleh mengembalikan semula semangat yang hilang?

Jangan bersedih, fokus hari ini, jangan menarik fikiran ke belakang, jangan pula bersangka2 hari yang mendatang kerana hari depan itu belum dicipta. Buat yang terbaik pada hari ini kerana hari ini anda sudah terlalu sibuk.

Jangan bersedih. Apakah awan yang berarak ingin ditahan pergerakannya, mentari yang memancarkan sinarnya kembali ditempat terbitnya?

Jangan bersedih. Selepas kesulitan ada kesenangan. Apakah ingin menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan kesedihan. Kesedihan menampakkan wajah yang kurang ceria dan tidak disenangi. Bergembiralah kerana syurga itu dihiasi dengan insan2 yang penuh kegembiraan dan kenikmatan. Lupakah nasihat junjungan mulia kepada sahabatnya, Abu Bakar di Gua Thur ketika dikejar oleh musuh-musuh Allah? 

"Jangan bersedih sesungguhnya Allah bersama kita".

Janganlah kamu berasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamu orang yang paling tinngi darjatnya jika kamu beriman (Ali-Imran: 139)

Teruskan beramal, buat kebaikan untuk masa depan Islam kerana itulah tujuan hidup diciptakan.

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah  (Az-zaariaat 51:56)


Ukirlah sebuah senyuman untuk menghilangkan kesedihan ^_^









Rabu, 6 Julai 2011

Jom Jalan2 Tawau

Mak saya pernah kata "Ada makcik tu cakap, Tawau syurga dunia, janganlah kita pergi tempat lain, sini barang-barangnya semua murah, biar gaji sikit, tapi mampu beli ikan, sebab ikan paling murah di Malaysia ada di Tawau!!!"


                                                                                                                                                                 



Tawau bermula dengan huruf arab, "TA" dan diakhiri juga dengan huruf arab, "WAU". Siapa yang datang Tawau, pasti akan mula jatuh hati dengan tempatnya. Kenapa tidak, masyarakatnya peramah, berani dan berterus terang. Sebagai anak tempatan, saya rasa bertuah dilahirkan di tanah ini, inilah tanah tempat bermain2, tempat jatuh, tempat menabur rasa cinta dan sewaktu dengannya. Sahabat nabi saw, bilal bin Rabah amat merindui Makkah, tempat kelahirannya sendiri, sewajarnya kita juga bersifat sedemikian.  Seorang Syeikh pernah berkata, cinta kepada Tanahair sebahagian daripada Iman, walaupun beliau menjelaskan, itu hanyalah kata2 yang baik walaupun tidak bersumberkan hadis Rasul, namun kita boleh mengambilnya sebagai satu tauladan.

Apabila musim perayaan bertandang seperti Hari raya puasa dan hari raya haji, wujudnya masyarakat yang saling ziarah menziarahi. Bukan sehari dua hari, tetapi berlanjutan sehingga hampir sebulan. Segelintir Masyarakatnya jenis tidak kisah sangat apa maksud "protokol". Apa yang saya perhatikan, seusai solat 2 hari raya, makmum berebut2 mendapatkan sang khatib untuk bersalaman dengannya tanpa menunggu sempatnya khatib itu turun daripada tempat khutbahnya. Ini tidak pernah saya perhatikan di tempat2 lain melainkan di Tawau.

                                                 

                                                

Masyarakatnya juga terkenal dengan sifat berani, sesuai dengan peribahasa, "berani kerana benar, takut kerana salah," tidak ada kiasan2 dalam percakapan, jika ada rasa tidak puas hati, biasanya terus dilepaskan pada waktu itu juga. Pernah ada satu kisah berlaku di Pasar Tawau, ketika peniaga menipu dengan mengurangkan harga timbangan, tanpa berlengah2, si pembeli yang berasa dirinya tertipu, terus sahaja mengeluarkan kata2 marahnya sehingga suaranya hampir didengari oleh semua orang di dalam pasar tersebut.

Masyarakatnya juga peramah, suka tolong menolong dan tidak berat mulut. Boleh diperhatikan di kaki2 lima, golongan Ibu2 berbual2, bergelak ketawa, (happy go lucky lah katakan) yang menunjukkan sikap positif dan tidak pasif dalam pergaulan. Rata2 masyarakat Tawau memang jenis yang tidak berat mulut, mudah dibawa berbual, mudah mesra dan sewaktu dengannya.

Dari segi agamanya, agama Islam merupakan agama yang paling besar pengaruhnya di daerah ini. Kedudukan stategiknya yang bersempadan dengan negara Indonesia, menjadikan rasa hidup beragama itu terus subur. Ramai juga kiyai2 atau pendakwah daripada negara seberang dijemput datang ke Tawau untuk memberi ceramah. Saya sendiri amat terkesan dengan perkembangan ini. Pernah satu masa dahulu, ada seorang yang berpangkat kiyai datang ke sebuah masjid untuk berkhutbah pada hari jumaat tanpa melihat teks. Wujud kesamaan dengan Negara Mesir apabila khatibnya juga tidak melihat teks ketika berkhutbah. Ini menjadikan Tawau tempat melahirkan bakat2 pemidato yang tidak kurang hebatnya. Baru2 ini, salah sebuah sekolah di daerah Tawau ini telah memenangi pertandingan forum peringkat kebangsaan antara sekolah2 menengah. Bukan sekali atau dua kali, tetapi sudah kerap kali sekolah di Tawau ini memenangi pertandingan tersebut. Barangkali kerana bahasa yang dibudayakan di Sabah itu sendiri yang berbahasa "baku" standard ditambah pula dengan masyarakat Tawau yang peramah menjadikan ianya realiti berada di pentas kebangsaan.


                             
                               

Dari segi dakwahnya, Tawau melahirkan banyak pendakwah2 bebas yang berkebolehan. Sebagai contohnya, terdapatnya Jemaah Tabligh, Parti Islam Semalaysia dan pendakwah2 daripada Indonesia yang menjadikan ianya unik dibandingkan dengan daerah2 lain yang terdapat Sabah. Saya menulis bukan membawa maksud saya taksub dengan tempat saya, mungkin banyak sahaja kebaikan2 di daerah lain  tetapi itulah yang saya perhatikan daripada kacamata anak watan yang lama mendiami Tawau. Dalam jemaah tabligh sendiri, antara perkumpulan yang paling ramai di Malaysia ada di Tawau. Dalam sebuah parti Islam pula, Tawau mendahului rasa keberagamaan diantara daerah2 lain dan suasananya itu dapat dirasai dengan adanya Persatuan Putera Puteri Islam Sabah (PERPPIS), Unit Amal dan lain yang aktif bergerak dalam berusaha membentuk perkaderan di kalangan para remaja.


                                                   
Masyarakat Islam Tawau terkenal dengan masyarakat yang suka berniaga. Ia mampu bersaing dengan suku2 kaum yang hebat khususnya kaum Cina daripada segi perniagaan. Wujudnya Bas Ekspress Sairah, ramainya para peniaga Muslim di Pasar2 dan lain2 membuktikan Tawau tidak ketinggalan daripada sudut perekonomian.

Apa yang dapat disimpulkan tentang Daerah Tawau:

(1) Untuk mewujudkan masyarakat Islam yang kuat, perlulah ada jati diri yang tinggi, tidak berasa terlalu rendah diri dan mampu membuat perubahan di tengah-tengah masyarakat. Sifat ini terdapat pada masyarakat Tawau yang berani dalam melaksanakan tindakan.

(2) Kepetahan dalam berkomunikasi amat penting untuk menarik masyarakat kepada Islam dalam memahamkan masyarakat tentang Ad-Din yang suci. Kebolehan itu seharusnya dihargai dan digunakan kearah kebaikan untuk melihat masyarakat terlibat dalam aktiviti2 bercorak Islam bagi melawan hedonisme dan Liberalisasi yang melanda masyarakat khususnya para remaja.

(3) Bidang perniagaan merupakan faktor penting kepada kemandirian dan keberkesanan sesebuah gerakan Islam. Lihatlah para sahabat salafusoleh seperti Abu Bakar R.A dan Abdurrahman bin Auf yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah sehingga kita mampu menikmati Iman dan Islam sehingga sekarang. Kekayaan itu penting, tatapi iman yang hidup di hati2 para sahabat menggerakkan mereka berjuang di jalan Allah dengan harta dan segala kepunyaan.

                                                       

Moga tulisan yang sedikit ini ada kebaikannya, ameen. ^_^