Persoalan ini memaksa untuk kita berfikir sejenak tentang haluan manusia selepas itu.
Haluan dan liku-liku perjalanan di dalam mengharungi bahtera kehidupan adalah medan yang perlu diisi dengan sesuatu. Medan perjuangan ini dinamakan MATLAMAT HIDUP.
Negara Jepun terkenal dengan kemajuan sains dan teknologi. Kepesatan pembangunan Negara ini boleh dilihat di merata-rata tempat di Negara Jepun. Disiplin yang tinggi dan semangat Asia untuk Asia yang menebal dikalangan masyarakat menjadi sebab Utama berkembangnya ketamadunan di Negara yang pernah menjajah Malaysia suatu ketika dahulu..
Jika dibanding dengan Negara Malaysia dengan kepesatan pembangunannya, ibarat langit dan bumi. Namun, pernahkah kita terfikir, ada sesuatu yang mungkin menghantui jiwa masyarakat di Negara matahari terbit ini.
Jepun terkenal dengan kemodenannya, namun Negara ini juga terkenal dengan ketandusan dan kerapuhan jiwa masyarakatnya.
Kadar kematian di Negara Jepun juga adalah suatu yang cukup menakutkan. Jika di Malaysia, kemalangan jalan raya sudah menjadi perkara biasa di dada-dada akhbar, sehingga menjadi korban akibat kecelakaan di jalan raya, lain pula halnya dengan Negara SAMURAI ini.
Akibat kekosongan jiwa, langkah singkat yang diambil adalah dengan MEMBUNUH DIRI. Suasana yang cukup menekan dan semangat bekerja yang tidak berkesudahan, menyebabkan segelintir daripada mereka mengambil keputusan di luar akal waras pemikiran.
Semuanya hanya kerana tidak mahu memahami atau mungkin memekakkan telinga untuk tidak mahu memahami. Manusia perlu memahami ke manakah mereka selepas ini. Adakah setelah mati dan dimamah ulat di liang lahad, maka perjalanan manusia pun habis pada masa itu?
Jika hayat umur manusia sekitar 60 atau 70 tahun, tidakkah manusia mahu memikirkan kehidupan selepas itu yang tidak ada pengakhirannya.
Namun, jika hanya sekadar berfikir tanpa sebarang apa-apa tindakan, maka manusia itu tahu, tapi buat-buat tidak tahu. Berfikir ke mana kita selepas ini perlulah disusuli pula dengan bekalan yang perlu kearah itu.
Bekalan yang dimaksudkan adalah TUJUAN dan MATLAMAT HIDUP. Apakah yang diinginkan untuk mencapai kepuasan hidup di atas muka bumi ini? Memenuhi perut dengan pelbagai juadah makanan? Tidur diatas katil yang empuk untuk kerehatan setelah sehari suntuk penat bekerja? Adakah cukup kita sekadar solat 5 waktu? Berpuasa di bulan Ramadhan dan pelbagai lagi amalan ibadat khusus yang lain?
Sebenarnya, matlamat hidup kita ialah menyambung mata-mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Solat tanpa faham, puasa kerana ikut-ikutan, tidak akan memberikan satu tasawwur yang jelas tentang matlamat hidup seseorang insan. Hidup diatas landasan iman memerlukan kita bekerja untuk agama ISLAM. Bagi sahabat-sahabat yang belajar di luar Negara, khususnya di Negara Mesir, tentulah tanggungjawabnya lebih besar lagi. Kita tidak mahu melahirkan Ustaz yang hanya tahu membaca tahlil dan talqin sahaja, tapi kita mahu lebih daripada itu.
Apa yang dinyatakan oleh penulis, bukan bermakna saya Anti kepada golongan2 ustaz yang membaca tahlil dan talqin. Jika kita menganggapnya sebagai satu kebaikan, moga-moga Allah mengurniakan ganjaran yang setimpal dengan usaha yang dilakukan. Sebenarnya yang ingin ditekan oleh penulis disini ialah soal keutamaan dan keperluan masyarakat di Malaysia nanti.
Kita mahukan tasawwur Islam yang jelas dan merangkumi seluruh aspek kehidupan. Tidak cukup sekadar duduk di masjid, menjadi imam di masjid dan memimpin ahli Qaryah masjid. Maka persiapkanlah segala ilmu untuk menghadapi masyarakat yang tenat dan memperbaikinya. Hiduplah di dalam satu jamaah yang mahu meletakkan Islam yang paling tinggi.
Soal kita terlibat dengan politik, badan-badan bukan kerajaan atau ketuk-ketuk pintu mengajak ke masjid merupakan soal keutamaan dan kelapangan hati seseorang muslim untuk memilih yang mana bersesuaian dan corak pemikiran dalam membawa Islam sebagai pegangan hidup.
Janganlah disebabkan kita berbeza bentuk-bentuk pertubuhan, menyebabkan kita bermasam muka dan mencari kelemahan Jemaah yang lain. Gejala sosial yang semakin meruncing ditambah lagi manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang dan corak pemikiran, mendorong kita saling memerlukan untuk menyampaikan ISLAM kepada ummah sejagat.
Jika ada pertembungan, rujuklah kepada Al-Quran dan Sunnah. Sikap berbantah-bantah tanpa disusuli akhlak yang mulia hanya akan membawa kepada perpecahan yang berpanjangan.
Akhlak seorang muslim apabila bertemu dengan saudara seislam yang lain ialah dengan mengasihinya lebih daripada dirinya sendiri. Ini diistilahkan sebagai ITHAR, iaitu mengutamakan orang lain lebih daripada dirinya sendiri. Jika tidak mampu, paling rendah sekalipun ialah kita mengambil pendirian berlapang dada atau diistilahkan sebagai SALAMATUSSODRI.
Pupuklah ukhuwah, tinggalkan sengketa, menuju akhirat destinasi yang pasti. Jadikan Islam sebagai cara hidup dalam semua aspek kehidupan.
Moga tulisan ini ada manfaatnya.
1 ulasan:
Salam ziarah...
Perkongsian yang baik dan menarik...
Catat Ulasan