Sabtu, 1 Oktober 2011

Luka-luka disebalik kota yang indah

Berjalan-jalan sekitar Iskandaria memberi kerehatan dan kelegaan dalam menempuh ranjau berliku kehidupan. Suasana permai sekitar bandar ini cukup mendamaikan berbanding Kaherah yang sedikit sesak dengan jutaan manusia. Jolokan "Ibu Dunia" atau Mother of the World memberi gambaran kasar bahawa tanah tandus ini pernah menjadi rujukan dunia satu masa dahulu. Perbandingan kehidupan masyarakat Mesir sedikit sebanyak membuka mata betapa luasnya bumi ciptaan Tuhan.



Iskandaria merupakan bandar raya kedua terbesar di negara Mesir selepas Kaherah.
Bandar ini dinamakan sempena nama pengasasnya, Alexander The Great dan berkembang menjadi antara kota yang terbesar suatu ketika dahulu. Namun, selepas penubuhan kota Kaherah oleh kerajaan Islam Zaman Pertengahan, bandar ini telah merosot sehingga menjadi perkampungan nelayan semasa zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah. Kini, Iskandariah merupakan pelabuhan utama Mesir dan pusat kawasan industri dan penghasilan tekstil, makanan diproses, kertas, plastik serta penapisan petroleum.

Pantainya yang indah cukup menenangkan pengunjungnya. Keindahan pantainya dihiasi juga dengan masyarakatnya yang berpegang dengan syariat Islam. Jelas kelihatan disekitar pantainya terdapat kalimah-kalimah bercorak Islam menghiasi pemandangan. Satu realiti yang tidak terdapat di bumi tercinta Malaysia. Satu petanda bahawa perlu sedar dan mengambil manfaat di sebalik kota indah ini.



Terdapat kalimah-kalimah berunsur nasihat dan peringatan. Bagi pasangan muda-mudi yang ingin mencuba-cuba berpeleseran pasti merasa segan meneruskan gaya 'belangkas' apabila melihat ayat-ayat Quran yang ditayang khusus bagi yang tidak membekalkan pada diri mereka sifat malu. Saya terfikir sungguh bersesuaian dipraktikkan di pantai-pantai Malaysia pula selepas ini. Pihak berwajib perlu menyelami ke dasar hakikat ini. Tugas yang diberi bukan digunakan mengintip mencari kesalahan sebaliknya memahami bahawa pantai itu bukan medan berhibur semata-mata sampai terbabas jauh daripada syara'. Namun apa yang perlu, didikan kepada masyarakat perlu menebal bagi menyedarkan betapa pentingnya hidup saling-menasihati.

                                        Batu ini bertulis ayat Quran yang membawa maksud "katakanlah kepada lelaki yang beriman supaya mereka menjaga pandangannya".


Bukan sahaja lelaki, perempuan juga kena menjaga pandangannya


Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala perbuatannya)?


Malu adalah sebahagian daripada Iman

Pendakwah perlu kreatif dan bersifat waqie (setempat). Masyarakat Mesir yang kreatif mencari alternatif menghiasi pantai-pantai bagi mencegah kemungkaran daripada sebarang kemungkinan yang berlaku.

Saya merasakan bahawa majoriti masyarakat Islam di dunia ini tengah 'tidur' dan menjadi kewajipan kepada kita untuk melihat manusia dengan pandangan yang perlu disedarkan. Walaupun dimana anda berada, walaupun susahnya jalan untuk menyelusurinya.



Kota Iskandariah suatu kota yang indah. Disebaliknya pula tersimpan luka-luka derita yang perlu dirawat dengan segera. Kalau bukan anda dan saya, siapa lagi? Bangunlah dari lena yang panjang menaikkan Islam yang gemilang.


Tiada ulasan: