Selasa, 12 Julai 2011

Kutemui Islam sebelum Muslim





Perjalanan daripada St.Tressa ke Saiyyidah Zainab mengambil masa sekitar 20 minit. Kebiasaannya, pelajar di Ardhul Kinanah ini menggunakan Keretapi Metro. Jika di Malaysia, fungsinya lebih kurang sama seperti Komuter. Istimewanya, sistem pengangkutan ini bergerak di bawah tanah. Pelajar Malaysia yang tinggal di Saiyyidah Zainab rata-rata mengambil jurusan perubatan.


Setibanya di sebuah hospital, sapa seorang arab.

“ Ismak eh”, kata orang arab itu dengan nada mesra, “Ismi Muhammad”, saya menjawab dengan bersahaja (tidak menyebut nama sebenar). “Ana Khaled, sakin qarib hina, fi akhir syari”, balasnya semula, memperkenalkan nama dan tempat tinggalnya. Umurnya masih muda, sekitar 25-30 tahun.

Perbualan seorang anak Melayu dengan seorang arab Mesir membuahkan sedikit manfaat. Dalam dunia yang begitu luas dan masyarakat berlainan budaya, pertemuan dua insan yang berlainan bangsa dan negara cukup menambahkan pengalaman dan penghayatan. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia bersuku-suku dan berbangsa-bangsa adalah untuk saling kenal mengenali. Perbezaan diciptakan untuk mencari persamaan.



“ Enta tadris hina”? tambahnya.“Aiwa, fi gamiktil azhar”, saya membalas spontan dengan pelat Ammi Mesir yang tidak seberapa fasih. “Misri helwa wala Malizia?”, arab itu mengajukan soalan dengan nada gurau. “ Malizi ahsan”, saya membalas semula. Terlintas di dalam hati akan peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri.

“Le”? (kenapa) tanya arab itu meminta kepastian. Sebelum menjawab pertanyaannya, saya cuba berfikir sejenak, melihatkan sikapnya yang ramah dan tanpa sebarang kecurigaan, “asyan kathir zibalah hina.” ( sebab banyak sampah disini). Melihatkan raut wajahnya yang tidak seberapa puas dan seperti dirinya ingin bertanya lagi, saya pun menyambung kalam , “ wa kathir ulama’ bardhu”, (dan banyak ulama’ juga).

Bukan bermaksud merendah-rendahkan negara orang, tetapi ingin mencari hikmah disebalik perbualan.

Selepas itu, persoalan dan perbincangan lebih banyak tertumpu pada soal perbezaan firqah-firqah yang terdapat di Mesir, permasalahan fiqhiyyah dan aliran-aliran pemikiran yang tidak berapa berminat pada asalnya untuk saya nyatakan disini. Saya menamatkan perbualan dengan menyatakan umat Islam kena bersatu pada hari ini, walaupun mempunyai banyak firqah dan mazhab.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Muhammad Abduh, sekembalinya dia daripada pembuangan barat, kata Muhammad Abduh: “ Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim, saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!"



AKHLAK MULIA HIASAN DIRI

Teringat kata-kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi ketika beliau diajukan dengan satu soalan, “kenapa umat Islam yang ramai pada hari ini tidak dapat bersatu”?, maka Dr yusuf Qaradhawi pun menjawab dengan jawapan yang cukup ringkas tetapi makna yang cukup mendalam, “sebab ramainya umat Islamlah kita tidak dapat bersatu”.

Bukan persoalan ramainya umat Islam atau tidak, tetapi apa yang ingin ditekankan adalah sikap atau akhlak seseorang yang mengaku muslim.

Berbangga dengan slogan ‘the way of life’ ataupun ingin menjadi kuat berpegang Islam dengan menyimpan janggut dan memakai serban? Cukupkah sekadar memegang tasbih dan zikir-zikir yang diamalkan boleh menjamin keteguhan Islam seseorang?

Semua itu benar tetapi ada yang lebih utama untuk diketengahkan.

Kebanyakan daripada kita masih selesa dengan keadaan di Masjid. Asalkan kita berbahagia bersolat, mengaji, asalkan kita berbahagia di dunia kita.

Padahal Islam lebih daripada itu.

Akhlak mulia sifat yang amat terpuji. Manusia yang berakhlak amat disenangi masyarakat di sekelilingnya. Contoh tauladan ataupun ‘Role model’ bagi kita yang beragama Islam ialah Rasulullah s.a.w.

Apabila datang seorang bertanya kepada Aishah tentang akhlak Rasulullah, Aishah menjawab, “akhlaknya adalah Al-Quran”. Ini kerana kehidupan Rasulullah dipenuhi akhlak yang mulia berteraskan Al-Quran itu sendiri. Majoriti mereka yang masuk Islam adalah kerana tertarik dengan akhlak Baginda. Berakhlak maksudnya menggembirakan hati orang lain.



Memang benar apa yang dikatakan oleh Aid Al-Qarni dalam bukunya La tahzan: “orang yang pertama mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Jadi bila anda dukacita, carilah orang lain dan gembirakanlah mereka. Nanti hati anda juga akan turut gembira”.

Menggembirakan orang lain adalah petanda seorang itu mempunyai akhlak yang tinggi. Berakhlak kepada orang lain akan menggembirakan hati kita sendiri.

Namun, realiti umat Islam pada hari ini tidak seperti itu. Islam sering dikaitkan dengan peribadi yang lemah. Gejala sosial, kes buang bayi, penagihan dadah sering mengisi tempat di dada-dada akhbar tempatan. Kadang-kadang tertanya-tanya, dimana silapnya, terutama bangsa Melayu Islam sekarang kerana mereka adalah majoriti yang beragama Islam. Bukanlah tujuan mencari kesalahan bangsa sendiri, tetapi ingin mencari sebab dan solusi akan realiti kebanyakan kehidupan Melayu Islam masa kini.



ISLAM WARISAN

Mak dan ayah muslim, Insyaallah anak pun muslim. Mungkin inilah yang terlintas di fikiran kita. Muslimnya seorang ayah, maka anak-anak pun ikut muslim sama, bak kata pepatah, ‘bapa borek anak rintik’. Sudah seperti menjadi satu mindset, jika ayah seorang ulama’, anak pun akan mengikut jejak ayahnya.

Semestinyakah begitu?

Didikan seorang ayah yang mentaati agama, mengamalkan isi Al-Quran yang difahaminya, belum tentu dapat memahamkan si anak pula kerana iman itu tidak dapat diwarisi. Teringat lirik kumpulan nasyid Raihan, ‘iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa’.



Muslimnya seorang ayah, belum tentu menjamin anaknya juga muslim. Muslimnya seorang ayah mungkin hanya menjadikan anaknya ‘muslim’ tanpa ‘mukmin’, maka wujudlah apa yang diistilahkan sebagai Islam warisan.

Islam warisan tidak menjanjikan apa-apa. Betapa ramai umat yang muslim, tetapi hanyalah umpama buih-buih yang banyak di lautan. Islam yang hanya tercatat pada kad pengenalan seseorang tidak menjamin kehidupan yang bahagia di akhirat sana. kita perlu membezakan Islamnya kita dengan Islamnya ayah kita.

SALAH FAHAM PERLU KEPADA BETUL FAHAM

Andainya ada orang lain yang salah anggap terhadap kita, pastinya kita akan berusaha untuk memperbetulkan kesilapan itu dengan cara memberitahu kepada yang berkenaan agar nama baik kita akan terpelihara. Maka begitu juga dengan Islam yang kita yakini. Apabila wujud salah faham Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang Islam yang kita imani.

Tidak dapat dinafikan, umat Islam mundur kerana serangan pemikiran atau ‘ghazwatul fikr’ yang dilontarkan kepada umat Islam. Umat tidak terjajah pada zahirnya, tetapi terjajah pada mindanya. Kaum Kuffar sengaja mencipta Islamophobia di kalangan mereka untuk menakutkan masyarakat mereka akan Islam itu. Untuk mencipta Islamophobia , diciptanya istilah ‘pengganas’.Seolah-olah apa yang datang daripada barat semua betul dan semua baik-baik belaka.



Namun, tanpa kita sedar, kemunduran umat Islam adalah berpunca daripada umat Islam yang tidak berpegang kepada ajaran Islam yang hakiki dan maknawi. Islamophobia berpunca daripada ketidakfahaman umat Islam tentang Islam itu sendiri. Kita sendiri sebagai umat Islam yang mewujudkan Islamophobia. Sifat mahmudah terhakis daripada jiwa-jiwa pemudanya, semangat merundum dan hilang keyakinan pada diri sendiri. Akhirnya, dunia melihat Islam sebagai jumud, tidak bertamadun dan ada juga yang berpendapat, Islam menindas hak-hak kewanitaan dan hak kesamarataan.

Salah faham mereka atau salah siapa?

Islam di Eropah dan barat makin diterima.Umat Islam bertambah secara mendadak. Bezanya, kita di Malaysia walaupun sudah lebih daripada 50 tahun merdeka, masih tidak mampu menarik bangsa lain kepada Islam. Masjid pula hanya ekslusif untuk yang sudah Islam.

Kini sudah mula pula menular ‘masjidphobia’ di kalangan masyarakat di negara kita. Orang bukan Islam mempertikaikan azan yang dikumandangkan dengan mencipta alasan kerana mengganggu kehidupan dan membuat bising di kawasan perumahan mereka.



Bagaimana ingin menjelaskan kepada masyarakat?

Umat Islam perlu muhasabah diri mereka. Masjid bukan untuk menjadi hiasan, tetapi untuk diimarahkan. Kadangkala mereka yang dikatakan muslim itulah yang bersifat mazmumah dengan mengabaikan jiran terdekat dan tidak mempraktikkan dakwah , padahal hanya dengan budi pekerti yang mulia dan keramahan yang bukan dibuat-buat sudah cukup untuk memenangkan hati-hati yang sememangnya mencari. Malangnya ada tokoh-tokoh Islam sendiri menakut-nakutkan muslim agar ‘mengurang’kan keislamannya.

Mungkin kita boleh renungi apa yang dikatakan oleh seorang mualaf yang baru memeluk dan mengenali Islam, katanya , “mahasuci Allah, yang menemukan aku dengan Islam (ad-Din) sebelum mengenali muslim”(orang-orang Islam).

Bagaimana akibatnya jika mualaf itu pada permulaan mencari hidayah, bertemu muslim yang tidak memperaktikkan Islam?



KEBANGKITAN UMMAH

Akhirnya, formula untuk kebangkitan umat tidak lain dan tidak bukan adalah umat Islam perlu yakin pada diri mereka sendiri dan tidak terikut dengan rentak barat. Individu yang masih ada rasa ‘aku’ dan ‘diriku’ perlu kepada rasa ‘kita’ dan untuk ‘semua’. Islam adalah manhaj syumul dan membahagiakan penganutnya kerana ianya rahmat sekalian alam. Jatuhnya martabat Islam kerana jiwa-jiwa muslim yang tidak ingin memegangnya.

Sebab itu Hassan al-Banna pernah berkata:

“Faham itu sebelum ikhlas”, kita perlu ‘faham’ sebelum ‘memahamkan’ yang lain. Tanpa Iman, Islam hanya ada di fikiran dan lisan bukan di hati dan amalan.

Umat yang faham akan perkara ini akan terus bekerja kepada apa-apa yang ingin dicitakan, Maka, kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Betulkan salah faham, buktikan kita sepertimana yang diungkapkan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud ‘kamu adalah sebaik-baik ummah’.Kebanyakan daripada kita hanya menyelesaikan sesuatu perkara hanya pada ‘permukaan’, bukan mendasar kepada ‘akarnya’.



Ingatlah kita kepada sirah Rasulullah s.a.w. Baginda menghancurkan ‘berhala-berhala’ yang bertapak di dada-dada manusia sebelum menghancurkan berhala-berhala yang disembah puak Musyrikin Mekah.

Kita lupa melihat Islam pada diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum menterjemahkan Islam yang kita fahami kepada orang lain. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Ustaz Mustafa Masyhur, dalam kitab Feqh Dakwah, “baiki diri dan ajak orang lain”.

Hidup jika dilihat pada perbezaan, maka banyaklah yang berbeza kerana manusia memang diciptakan dengan perbezaan supaya mereka saling faham dan mengenali antara satu sama lain. Ambillah pengajaran daripada kata-kata seorang motivator dan juga seorang pendakwah, “mengetahui perbezaan bukan untuk mencetuskan perbalahan, tetapi supaya boleh mendefinisikan diri”. Lihatlah pada persamaan,kerana disitu akan muncul kesamaan yg membawa kepada keserasian.

Jadilah kita umat yang bersatu padu dan bersungguh-sungguh beramal dengan Islam yang membawa penganutnya kepada kesejahteraan dunia dan akhirat. Muslim yang sejati akan keluar daripada kepompong ,membesar dengan baik untuk menjadi rama-rama yang cantik dan singgah daripada bunga ke bunga di sebuah taman yang indah.

Siapa lagi yang ingin kita sandarkan harapan untuk menyuburkan agama Islam tercinta? Mungkinkah kita rama-rama yang cantik itu?


Tiada ulasan: