Jumaat, 27 April 2012

Kesatuan yang diimpikan


"Awak dari Jemaah mana"? Bentak Fairuz kepada Nizam.

"Owh, budak tu lah pembawa perpecahan kat pelajar Mesir ni, ikut sangat lah cakap dia tu, hm..." kata Ahmad kepada Fikri sambil menzahirkan rasa tidak puas hatinya.

"Kalau nak bersatu, duduk sama-sama, ni tak, buat agenda lain kat belakang, haru-biru kita dibuatnya." kata Zahid dengan tegas.

Antara isu yang cepat panas sepanas "pisang goreng".



"Bukan tak nak bersatu, ana tengok benda ni silap daripada sudut ni".
 
"Kesatuan yang bagaimana kita harapkan, aku bukan jahil sangat bab agama ni, benda ni memang dah khilaf para ulama' daripada dahulu lagi".

"Insyaallah, jika kita betul-betul ikhlas berjuang, kita tak tengok pun dia dari jemaah mana, kita terus je bekerja meninggikan syiar Islam.

Seperti tidak ada kesudahan. Dimanakah titik noktahnya?



Isu ini menjadi topik perbualan di bibir-bibir mahasiswa Islam. Seolah-olah tidak ada endingnya. Ditambah lagi dengan fasa imtihan yang semakin hampir. Menjadi kebiasaan, musim imtihan ianya kembali hangat lagi. Adakah mahasiswa mencari jalan mengurangkan rasa strees dengan menterjemahkan isu ini dilaman sosial seperti facebook dan twitter? Seperti luka lama yang kembali berdarah. Mungkin ungkapan ini agak kasar bunyinya, mungkin?

Allahuakbar.

Diri ini sering berfikir, bilakah ianya berakhir? Perlukah wujud seorang "pengadil" yang dihormati oleh kedua-dua belah pihak? Atau kita rela dan senang hati meneruskan "trend" berbalah ini tanpa ada kesudahan?

Perlu diingat teman-teman, perlu diambil cakna wahai sahabat-sahabatku, selagi tidak terbabas daripada landasan syariat, perbezaan pendapat tidak akan merugikan Umat Islam jika disulami dengan rasa ukhuwwah atau persaudaraan yang tinggi.



Ya, rasa ukhuwwah yang padu.




Bukan sekadar itu, ilmu dalam memahami perbezaan itu terlalu penting agar tidak taqlid semata-mata terhadap sesuatu pendapat. Bagi orang awam yang kurang mempu mengkaji dan menganalisis dalil, taqlid sesuatu pendapat agak bersesuaian dengan mereka. Namun digalakkkan bagi mereka berusaha menjadi seorang pengkaji.

Untuk yang terpelajar pula, usah menjadi pelajar yang hanya menerima bulat-bulat sahaja. kita adalah mahasiswa, bukan lagi pelajar sekolah menengah yang hanya menadah dan menerima semata-mata. Berusahalah untuk menjadi seorang pengkaji yang baik, berdisiplin dan faham akan ilmu yang dipelajari. Apabila berlaku perbezaan pendapat, ada hujjah yang diyakini, ada dalil yang diikuti.

Perbezaan itu sering tercetus disebabkan kadar kemampuan si pemikir untuk mamahami sesuatu ilmu. Oleh itu, penting untuk kita bersama-sama duduk semeja berdiskusi dan bertoleransi terhadap pendapat yang diutarakan.


Apabila seseorang melontarkan pandangan dan mengemukakan hujjah dan dalil, rasa sayang perlu disuburkan di dalam diri. Boleh jadi pendapatnya betul dan pendapat kita pula yang sebenarnya silap. Perbezaan itu perlulah dilapik dengan rasa persaudaraan yang tinggi.

 Duduk berbincang, adakan pertemuan atau forum yang sihat supaya khilaf itu mampu diambil manfaat bagi para pendengar. Masyarakat rata-ratanya amat dahagakan perbincangan yang berkualiti demi kemaslahatan umat Islam pada hari ini. Selagi kita mampu mempunyai sifat lapang dada seperti itu, saya yakin dan percaya, pelbagai masalah hati dapat diselesaikan, pelbagai sangka buruk dapat dihindarkan.



 
Tidak berpihak itu mustahil, namun apa yang diinginkan adalah kejujuran.

 Jujur pada agamanya, jujur pada tingkah lakunya dan jujur dengan ilmu yang dibawa.

Kita bertolong-tolong dalam perkara yang kita sepakati dan berlapang dada terhadap perkara yang kita perselisihkan.

Akan terzahir masyarakat yang saling hormat-menghormati, bertukar-tukar pandangan dan bersifat terbuka.
Ianya bukanlah perkara mudah. Namun, bukan pula mustahil untuk diterjemahkan kerana Allah jugalah yang dapat menyatukan hati-hati manusia. Kita dituntut berusaha kearah kesatuan tersebut agar umat Islam umumnya menikmati manfaat daripada persepakatan yang dimaksudkan tersebut. Selagi ianya tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah, selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang mulia.

Jom kemukakan dalil, jom berlapang dada, Insyaallah sinar agama tauhid akan menyinari umat Islam umumnya dan umat dunia seluruhnya ^_^


Sabtu, 7 April 2012

Agenda bersama

"Mat, ko bangga tak kalau aku kata nenek moyang ko pejuang negara satu masa dahulu?" Kata Farid.

"Bangga siot, mestilah bangga giler, kalau aku kata dengan hang pula, keturunan hang ada ciri-ciri lanun satu ketika dahulu, hang suka ka?" Balas Mat.



"Ko cakap berlapik sikit, aku hempuk dengan kasut ni, baru tau." Kata Farid bernada gurau.

Begitulah adanya. Rasa keizzahan, rasa ketinggian akan asal usulnya.

Seseorang itu perlu mengetahui sejarah bangsanya, sejarah negaranya yang gilang- gemilang satu ketika dahulu supaya dia tahu kemana dirinya hendak pergi mengorak langkah.




Menaikkan rasa Izzah akan generasi silam mampu memotivasikan generasi baru akan peranannya dimasa hadapan.

Mungkin ada yang sinis menyatakan, buat apa ingin mengetahui sejarah lalu? Zaman sekarang telah berubah, kita tidak ada kaitan akan generasi silam.

Bagi insan yang berandaian seperti ini, ingin saya nyatakan bahawa untuk berjaya dan mencipta masa hadapan, perlulah memahami sejarah tanah airnya kerana sejarah ini mampu mendidik semangat manusia.




Hari ini Umat Islam seperti leka akan sejarahnya, adakah kita menyedari bahawa terdapat satu gerakan tersusun yang cuba menghapuskan sejarah tamadun kita?

Sejarah itu dihapuskan supaya kita tidak tahu akan asal usul, supaya Umat Islam tidak mampu bangkit memimpin kehebatan mereka menawan dua pertiga dunia satu ketika dahulu.

Ketahuilah, apabila kita melupai sejarah, kita pasti akan mengulanginya. Kita pasti mengulangi kesilapan yang sama lagi.

Semuanya bermula apabila memandang remeh akan sejarah. Namun, sekadar mengetahui sejarah tanpa amal, tidak akan membawa kemana.

Sejarah dipelajari untuk kita melakukan sesuatu. Mungkin agak mudah difahami bahawa setiap daripada kita perlu ada AGENDA.



Ya, agenda yang sama, agenda yang menaikkan maruah, agenda yang meninggikan Islam itu sendiri seperti yang pernah dilalui orang terdahulu.

Agenda itu bukan kecil. Agenda itu bukan menghabiskan masa di tempat-tempat yang melalaikan. Bukan mencari keuntungan dunia. Agenda yang dimaksudkan adalah memimpin umat akan kefahaman Islam yang sahih.

Hassan Al-Banna ada menyatakan:

"Jalan penyelesaian hanya melalui 3 cara, mengetahui punca penyakit, sabar menerima rawatan dan wujudnya seorang doktor pakar yang mahir merawat."

Agenda Umat Islam yang perlu difikirkan bersama adalah meninggikan kalimah Allah dimuka bumi. Agenda hidupnya tidak lain untuk mengabdikan diri kepada Allah. Sewajarnya kita berusaha mengetahui langkah-langkah untuk merawat umat yang sakit.

Umat hari ini bukan sakit fizikal semata-mata, malah yang paling derita adalah jiwanya yang sakit.

Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik, dan apabila seketul daging itu rosak maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati. (Hadis riwayat Bukhari)

Girl Generation, satu kumpulan K-pop wanita dari Korea telah berjaya menjalankan konsert di KLCC, pada 23 Mac 2012. Dengan pakaian yang mendedahkan aurat, menjolok mata dan jauh dari unsur ketimuran, masih ada segolongan peminat yang hadir dari kalangan pemuda dan pemudi Melayu Islam. Dimanakah sensitiviti dan pegangan Umat Islam hari ini?


Tiada agenda hidup.


"Saya tidak percaya bahawa tuhan memberi kuasa kepada suami untuk memukul isteri dan hukum bahawa seorang isteri yang berkongsi suka duka bersama suami mendapat hanya satu perlapan daripada harta yang mereka usahakan bersama apabila kematian suami."


Kurang didikan agama.

Inilah antara penyakit yang menjalar dikalangan masyarakat. Penyelesaian hanyalah kembali kepada Islam. Menjadi tanggungjawab bagi setiap yang bergelar Muslim menjelaskan kefahaman Islam yang sahih. Umat yang tengah sakit perlukan doktor pakar untuk merawatnya.

Cegah sebelum merebak. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Inilah agenda kita bersama.



MEMBANGUN UMAT BERAGENDA ^_^

Ahad, 25 Mac 2012

Isu Natrah yang hampir dilupakan

Sebut Pasal Natrah, mesti ada yang tidak tahu kan? Apa sebenarnya Natrah ni? macam sedap sahaja bunyinya? Sebelum itu saya meminta maaf jika ada kekurangan pada penceritaan. Saya hanya menyalin diatas kertas dan menzahirkannya di dalam blog ini..........



Natrah merupakan sebuah kisah yang menyayat hati umat Islam. Walaupun isu ini telah lama sebelum kemerdekaan lagi, namun terlalu banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Satu perjuangan aqidah yang wajar diambil iktibar oleh generasi pada hari ini. Inilah kisah perjuangan mempertahankan aqidah yang hampir dilupakan.

Antara tokoh-tokoh yang terlibat dalam isu ini antaranya Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Tan Sri Prof Emeritus Ahmad Ibrahim, Tunku Abdul Rahman dan ramai lagi.



Dr. Burhanuddin Al-Helmy fasih bertutur dalam bahasa melayu, bahasa arab, Urdhu, Perancis dan lain-lain. Ini memberi kelebihan kepada beliau dalam meyelesaikan sesuatu isu.

Natrah seorang anak gadis yang berbangsa Belanda, beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu. Ibu Tirinya yang bernama Cik Aminah sangat menyayangi seperti anak sendiri. Cik Aminah insan yang mendidiknya dengan penuh kasih sayang.



Natrah ketika berumur 13 tahun berkahwin dengan Mansor Adabi. Perkahwinannya dengan Mansor Adabi dilihat menggemparkan rakyat Belanda. Orang Belanda kurang menyenangi Natrah dan berusaha mengambil balik Natrah untuk dikristiankan dan kononnya untuk menjaga maruah agama mereka. Pelbagai provokasi yang digunakan pada masa itu supaya Natrah dibawa masuk agama Kristian.

Akhirnya Kes Natrah dibawa ke mahkamah. Natrah dan ibu angkatnya dibicarakan sebanyak 2 kali di mahkamah. Apa yang menarik untuk kita perhatikan disini, ribuan masyarakat Muslim berhimpun diluar mahkamah menunggu keputusan perbicaraan.



Atas kesedaran itu, maka wujud lah gerakan pembebasan Natrah yang dipimpin oleh Burhanuddin Al-Helmy dan Karim Ghani. Karim Ghani terkenal sebagai orang yang berpandangan jauh. Akhirnya tertubuh lah Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN) untuk membebaskan Natrah daripada anasir-anasir luar yang mahu Natrah dipesongkan Aqidahnya.

Karim Ghani giat menggunakan platform penulisan dan akhirnya mampu memberikan kesan kepada pihak polis untuk bersamanya. Namun begitu, British pula menggunakan Polis Ghurka (Polis Singh). Sikap tegas Karim Ghani menyebabkan beliau dibuang negara ke Pakistan.


Pada masa itu, ada seorang pemimpin mengeluarkan perintah supaya jangan keluar untuk membuat himpuan namun tidak ada sesiapa ingin mengikutinya kerana masyarakat faham, ini adalah isu aqidah, ini adalah isu umat Islam. Masyarakat bersama-sama keluar berhimpun untuk mempertahan aqidah seorang wanita. Jika dikaitkan dengan masyarakat kita sekarang, sudah kurang sensitiviti terhadap mereka yang dipaksa murtad berbanding Umat Islam pada masa dahulu. Kes Natrah adalah simbol kesatuan umat Islam yang perlu kita contohi pada masa sekarang.



Akhirnya, Natrah dilarikan secara senyap-senyap ke Belanda walaupun masih berbaki tempoh untuk membuat rayuan sebelum apa-apa keputusan diambil. Belanda dilihat begitu biadab, pada mulanya mereka yang beria-ia ingin mengikuti proses perundangan, namun mereka juga lah yang melanggar undang-undang dengan membawa lari Natrah.

Kisah yang menyayat hati ini berakhir dengan kematian Natrah. Beliau menghidap sakit Leukimia.....begitulah akhirnya.......

Apa yang boleh kita ambil sebagai pengajaran terhadap isu Natrah:

(1) Kesatuan yang didasari aqidah merentasi batas parti politik, bangsa, status dan kedudukan.
(2) Peranan Undang-undang dalam memastikan Islam berada diatas.
(3) Sensitiviti terhadap Umat Islam.
(4) Peranan pemimpin Islam dalam memimpin gerakan.
(5) Peranan Media dalam kebangkitan Umat.
(6) Peranan penguasaan bahasa dapat membuka minda.
(7) Hakikat permusuhan orang kafir terhadap umat Islam zaman berzaman.
(8) Jangan sesekali putus harapan dengan hidayah Allah.


Selasa, 24 Januari 2012

maarad kitab dan halatuju

Maarad kitab ini dikenali sebagai Cairo International Book Fair adalah pameran buku yang diadakan setiap tahun pada akhir Januari di Kaherah, Mesir. Istimewanya, pada tahun ini disambut berdekatan ulangtahun 25 Jan 2011, Revolusi Mesir mengalahkan kezaliman kerajaan Pro-Mubarak.


Pameran buku ini merupakan salah satu pameran buku terbesar di dunia, menarik ratusan penjual buku dan anggaran 2 juta pengunjung seluruh dunia. Pameran ini merupakan pameran buku terbesar dan tertua di dunia Arab. Pada tahun 2006, Cairo International Book Fair menjadi pameran kedua terbesar di dunia selepas pameran buku Frankfurt. (sumber: wikipedia)







Pada tahun 2011,  Cairo International Book Fair tidak dapat diadakan memandangkan pergolakan politik Mesir yang membawa penghantaran pulang beramai-ramai pelajar Malaysia ke tanahair dalam proses Evakuasi. Masih segar lagi di dalam ingatan bagaimana hiruk-pikuk dan kekalutan pada masa itu. Seluruh dunia tertumpu kepada Negara Mesir dan menjadi buah mulut ramai orang bercakap tentangnya.

Mesir kini berubah dan bertukar wajah. Berubah 180 darjah. Ketakutan mungkin tidak menyelubungi rakyat Mesir lagi. Ikhwan mengambil tempat menggantikan pemerintahan sekular kerajaan sebelumnya. Rakyat bebas memilih siapa pemimpin mereka dengan seadil-adilnya Seingat saya dua tahun sebelum itu, di tempat yang sama, sahabat saya datang dari Jordan untuk membeli kitab. Katanya takut untuk membawa pulang kitab-kitab haraki dari Mesir sekembalinya ke Jordan semula. Kawalan ketat daripada Imegresen tidak membenarkannya untuk berbuat demekian khususnya berkaitan dengan kitab-kitab menyentuh kebejatan kerajaan masa itu. Namun segalanya berubah.

Sepertimana Firman Allah:   


 وَتِلْكَ اْلأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ 
Demikianlah perumpamaan itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)

( Ali Imran ayat 140 )

Begitulah Allah menggilirkan manusia. Kita diberi pilihan untuk bersama yang haq atau sebaliknya. Sunnah alam akan menggilirkan manusia. Kejayaan ini menuntut pengorbanan yang besar sehingga dinikmati oleh generasi selepasnya.

Esok adalah ulangtahun 25 Januari 2011. Bagaimanakah nasib umat di bumi Mesir yang sentiasa bergolak ini. Apa yang perlu kita pelajari, perubahan itu bukan berlaku dengan mudah sahaja. Perubahan ini bukan berlaku dengan seorang dua sahaja. Tetapi perubahan itu berlaku dengan kesungguhan dan azam yang kuat dan mendarah daging dalam hati pendokongnya.

Dakwah memerlukan perancangan yang tersusun. Kita adalah penyambung perjuangan Ar-Rasul terdahulu. Kita bebas untuk memilih dengan siapa kita ingin berteman. Namun,  Jika kita tidak berteman dengan dakwah dan pejuangnya, maka dengan siapakah kita ingin berteman?




Muhasabah bersama. ^_^

Sabtu, 21 Januari 2012

Jalan Kehidupan

Hati itu sifatnya berbolak-balik. Hati boleh berubah daripada baik kepada buruk dan perlu diingatkan dan dimuhasabah. Betapa susahnya menjaga hati.

Berbeza pula dengan ilmu. Ilmu pula perlu diusahakan dan berkekalan panjang. Maka, pengisian ilmu terlalu penting. Seorang penuntut ilmu perlu memikirkan dan merancang untuk matlamat jangka panjang.

Sifat hati yang sentiasa berbolak-balik itu perlu diisi pula dengan kefahaman ilmu. Cuba tanya pada diri kita, apakah yang kita inginkan di dalam hidup ini?



Kearah mana kita mengajak manusia? Untuk apakah semua ilmu yang aku pelajari? soalan lazim yang perlu ditanya oleh hati. Hati pada sifatnya berbolak-balik.

Menjaga hati satu perkara yang susah. Mencari ilmu juga satu bentuk kesusahan yang lain.


ٌقال رسول صلى الله عليه وسلم : من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله به طريقا الى الجنة 

Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke Syurga.

Mencari barang yang mahal dan berharga memerlukan modal yang tinggi. Begitu juga Syurga yang dihiasi dengan pelbagai limpahan nikmat. Perlu diusahakan dengan bersunguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Antara ilmu yang tidak kurang pentingnya adalah ilmu untuk memahami masyarakat. Umat Arab pada amatan saya memiliki sikap peramah yang tinggi dan dakwah mengekalkan sikap baik itu. Ini terbukti dengan tersebarnya kesyumulan Islam yang dibawa oleh Ikhwan dengan cepat khususnya di bumi Mesir kerana faktor peribadi masyarakat Mesir itu sendiri yang peramah.




Begitu juga masyarakat Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Islam tidak mengubah sifat baik yang wujud di dalam diri mereka malah menguruskan dan memanfaatkan kebaikan mereka untuk Islam. Masyarakat Melayu pada umumnya mempunyai peribadi lemah lembut dan Islam meraikan sifat tersebut.


Abu Bakar RA sebelum Islamnya tidak pernah meminum arak kerana dengan meminum arak hanya menghilangkan kehormatan dan maruah. Kebaikan yang sudah sedia ada pada diri Abu Bakar RA itu amat bermanfaat dan Islam mengekalkan kebaikan itu.


Kefahaman Islam tidak mengubah peribadi seseorang. Umar RA membuktikan ketegasan sifatnya ketika zaman Jahiliyah dan sesudah Islam. Ketegasan Umar tetap seperti dahulu, bezanya cahaya hidayah yang telah merubah dan menyinari dirinya ketika Islam.


Tarbiyyah melatih diri kita keluar daripada pemikiran kebiasaan manusia. Walaupun begitu, sudut pandang Daei itu tetap untuk kebaikan umat Islam keseluruhannya.


Masa belajar adalah zaman emas dalam kehidupan ini. Masa kerja pula terlalu sibuk. Persoalannya, bagaimanakah kesibukan zaman kerja nanti tidak mengganggu tugasan dakwah. Ini yang perlu difikirkan bersama.




Ustaz saya pernah berpesan, pelajar yang sibuk dengan pelajarannya lebih daripada dakwah, tidak mustahil lebih sibuk pula dengan kerjayanya berbanding tugas dakwah apabila menempuh alam kerjaya nanti.





Nabi SAW bersabda: “Dua kenikmatan kebanyakan manusia tertipu pada keduanya: kesihatan dan waktu lapang”. (HR. Bukhari)





Rabu, 11 Januari 2012

Nikmat Persaudaraan

Kawan senang mudah dicari, kawan menangis?

Begitulah ibaratnya, masa senang ramai disisi, masa susah siapa mahu bersama?

Ukhuwwah bagi saya tidak mampu dicapai sehari dua, tetapi memerlukan pergaulan dan perkenalan yang lama. Ramai yang membicarakan ukhuwwah tetapi adakah telah mengamalkannya?

Ingin saya berkongsi cerita tentang ukhuwwah, adakah gambar-gambar ini mampu berbica tentang nikmat ukhuwwah, mungkin?








Bagaimana ingin dipraktikkan sikap sabar jika tidak tahan bergaul dengan kebanyakan manusia. Maka benarlah, dakwah ini tidak mampu dipikul melainkan memahami manusia dan sabar bergaul dengan mereka.

Permusafiran dan pergaulan adalah wasilah untuk memupuk ukhuwwah, namun perlu diiingat, ingin dibawa kemana ukhuwwah itu? Jika kita teliti rakan-rakan kita sejak dibangku sekolah rendah dahulu sehinggalah sekarang, dimanakah titik temu ukhuwwahnya? Adakah kita bersahabat atas dasar seronok-seronok semata-mata atau apa sebenarnya maksud kita berteman?


الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين
"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa". ( Az-Zukhruf 43:67)


Sahabat yang kekal adalah sahabat yang memimpin tanganmu mencari redha Allah, bukan yang membawa mencari murka Allah.

Hanya ukhuwwah yang tinggi akan menjadi benteng umat Islam melawan kemungkaran. Jika umat berpecah dan tidak bersepakat diatas perkara yang kita fahami bersama, pasti mengundang petaka. Lebih-lebih lagi umat pada ini dicaturkan oleh musuh-musuh Islam. Dicaturkan kerana tidak tahu siapa musuhnya yang sebenar.
 
Sejarah ukhuwwah para salafusoleh menjadi bukti. Manusia yang luar biasa hebat sahaja mempu berukhuwwah pada tahap yang tinggi dan memberikan air kepada sahabat yang lain di medan peperangan walhal dirinya sendiri memerlukan air tersebut untuk menyambung nyawa. Hati yang bersih, rasa sayang tidak berbelah bagi dalam susah dan senang. Ah, terlalu jauhnya sifat solafusoleh didalam diriku.

Berapa ramai manusia tersingkir daripada perjuangan membela Islam? Dimana letaknya ukhuwwah yang dilaung-laungkan, mungkin kita perlu lihat niat-niat kita, kerana apa kita dimedan juang.

Berpada-padalah kita mengherdik sesama insan, Banyakkan menjelaskan Islam yang indah. Barangkali nasihat Dr Yusuf Qaradhawi ini boleh dijadikan pedoman.
"Islam telah mengajar saya untuk menyalakan pelita dan tidak dengan asyik mengutuk kegelapan, dengan menjelaskan kebenaran dan bukan dengan asyik mencaci maki kebatilan".
Penapisan itu akan terus berlaku dan tanpa kita sedar, diri ini juga terdedah dengan tapisan daripada Allah. Oleh itu, perlulah bersangka baik dengan Allah.

Ya Allah, moga diriku ini thabat dijalan-MU untuk terus berukhuwwah dengan mereka yang terpilih di JalanMU yang lurus ini. Hanya satu jalan, tidak ada jalan-jalan yang banyak. Hanya jalan yang telah dilalui oleh para Nabi dan umat yang bersamanya. Sungguh dakwah ini panjang dan berliku-liku dan aku tidak akan mampu mengharunginya tanpa petunjukmu yang jelas. Ameen.




Ahad, 8 Januari 2012

Inilah aku...

Pernahkah anda dibenci? Jika pernah, apa reaksi anda? Adakah hanya perlu berdiam menahan amarah? Atau memberikan respon spontan membalas tindakannya yang dilihat tidak wajar? Maka disinilah diriku ingin melontarkan pandangan yang ku rasa baik untuk diriku dan masyarakat sekeliling.



Sepanjang perjalanan hidupku bergelar mahasiswa, banyak suka dan duka. Zaman sekolah menengah dahulu hanya mengenali dakwah mungkin hanya sekadar kata-kata nasihat, menumbangkan kezaliman dan seumpamanya. Aku juga melalui zaman yang penuh bersemangat, melaung-laungkan kata-kata "tumbang" kepada pemerintah yang zalim. Moga-moga usaha-usaha lalu tidak akan menjadi sia-sia kerana aku yakin, pemerintah yang zalim memang patut ditumbangkan. Yang zalim pastinya akan sirna dan yang haq pastinya akan menang. Namun, kehidupan ku diteruskan bagi mencari petunjuk di jalan yang lurus, tiada rasa putus mencari jalan hidayah.

Di menara gading (Darul Quran) adalah tempat aku menghafaz al-Quran. Aku berjumpa dengan pelbagai ragam manusia. Lebih kurang sama, mahasiswa disini pun begitu bersemangat untuk menentang kezaliman. Aku tidak pernah merasakan itu satu benda yang salah, namun pencarian hidayah tetap diteruskan. Akhirnya aku berkenalan dengan seorang ustaz dan join usrah. Ustaz tersebut menunjukkan Qudwah yang baik. Bukan sahaja pakar dalam bidang Qiraat, namun hebat juga di lapangan bola. Beliau menunjukkan padaku cara-cara berinteraksi dengan manusia. Lebih penting lagi, beliau menunjukkan kepadaku cara-cara mengajak manusia kepada Allah.

                     Masjid Darul Quran dikelilingi tasik buatan yang indah
 
Kami pernah mengikuti Daurah, Qiam, Rehlah dan yang masih segar di dalam ingatan, kami bersama-sama pergi Mukhayyam di Bukit Fraser. Banyak aktiviti yang membentuk jiwa ku. Aku juga terkesan cara penyampaian satu slot tentang pembebasan Palestin. Isu Palestin bukan sekadar isu tanah jajahan sahaja, tapi ianya melibatkan aqidah umat Islam. Bagi aku, program-program begini membentuk manusia menjadi insan yang prihatin.

Hinggalah kini diriku berada di bumi anbiya', Mesir ardhul Kinanah...........

Jadi pemilihan aku jelas. Aku tidak ingin berjuang semangat semata-mata. Mungkin juga kerana aku tidak menghadamkam tarbiyyah mereka dengan baik. Mungkin juga, Jadi, aku membuat kesimpulan bahawa, kita hendaklah bekerja untuk Islam, walaupun berbeza wadah perjuangan. Mungkin jalannya lain, tapi matlamat tetap sama. Ini kerana, Allah yang maha pengasih dan maha penyayang telah melorongkan aku di jalan ini. Maka selayaknya, aku menghargai apa yang telah diberikan-NYA. Aku akan terus dijalan ini, jalan tarbiyyah tanpa mengecilkan cara-cara yang lain yang tidak lari daripada syara'. Moga-moga diriku tetap thabat dijalan dakwah.



Dakwah kami bukan Eksklusif. Jika kalian mengatakan dakwah kami Eksklusif untuk insan-insan tertentu, kalian akan melihat, dakwah ini ditawarkan untuk semua manusia, namun asas tunggak pengembangan dakwah itu mestilah kukuh. Nabi SAW mendidik para sahabatnya yang faham Islam dengan kefahaman yang sempurna. Dakwah ini akan menapis dan akan mengekalkan insan-insan yang hanya betul-betul mahu berjuang.

Dakwah kami bukanlah memecahbelahkan manusia. Selagi tidak tertegaknya Khilafah Islam, selagi itulah panji-panji bendera akan dinaikkan oleh siapa-siapa sahaja yang mempunyai kemampuan untuk melakukan ijtihad yang dirasakan baik untuk kepentingan umat Islam dan umat seluruhnya. Kenderaan kita mungkin berbeza, tetapi matlamat kita sama. Penyatuan akan cepat berlaku jika sama-sama menonjolkan jemaah qudwah kepada masyarakat.



Perbezaan pendapat bukan merugikan, malah menguntungkan jika dilapik dengan ukhuwwah islamiyyah yang tinggi sambil berdoa di dalam sujud agar perbezaan pendapat ini tidak meregangkan hubungan ukhuwwah Islamiyyah. Bukan kerana perbezaan itu, tetapi sikap manusia yang tidak meraikan perbezaan menyebabkan berlakunya perpecahan. Kita mungkin boleh untuk tidak bersetuju, namun terlalu banyak sebab untuk kita bersatu, sebab asas kita adalah aqidah yang satu.

Dakwah kami bukan ingin menjatuhkan sesiapa, bukan ingin mendapatkan habuan dunia sementara, dakwah ini ingin berkongsi rasa dan pengalaman. Dakwah ini bersedia menerima kritikan dan teguran kerana tiada siapapun manusia yang sempurna. Tidak ada jemaah yang sempurna. Nama pun manusia. Tegurlah untuk kebaikan Islam bersama.

Uhibbuka fillah abadan abada kepada para pejuang Islam diseluruh dunia. Islam yang paling tinggi, tiada yang lebih tinggi melainkan agama Islam. Ya Allah, janganlah kebencian kami kepada sesuatu kaum menyebabkan kami tidak mampu berlaku adil sesama manusia.



Minta maaf celoteh panjang, sekadar menzahirkan rasa terpendam. Aku memang minat bab-bab Jemaah nie.

  ^_^

INILAH AKU.....

MAHADIR AMBOALA,
aktivis dakwah ISMA-Mesir.

Badiuzzaman Said An-Nursi

Hampir sebulan masuk markaz bahasa di Hayyu Sabi', Kaherah. Betapa kerdilnya diri ini akan penguasaan Bahasa Arab. Dapat berkenalan dengan rakan-rakan Turki merupakan pengalaman baru untuk fasa terakhir pengajian. Cadangnya ingin duduk setahun lagi di Mesir. Mengira-ngira bekalan untuk dibawa pulang ke Malaysia menuntut untuk mencari pengalaman lebih, ilmu lebih dan kefahaman lebih.



Rakan-rakan Turki yang ku kenali tidaklah ramai. Antaranya Ali, Fetih, Ibrahim dan Umre. Bergaul dengan mereka memberi manfaat kepada diriku. Sebahagian daripada Risalah an-Nur, karangan Badiuzzaman Said An-Nursi yang diberikan oleh Fetih, ku belek-belek dan ku hayati kalimah-kalimahnya. Sungguh perjuangan Tokoh gerakan Turki ini mempunyai keyakinan yang kuat serta iman yang tebal. Walaupun ditentang oleh musuh-musuhnya, namun tetap thabat dalam meneruskan perjuangan dakwahnya.


Sejarah Turki yang hebat. Disinilah tertegaknya Khilafah Islam satu masa dahulu. Disini jugalah terserlah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih. Beliau diberi gelaran al-Fatih (pembuka) kerana mampu membuka kota Constantinopel yang pernah dikuasai musuh-musuh Islam satu masa dahulu.

Jika di Mesir, perjuangan "pakcik Hassan" (gelaran yang diberikan oleh pelajar Malaysia), jika di Turki Badiuzzaman, Said An-Nursi pula. Hassan al-Banna mempunyai sejarah tersendiri dalam jemaah Ikhwan al-muslimin. Badiuzzaman pula terkenal dengan Risalah an-nur pula. Tokoh ini berjiwa sufi. Hassan al-Banna meraikan perbezaan salaf dan sufi pula. Saya tertanya-tanya, adakah gabungan dua tokoh gerakan ini bersesuaian untuk dipraktikkan di Malaysia? Bagi saya yang terlibat dalam pertubuhan ISMA mengikut manhaj Ikhwan, yang saya yakini, (ada jemaah lain, faham cara lain), menunjukkan kepada kita bahawa ijtihad diperlukan dan menuntut agar kita menghormati ijtihad jemaah lain yang berbeza cara pandangnya. Hanya satu tujuan, ingin melihat masyarakat, faham Islam dengan kefahaman yang sahih.

                                         Badiuzzaman Said Nursi


Badiuzzaman berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden pula perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya, "dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari KEKUFURAN dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap TAASUB.

Namun perlu diingat, sehebat manapun pemikiran yang ingin dilontarkan di dalam masyarakat, jika jiwa atau hati di dalam tidak ada rasa pergantungan tinggi kepada Allah, pastinya akan menemui kegagalan. Kita ingin merubah masyarakat, pada masa yang sama, diri sendiri tidak mampu merubah dan melawan gelora hawa nafsu. Bagaimana masyarakat ingin mencontohi kita? Jadilah kita pengubah yang palsu. (nasihat untuk diriku terutamanya)

Terima kasih buat sahabat, Fetih (kenalan Turki)  yang mengenalkan saya tokoh ini. Mungkin ini hanya permulaan untuk mengenali pemikiran Badiuzzaman pula.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus, mengikut sunnah Rasul SAW.  Jadikanlah diri kami merasakan tanggungjawab dakwah itu seperti juga tanggungjawab dalam menunaikan ibadah solat dan ibadah-ibadah lain agar kami dapat mengembangkan agamamu yang benar ini, ameen.



Khamis, 5 Januari 2012

Aku Hamba

Ya Rabb,
Aku mengadu penuh syahdu pada-Mu,
Diatas kesilapan dan kesalahanku,
Tangan-tangan yang bergelumang dosa,
Merosak fikiran dan Ibadah.


Ya Allah,
Diri ini tidak mampu berjalan tanpa hidayah-Mu,
Semuanya itu dari-Mu, hanya pada-Mu dan untuk Mu,
Aku hanya insan mengharap belas kasih,
Dalam arus dunia yang menarik,
Merobek dan menghakis rasa kehambaan.


Wahai Tuhanku yang membolak balik hati manusia,
Tetapkanlah aku diatas jalan-Mu,
Dalam berusaha mencari redha-Mu,
Walau dibenci manusia itu tidak apa,
Asalkan jangan dibenci Engkau,
Wahai Tuhan yang mengetahui isi hati manusia.


Aku tidak mampu melayari hidup ini,
Tanpa pimpinanMu yang lurus,
Tunjukkanlah yang haq itu untukku genggam dengan kemas,
Dan yang batil untuk ku lontar sejauh-jauhnya.


Wahai Tuhan yang Maha pemurah dan Maha penyayang,
Engkau tahu betapa dalamnya rintihan ini,
Engkau suka rayuan mendayu-dayu seorang hamba,
Pimpinlah aku yang lemah ini, dalam menyelusuri baki-baki kehidupan,
Agar aku mampu bersua dengan-Mu dengan hati yang sejahtera.


 _______________________________________________________
~ABUD, Cairo, Egypt

1:56 pagi, 6 januari 2012.

Sabtu, 10 Disember 2011

Hebat Perancangan Mereka, Kita Bagaimana Pula?

الرأسمالية- Kapitalis
الشيوعية -Komunis
الماسونية -Freemason
الصهيونية -Zionisme

(1) Sistem Kapitalis
 merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan. Takrif individu di sini tidak semestinya merujuk kepada orang perseorangan tetapi juga termasuk sekumpulan individu seperti syarikat. Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran, kos, penetapan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan. Pengkritik sistem kapitalis berpendapat sistem ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin.



(2) Sistem Komunis
"Komunisme tulen" menurut Marx merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

 Tukul dan sabit menjadi alat penting golongan pekerja merupakan lambang komunisme.


Kesimpulan:-

Sistem Ekonomi Islam berbeza sama sekali dengan sistem ekonomi kufur buatan manusia. Sistem ekonomi Islam adalah sempurna kerana berasal dari wahyu, dan dari segi pemilikan, ia menerangkan kepada kita bahawa terdapat tiga jenis pemilikan:-
  • Hak Milik Umum: meliputi mineral-mineral dalam bentuk pepejal, cecair dan gas termasuk petroleum, besi, tembaga, emas dan sebagainya yang didapati sama ada di dalam perut bumi atau di atasnya, termasuk juga segala bentuk tenaga dan intensif tenaga serta industri-industri berat. Semua ini merupakan hak milik umum dan wajib diuruskan (dikelola) oleh Daulah Islamiyyah(negara) manakala manfaatnya wajib dikembalikan kepada rakyat
  • Hak Milik Negara meliputi segala bentuk bayaran yang dipungut oleh negara secara syar’ie dari warganegara, bersama dengan perolehan dari pertanian, perdagangan dan aktiviti industri di luar dari lingkungan pemilikan umum di atas. Negara membelanjakan perolehan tersebut untuk kemaslahatan negara dan rakyat
  • Hak Milik Individu: selain dari kedua jenis pemilikan di atas, harta-harta lain boleh dimiliki oleh individu secara syar’ie dan setiap individu itu perlu membelanjakannya secara syar’ie juga.



(3) Freemason
       
Freemason seringkali dipanggil sebagai "persatuan rahsia". Bagaimanapun bagi ahli Freemason, persatuan mereka lebih tepat sebagai persatuan yang hanya boleh difahami oleh orang tertentu kerana sesetengah aspeknya adalah sulit. Pada kurun ke-21, persatuan ini menjadi tidak lagi rahsia (lebih terbuka) dan lebih kepada "persatuan yang mempunyai rahsia". Aspek sulit dalam persatuan moden ini adalah pengiktirafan sesama ahli dan sesetengah elemen ritual. Walaupun ia sebuah organisasi yang pelbagai, kerja amal masyarakat dan memelihara persaudaraan sesama ahli masih menjadi perkara pokok.

Kesimpulan:

Pernahkah kita mendengar nama Huzaifah Al-Yamani ? Beliau digelar sebagai "Penyimpan Rahsia Nabi". Ketika Perang Khandaq, Nabi S.A.W mengarahkan beliau menjadi perisik untuk mengetahui strategi musuh tentera Islam pada ketika itu iaitu kaum Quraisy. Namun, beliau mengambil tindakan nekad dengan menyamar sebagai salah seorang tentera musuh. Tindakan ini membantu tentera Islam setelah mendapat maklumat musuh daripada Huzaifah.

Bagaimana pentingnya sebuah Harakah Islam mempunyai strategi yang tersusun. Kita tidak banyak masa untuk disibukkan dengan taadud jamaah. Umat Islam perlu fokus membaiki jemaah sendiri, dengan itu penyatuan Islam lebih cepat berlaku.

Dalam Jemaah Ikhwanul Muslimin, pernah wujud "tanzim Khas". Fungsinya amat berkesan ketika penangkapan beramai-ramai ahlinya ke dalam penjara. Tanzim Khas inilah yang menjadi mata-mata rantai perjuangan mereka ketika dalam fatrah pemboikotan. Penangkapan ahlinya tidak menyebabkan dakwahnya terputus, malahan bertebaran ke seluruh pelusuk dunia sehingga sekarang.

Pernahkah kita mendengar nama Farag Naggar?

Beliau dihantar oleh Hasan Al-Banna masuk ke dalam Parti Komunis Mesir, sehingga menjawat jawatan Setiausaha Agung. Pada suatu malam, Hasan Al-Banna berceramah di suatu tempat. Farag Naggar ditugaskan oleh Parti Komunis Mesir untuk mengatur pembunuhan terhadap Hasan Al-Banna ketika ceramah tersebut. Beliau mengatur beberapa pemuda Komunis di satu tempat, siap untuk menyerang Hasan Al-Banna ketika ceramah, dan beliau juga mengatur beberapa pemuda Ikhwan Muslimin di satu tempat berhampiran, siap untuk menangkap dan menggagalkan sebarang usaha untuk mendekati si penceramah. Akhirnya rancangan jahat tersebut berjaya diatur dan digagalkan oleh beliau. (sumber: ust Halim Abdullah)



(4) Zionis

Zionisme adalah gerakan nasionalisme Yahudi antarabangsa yang menghasilkan negara Israel. Asal-usul gerakan ini lebih awal tetapi secara rasmi ditubuhkan oleh wartawan berbangsa Yahudi Austria-Hungary, Theoder Herzl pada akhir kurun ke-19.

*Orang-orang zionis telah mengusai dunia sekarang. Sebut sahaja apa jenama barang, kebanyakan dikuasai oleh mereka. Menjadi tanggungjawab umat ini meletakkan Islam di kedudukan tertinggi. Renungilah kata-kata Ahmad Ar-Rashid dalam kitabnya Al-Muntalaq

Siapakah yang akan melawan konspirasi Zionisme, Freemason, Propaganda Komunisme dan Atheis sekiranya orang yang bersembahyang dan ahli Ibadah tetap di dalam masjid2, tidak bergabung tenaga dengan Daei Islam? 

 Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar, perlunya ada fokus tertentu supaya dakwah berkesan. Ahmad Ar-Rashid ada menyentuh dengan satu golongan yang tidak tahu jalan kerja. Beliau juga menyentuh tentang golongan yang asyik dengan amal-amal kebajikan. Pada pandangan saya, tidak salah menumpukan kepada kerja-kerja kebajikan namun bergabung dengan jamaah itu lebih aula daripada itu. Namun, pahala itu daripada Allah. Strategi dalam dakwah juga penting untuk kebaikan umat ini.


Akhirnya, kita ingin melihat Islam terus berkembang kerana ia adalah fitrah insani dan wahyu daripada Allah dan sesuai untuk manusia. Sama-samalah kita meninggikan martabatnya. Ya Allah, kau ampunilah dosaku kerana mencuaikan agamu yang suci ini. Bantulah diriku untuk keluar daripada fitnah dunia ini.



Sabtu, 5 November 2011

Takbir ini takbir kemenangan

الله أكبر كبيرًا، والحمد لله كثيرًا، وسبحان الله بكرة وأصيلاً، لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه، مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله وحده، صدق وعده، ونصر عبده،وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ، لا إله إلا الله، والله أكبر


Takbir ini adalah takbir kemenangan...

Berapa ramai daripada kita yang ingin menjadi tetamu Allah
Berapa ramai daripada kita yang ingin menyebut kalimah takbir ini dengan penuh keinsafan...
Sebagai umat Islam, perlulah ada satu kerugian jika tidak menjadi tetamu Allah...






Kadang2 tidak ada duit, sibuk urusan itu dan ini. Namun adakah terlintas di hati kita ingin menjadi tetamu Allah?


Takbir raya di Malaysia begitu mendayu-dayu dan lembut manakala takbir bangsa arab penuh semangat dan kesungguhan. Isunya bukanlah takbir Melayu atau Arab tetapi takbir itu menyedarkan manusia supaya tidak leka daripada menyahut seruan panggilan-NYA.


 وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده

Takbir ini menghidupkan rasa roh perjuangan lahir di dalam dirinya. Takbir adalah satu seruan bahawa umat Islam adalah umat yang berjuang.

Perjuangan ini menuntut pengorbanan. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anaknya Ismail. Jika difikir, bagaimana Nabi Ismail sanggup pula merelakan dirinya untuk disembelih? Persoalan yang besar ini hanya mampu dijawab bagi merka yang betul2 menyerahkan segala urusannya hanya untuk Allah. Apa yang disuruh Allah, Nabi Ismail sanggup melakukannya kerana pergantungan yang total kepada Allah.

 

Amanah yang dipikul adalah satu tuntutan Allah yang sangat berat. Tuntutan yang berat menuntut kita untuk berkorban apa sahaja. Seorang ayah dan ibu yang ingin melihat anaknya berjaya menuntutnya berkorban mencari nafkah dan mengasuhnya menjadi orang berguna. Seorang Pelajar yang ingin berjaya menuntutnya supaya berkorban waktu dan wang ringgit semata-mata untuk sebuah kejayaan yang gemilang. Apa sahaja di dunia ini yang ingin dicapai dengan jayanya, menuntut supaya berkorban. Itulah sunnatullah alam ini.

Tidak akan berjaya umat ini melainkan mencontohi umat terdahulu. Tidak hidup dakwah ini melainkan jihad dan tidak ada jihad melainkan pengorbanan.

 

Takbir ini adalah satu seruan bahawa kita tidak perlu takut dengan musuh-musuh Islam.

Takbir ini juga perlu diisi dengan sejuta keinsafan bahawa betapa kerdilnya kita sebagai hamba Allah. 

Keberadaan kita diatas muka bumi ini, berkembang sedikit demi sedikit adalah terbina daripada pengorbanan orang lain. Sepertimana pengorbanan Nabi Adam sehinggalah kepada Nabi Muhammad dan seterusnya.

 

Syukurilah nikmat ini. Hayatilah makna pengorbanan disebalik sayup-sayup takbir yang berkumandang itu.