Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata..
Musuh bertindak dengan pantas menyerang Juara dengan hikmat loceng emasnya.
Juara si pembela kampung itu tanpa membuang masa menggunakan taktik maut hikmat penyesalan naga ganas yang telah lama dipelajarinya.
Jurus terakhir dari Hikmat 18 Cakar Penduduk Naga ini tidak mampu ditahan oleh Si Sami berkepala botak itu lantas tumbang jatuh rebah menyembah bunyi dek kerana terjahan keras oleh Juara.
Akhirnya Juara dapat menewaskan musuhnnya. Namun perlu diingat, musuh selepas ini jauh lebih kuat daripada Sami gila tadi. Dia betul-betul berterima kasih kepada Sifunya yang banyak mengasuh dan mengajarnya sehinga dia dapat menjadi wira terhebat di kampungnya itu. Siapakah gurunya itu?
Tidak lain dan tidak bukan Si Pengemis Sakti Satu Mata. Walaupun sudah dimamah usia namun ketokohannya di dalam dunia kepahlawanan bukan satu yang asing lagi. Anak muridnya Si Juara terkenal hebat atas jasanya mengajar hikmat 18 Cakar Penduduk Naga.
sekadar mahu bercerita.
Ini merupakan sebahagian kisah-kisah komik yang telah saya ubah suai untuk memudahkan penceritaan. Semasa zaman kanak-kanak dulu, minat tegar terhadap komik atau pun buku-buku cerita berkaitan dengan kepahlawanan tidak dapat dibendung lagi. Dari sudut positif, ia banyak menjadikan saya mampu mengasah fikiran dan daya imiginasi sesuatu perkara.
Namun apa yang perlu diingat, zaman kanak-kanak sepatutnya perlu dididik dan diisi dengan pembacaan yang Islamik sebagai asas untuk mengenal agama. Nasihat ini ditujukan kepada yang bergelar ayah dan Ibu untuk memastikan anak mereka mendapat bacaan yang sewajarnya. Bagi mereka yang mempunyai minat sama seperti saya, jadikanlah ianya tidak lebih sebagai hobi yang tidak menjejaskan perkara-perkara utama seperti belajar dan menggunakan masa ditempat yang sepatutnya.
Namanya juga kanak-kanak, hanya tahu bermain-main sahaja.
PENGAJARAN DISEBALIK CERITA
Berbalik kepada cerita tadi, Si Juara terkenal hebat adalah kerana jasa Si Pengemis Sakti Satu Mata yang banyak mengajar hikmat kepadanya.
Ingin mencari pengajaran disebalik cerita.
Seorang pengemis mampu mengajar ilmu sehingga mampu menjadi seorang perwira? Ditambah lagi matanya yang buta sebelah, logikkah semua ini?
Apa yang ingin dibawa oleh penulis, walaupun cerita tadi adalah rekaan semata-mata, namun ada juga terselit sedikit pengajaran. Sikap memandang rendah terhadap seseorang, hatta pengemis sekalipun, perlu dihindar daripada diri kita kerana ia mampu membutakan mati hati menilai sesuatu kebenaran. Walaupun seorang pengemis, rupa-rupanya ada bakat yang terpendam dan mampu digunakan dan dimanfaatkan kepada orang lain. Berbanding yang kaya, tetapi bakhil untuk bersedekah, tidak ada manfaatnya. Kekayaannya itu hanya mengaburi mata orang ramai dan menambah kehinaan kepadanya.
Kekayaan dan kemewahan yang tidak mampu membeli sebuah ketenangan.
SUKA BERSEDEKAH
Bersedekah merupakan satu perkara yang amat digalakkan dalam Islam. Sedekah mampu melahirkan rasa simpati dan menyayangi orang lain. Dengan bersedekah, membersihkan hati kita daripada sifat tamak dan bakhil.
Orang yang bersedekah sebenarnya telah mencontohi sifat peribadi Rasululullah s.a.w yang kuat bersedekah. Kesimpulan yang mudah, mereka yang bersedekah sebenarnya telah mencontohi akhlak peribadi Rasulullah yang ulung dan terunggul.
Mencintai Rasulullah tidak cukup tanpa mengamalkan sunnahnya.
"Hish, jijiknya aku tengok pengemis tu, sudahlah bajunya compang-camping, suka meminta-minta pula tu". Rungut Johari.
"Dah, jom kita beredar, orang macam ni jangan dilayan sangat, nanti menjadi-jadi perangainya". Balas Hamidon.
Eh, korang ni, tak baik macam tu, bagi lah sikit duit tu, manalah tahu anak-anak dia kelaparan sekarang ni ", Terang Karim.
"Ko jangan nak bela si pemalas ni, kalau di nak makan, sepatutnya pergilah cari kerja, taklah ke hulu-hilir meminta-minta macam orang tak tentu hala ni". Balas Johari dengan nada yang geram.
SITUASI DI PERANTAUAN
Kasihan melihat ramai betul peminta sedekah di Ardhu Kinanah. Silap pemerintah yang tidak mampu mentadbir dengan baik menyebabkan ramai rakyatnya yang hidup susah melarat mencari simpati sesuap nasi. Tekanan ini mungkin mengundang kepada berlakunya banyak kes yang tidak diingini seperti rompakan dan pembunuhan kerana tekanan hidup yang dihadapi. Tindakan ini dilakukan kerana memikirkan jalan pintas untuk mencari wang dan keselesaan hidup.
Sikap meminta-minta itu tidak digalakkan, tetapi bagaimana pula jika sekiranya mereka memang amat memerlukan?
Peluang pekerjaan yang kurang, dasar kerajaan yang amat menekan, ditambah pula tekanan hidup adalah menjadi sebab ramainya insan-insan yang menjadi peminta sedekah. Jika dibandingkan gaji masyarakat Mesir yang menjadi kakitangan kerajaan, jauh bezanya berbanding Malaysia yang dilimpahi kemewahan. Malahan sahabat saya memberitahu, gaji seorang doktor disini terlalu rendah dengan titlenya sebagai seorang yang terlibat dalam bidang profesional. Jika kita hendak bandingkan gaji doktor-doktor di Mesir, sama seperti mereka yang hanya mempunyai diploma di Malaysia.
Persoalannya, apa yang menghalang kita untuk untuk bersedekah dan memberi sedikit bantuan kepada yang memerlukan. Tidaklah banyak, cukup sekadar yang kita mampu. Sikap memandang lekeh dan membiarkan manusia dalam kelaparan, amat jauh daripada tarbiyyah Islam yang suci.
Seorang yang bersedekah tidak mengharapkan apa-apa pun balasan atas sedekah yang dihulurkan, tapi tidak mahukah kita balasan daripada Allah atas belas kasihan membantu insan-insan yang tidak berkemampuan?
Ada yang berhujah bahawa peminta sedekah ini mungkin adalah ejen-ejen yang ditugaskan mengumpul wang, berpura-pura hidup susah tapi sebenarnya ada udang disebalik batu atas maksud mengumpul kekayaan.
Betulkah seperti itu? Bolehkah kita mendatangkan beberapa bukti yang jelas akan perkara ini? Adakah itu adalah alasan untuk menghalalkan sifat kita yang sebenarnya malas atau kedekut ingin menyumbangkan sesuatu?
Apakah kita tidak mahu merebut kelebihan "tangan diatas lebih baik daripada tangan dibawah" yang membawa maksud darjat orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima.Tidak banyak, cukup sekadar kemampuan dan keikhlasan kita. Boleh jadi Si Peminta sedekah itu lebih mulia daripada kita kerana kemulian itu bukan diukur atas kemampuan mengumpul harta, tetapi atas dasar kemampuan memakai pakaian takwa.
SEMULIA-MULIA DISISI ALLAH
Kemuliaan disisi Allah adalah mereka yang paling bertakwa kepadanya. Takwa tidak diukur atas pangkat, harta ataupun keturunan, tetapi takwa diukur bagi mereka yang mengikut jalan para salafusoleh. Sifat bersedekah adalah salah satu langkah untuk melahirkan sifat takwa. Oleh itu, perbanyakkanlah sedekah kita atas dasar mengharapkan keredhaan Allah. Lebih utama lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini dimana pahala sunat digandakan sama seperti kita melakukan perkara-perkara yang fardhu.
Sedekah mewujudkan rasa belas kasihan kepada manusia dan melahirkan rasa bersyukur kepada Allah diatas nikmat yang dilimpahkan. Harta kita tidak akan berkurang diatas sedekah yang kita berikan, malahan jika kita menjadi insan yang bersyukur, Allah akan menambahkan nikmatnya kepada kita.
Sedekah yang disusuli rasa syukur, membuahkan akhlak peribadi yang luhur.
Pengemis Sakti Satu Mata itu mungkin antara yang berperibadi luhur.
Jadilah kita seorang pengemis, yang hanya mengemis kasih sayang Tuhan.
Sama-samalah kita mengambil manfaatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan